Aksi Rematch Panas Jadi Tumpuan, 'BYON Combat Showbiz 7' Gegar Malaysia

oleh: zizi hashim

Debaran itu tidak menunggu loceng dibunyikan. Ia sudah bermula sejak nama-nama diumumkan, sejak pertembungan lama kembali dipanggil untuk diselesaikan. Buat pertama kalinya menjejak keluar dari Indonesia, 'BYON Combat Showbiz 7' memilih Kuala Lumpur sebagai pentas debut antarabangsa. Sebuah langkah besar yang bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan pengaruhnya yang semakin melebar di rantau ini.

Dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur, acara ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 penonton, membuktikan bahawa gelombang minat terhadap sukan tempur moden semakin kuat di Malaysia.

Dibawakan menerusi kerjasama strategik bersama Kharisma Music International, BYON tampil sebagai platform sukan tempur 360 darjah yang menggabungkan aksi kompetitif dengan elemen hiburan berskala besar. Sebuah konsep yang memecahkan sempadan antara sukan dan showbiz. Reputasi BYON bukan dibina semalaman. Dengan lebih 536,000 pembelian Pay-Per-View (PPV) bagi edisi terdahulu serta ratusan juta tontonan digital, platform ini telah mencipta momentum yang sukar ditandingi dalam arena sukan tempur Asia.

Namun, tumpuan utama edisi ketujuh ini tertumpu kepada satu perlawanan rematch antara Putra Abdullah dan Ronal Siahaan. Pertarungan terdahulu yang berakhir seri akibat kecederaan kini kembali dengan taruhan lebih besar: gelaran pertama Byon Kickstriking Asia Title. Pertembungan ini bukan sekadar sambungan cerita lama, tetapi peluang untuk menentukan siapa yang benar-benar layak berdiri di puncak.

Selain itu, beberapa aksi lain turut menjanjikan intensiti yang tidak kurang hebat. Antaranya perlawanan ulangan Fahri Alamsyah menentang Kabilan Jelevan yang kini membawa momentum berbeza, serta pertarungan antara juara bertahan Nidal Mahmoud dan pencabar Adam Maulana bagi merebut ICB International Belt.

Tidak ketinggalan, Ammarul Shafiq yang dikenali dengan serangan “headkick” bakal berdepan Haris Sofyan yang memiliki reputasi kemenangan KO awal: satu pertembungan gaya yang dijangka pantas dan agresif.

Dalam kategori wanita, perlawanan antara Winona Karamoy yang belum pernah tewas dan Emmabel Cassandra dari Malaysia bakal memperlihatkan pertembungan teknik antara dunia tinju dan Muay Thai.

Namun BYON bukan sekadar tentang pertarungan. Selari dengan identiti “combat showbiz”, acara ini turut membawa pengalaman menyeluruh, daripada produksi visual bertaraf antarabangsa hingga aktiviti interaktif seperti sesi face-off, weigh-in dan kempen promosi yang membina keterujaan sebelum malam kemuncak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music International, Ahmad Jeffny, penganjuran ini membuka ruang kepada peminat tempatan untuk melihat evolusi baharu sukan tempur di mana hiburan dan kompetisi bersatu dalam satu pengalaman yang lebih luas. Lebih besar daripada itu, kemasukan BYON ke Malaysia dilihat sebagai pemangkin kepada perkembangan industri sukan tempur tempatan, menghubungkan atlet serantau serta memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi acara bertaraf global.

Acara ini juga boleh ditonton secara penstriman eksklusif melalui Vidio dengan harga PPV RM17 di Malaysia, membawa pengalaman gelanggang terus ke skrin peribadi peminat. Tiket fizikal pula ditawarkan bermula RM75 hingga RM650, memberi peluang kepada peminat untuk merasai sendiri debaran di arena.

Dan mungkin, di antara setiap tumbukan yang dilepaskan dan sorakan yang bergema, terselit satu rasa yang tidak dapat ditahan, bahawa keberanian bukan sekadar tentang menang… tetapi tentang berdiri dan terus melawan, walau apa pun yang menanti di hadapan.