oleh: zizi hashim
Lelaki ini pernah menjadi suara yang mengisi pagi ramai pendengar. Pernah menjadi penyampai kesayangan radio arus perdana, pernah berdiri megah di pentas acara budaya, pernah disanjung sebagai moderator bijaksana dan penulis lirik bersahaja. Namun dunia terkadang menggoncang, dan langit yang cerah pun pernah menjadi kelabu. Itulah yang terjadi kepada Isma Halil Hamzah, penyampai radio senior yang suatu ketika dahulu pernah mendaki puncak, sebelum diuji dengan malam yang panjang dan sunyi bernama penjara.
Dari gelita itu, bukan dendam yang dibawa keluar. Yang dibawa adalah janji, yang dipintal dengan air mata, dibungkus dengan istighfar, dan diletakkan di hujung lidah sebagai suara zikir. Dan dari situ, gelombang Bapakku.fm kembali menyala, bukan dengan wang besar, bukan dengan nama korporat, tetapi dengan hati yang telah dijahit semula. “Saya janji pada Allah, kalau saya bebas, saya akan hidupkan radio ini semula. Tetapi kali ini, bukan untuk glamor. Tapi untuk satu tajuk, satu hadis, satu dakwah,” ucapnya, lembut tetapi penuh getar.
Dua tahun. 730 hari. Itulah helaian hari yang penuh muhasabah, penyesalan, dan perlahan-lahan, penerimaan. Dalam diam, Isma mengkhatamkan al-Quran 3 kali. Dalam sunyi, beliau membaca buku Bertemu Janji Allah hingga usai. Dalam sepi, dia berlatih mendengar semula suara hatinya sendiri. “Saya masuk penjara, saya diam. Bila saya diam, saya mula mendengar. Dan bila saya mula mendengar, saya akhirnya faham kenapa Allah izinkan saya rebah,” katanya perlahan, mengelus kenangan yang tidak mahu dilupakan.
Maka lahirlah Bapakku.fm dalam bentuk yang lebih matang, lebih redha, lebih bermakna. Ia bukan sekadar platform, tetapi medan jiwa. Dibina di rumah yang juga menempatkan Club My Friend, Bapakku.fm bukan hanya bilik siaran. Ia ruang hidup dengan pentas, dapur, ruang inap, dan tempat pertemuan. Lebih dari 2,000 ahli kini bernaung di bawah kelab ini, menjadikannya komuniti penyayang yang menjangkaui batas radio.
Berbeza dengan stesen radio arus perdana, Bapakku.fm hidup dari kasih, bukan gaji tetap. Tiada tajaan besar, tiada iklan korporat. Hanya satu mikrofon, satu penyampai, dan ratusan malah ribuan pendengar yang setia. Kerana apa? Kerana mereka tahu, suara ini bukan datang dari lidah semata, tetapi dari hati yang pernah remuk dan dengan segala susah payahnya dibangunkan semula kerana Allah SWT.
Kini, Isma Halil tidak hanya mahu bersiaran, tapi mahu melahirkan penyampai dengan jiwa. Justeru tertubuhlah Akademi Pengacara & Penyampai, program intensif 3 hari 2 malam untuk mereka yang benar-benar ingin belajar dari lapangan praktikal sebenar. “Bukan kursus sejam yang bagi sijil. Kau duduk dengan saya, buat kerja, rasa sendiri apa itu penyampaian. Baru kau faham,” katanya tegas. Bagi beliau, menjadi penyampai bukan tentang petah bercakap semata, tetapi tentang amanah membawa suara sebagai tanggungjawab dan kasih sayang. Maka, dalam setiap kelasnya, selain teknik mikrofon, pelajar juga diajak mendalami adab, nilai, dan cinta terhadap sesama manusia.
Antara perkara paling peribadi yang dikongsi Isma ialah lagu yang ditulisnya ketika di dalam tahanan. Lagu itu bukan balada biasa. Ia rakaman rasa tentang sunyi, kehilangan, tentang menyedari bahawa hanya Tuhan tempat bergantung yang mutlak. “Waktu tu, nak mengadu pada siapa? Tak ada siapa. Tak ada gelak, tak ada sorak. Hanya aku dan Allah. Mengadu lah aku dengan Allah. Lagu itu, datang dari situ,” katanya sambil memejam mata. Bukan mudah menyanyikan semula luka, tetapi dari radio kecilnya itu, ia mengalun seperti doa.
Meski kini berpangkalan di Kuala Lumpur, jiwa Isma masih akrab dengan Pulau Tioman, tempat di mana dia mengajar selam skuba, mengurus pusat menyelam, dan menyelam masuk ke dalam diri sendiri. Namun radio tetap nombor satu. “Saya bina balik semua ini supaya kalau saya pergi, mereka boleh teruskan. Saya tak mahu mati tinggalkan kosong,” ujarnya, penuh pengharapan.
Hari ini, Isma Halil bukan lagi si penyampai yang mengejar nama. Beliau ialah penghidup suara kepada insan-insan yang selalu tampak senyap dan tak banyak cakap. Penyeru jiwa-jiwa yang hampir mati. Penyampai yang siarannya tidak hanya terdengar oleh telinga, tetapi menyentuh saraf hati. Dan meski masa lalu itu kelam, beliau tidak menyembunyikannya. Kerana dari situlah datangnya cahaya sekarang.
“Saya keluar kosong. Tapi saya minta cukup. Dan Allah cukupkan. Dua tahun tu, Allah bagi saya rehat sebenar,” katanya. Isma Halil kini kembali. Bukan untuk membalas, tetapi untuk menyambung semula apa yang tertangguh. Dari konti kecil bernama Bapakku.fm, beliau menyebar suara. Bukan suara biasa, tetapi suara yang pernah dilumat ujian, dibasuh doa, dan kini berdiri semula, kerana janji dengan Tuhan tidak pernah boleh dibatalkan.
Isma Halil Hamzah bukanlah satu nama baharu, namun suaranya kini punya semangat dan roh yang telah diperbaharui. Dia bukan lagi sekadar penyampai, tetapi penghidup gelombang sunyi, penjaga janji yang pernah patah, dan penglipur kisah tentang bagaimana luka boleh jadi ladang, andai disirami redha dan ikhlas.
Foto Oleh: Pa Pa Din