
oleh: zizi hashim
Wajah Putrajaya sedang berubah dengan begitu ketara. Selama bertahun-tahun, bandar ini sinonim sebagai pusat pentadbiran negara yang dipenuhi bangunan kerajaan dan seni bina ikonik. Namun kini, sebuah naratif baharu sedang dibina apabila Putrajaya perlahan-lahan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan, gaya hidup dan hospitaliti yang menawarkan pengalaman jauh lebih lengkap daripada sekadar lawatan sehari.
Perubahan itu dipacu oleh IOI Resort City, sebuah pembangunan bersepadu yang menghimpunkan tiga hotel bertaraf antarabangsa iaitu Le Méridien Putrajaya, Palm Garden Hotel Putrajaya dan Moxy Putrajaya, dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Putrajaya sebagai destinasi utama bagi pelancong domestik, antarabangsa serta sektor Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE). Dengan gabungan penginapan premium, sajian gastronomi, ruang acara, pusat beli-belah dan aktiviti riadah, Putrajaya kini tampil sebagai destinasi yang mampu memenuhi keperluan pelbagai kelompok pengunjung.

Menurut Pengurus Besar Le Méridien Putrajaya, Sonal Malik, pelancong masa kini semakin mencari destinasi yang menawarkan fleksibiliti, kepelbagaian dan pengalaman yang mudah dinikmati dalam satu lokasi. Beliau menjelaskan bahawa perubahan citarasa pengguna mendorong permintaan terhadap destinasi yang menggabungkan penginapan, pilihan makanan, ruang acara dan aktiviti gaya hidup di bawah satu ekosistem, sekali gus menjadikan pengalaman percutian lebih bermakna.
Sebagai hotel yang bakal menyambut ulang tahun ke-10 pada Ogos ini, Le Méridien Putrajaya terus memperkukuhkan reputasinya sebagai antara mercu tanda hospitaliti di Putrajaya. Berinspirasikan falsafah hidup Perancis yang meraikan budaya, kulinari dan hubungan sesama manusia, hotel ini menawarkan 19 ruang acara serba guna, lapan kategori bilik serta akses terus ke IOI City Mall, menjadikannya pilihan utama untuk majlis perkahwinan, persidangan, acara korporat dan percutian keluarga. Kejayaannya turut diiktiraf menerusi Anugerah Juara Hotel Gaya Hidup Terbaik 2025 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.


Aspek gastronomi turut menjadi antara kekuatan utama Le Méridien Putrajaya. Restoran Le Mei mengetengahkan kepakaran Chef Eksekutif Lim Kian Meng dalam masakan Kantonis tradisional, manakala Latest Recipe menawarkan bufet antarabangsa yang menjadi kegemaran ramai. Bagi pencinta kopi dan pencuci mulut, Latitude 02 pula menyediakan suasana santai yang sesuai untuk bersosial atau menikmati waktu petang dengan lebih tenang. Hotel ini juga memperkenalkan pengalaman ikonik seperti Au Soleil by Le Méridien, Seafood & Carvery Buffet serta pakej penginapan lengkap dengan sarapan, selain bakal mengembalikan koleksi Kuih Bulan Festival Pertengahan Musim Luruh yang sentiasa dinanti-nantikan pelanggan.
Berbeza pula dengan Palm Garden Hotel Putrajaya, yang membawa konsep resort berinspirasikan warisan tempatan. Dikelilingi kehijauan landskap, hotel ini menggabungkan ketenangan alam dengan hospitaliti moden menerusi pengalaman kulinari seperti Madam Lee Nyonya Private Dining, yang menyajikan masakan Peranakan autentik, serta Baba Bar dengan minuman berinspirasikan budaya Peranakan. Tetamu juga boleh menikmati pengalaman Kopi Dulu di The Courtyard, menjamu selera di Palms Café, selain menantikan pembukaan Durian Hub yang bakal memperkayakan lagi pengalaman gastronomi tempatan.


Sementara itu, Moxy Putrajaya pula tampil dengan identiti lebih moden dan bertenaga, menyasarkan generasi muda serta pelancong yang gemar bersosial. Dengan ruang komuniti yang interaktif, Three.6.5, Moxy Bar yang menawarkan panorama Putrajaya serta suasana santai selepas senja, hotel ini mengubah konsep penginapan konvensional kepada pengalaman yang lebih spontan, ceria dan penuh interaksi. Pendekatan tersebut menjadikannya pilihan popular bagi staycation hujung minggu dan pengunjung yang mencari pengalaman berbeza. Gabungan tiga hotel ini memperlihatkan bagaimana Putrajaya kini berkembang menjadi sebuah destinasi yang memenuhi pelbagai keperluan dalam satu lokasi.
Daripada pasangan yang mengimpikan majlis perkahwinan, keluarga yang merancang percutian hujung minggu, sehinggalah syarikat yang menganjurkan persidangan berskala besar, semuanya boleh ditemui di IOI Resort City tanpa perlu bergerak jauh. Lebih penting, pembangunan ini membuktikan bahawa Putrajaya tidak lagi sekadar dikenali melalui bangunan pentadbiran atau landskap tasiknya. Sebaliknya, bandar ini sedang membentuk identiti baharu sebagai destinasi gaya hidup yang menyatukan hospitaliti, gastronomi, riadah, membeli-belah dan perniagaan dalam satu pengalaman yang lengkap. Dan mungkin, inilah wajah baharu Putrajaya yang belum ramai benar-benar terokai.