Muaz Exclusive Menyalakan Evolusi Fesyen Tradisi Dalam Aspirasi Premium Mampu Milik

oleh: zizi hashim

Malam di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur itu terasa seperti helaian baharu dalam diari panjang fesyen Malaysia. Lampu berkilauan, hamparan karpet megah, dan riuh rendah tetamu yang hadir bukan sekadar tanda sebuah majlis pelancaran, melainkan simbol aspirasi yang lahir dari Muaz Emporium, jenama yang sejak 1993 tidak pernah meninggalkan denyut rakyat. Kini mereka membuka pintu kepada sebuah bab baharu dengan label 'Muaz Exclusive', garis premium yang tetap berpijak pada janji lama iaitu fesyen mesra poket untuk semua.

Sejak awal lagi, Muaz terkenal dengan kesetiaan kepada pelanggan. Setiap minggu mereka memperkenalkan sesuatu yang segar di butik, meski tanpa publisiti besar-besaran. Pelancaran pada 19 September 2025 dipilih dengan penuh teliti. Bulan Disember terlalu sarat dengan cuti sekolah, Februari terikat dengan fokus Ramadhan. Maka September hadir sebagai ruang ideal, bulan di mana perhatian penuh boleh diberikan pada kelahiran koleksi yang dijanjikan sebagai lebih bergaya, lebih eksklusif, namun tetap mampu dimiliki.

Sorotan malam itu adalah pertunjukan fesyen koleksi wanita. Baju kurung moden yang jatuh indah pada tubuh, jubah beralun dengan potongan eksklusif, gaun kontemporari yang memantulkan cahaya lampu dewan, semuanya bernafas dari fabrik satin, chiffon, dan kapas lembut premium. Dari rona pastel yang seakan menyapu jiwa dengan kelembutan, hingga warna berani yang meraikan keberanian diri, setiap rekaan terasa seperti puisi visual. Ia menyuarakan naratif moden tanpa meninggalkan akar tradisi, sesuatu yang sering dicari oleh generasi kini.

Namun dewan benar-benar bergetar ketika diumumkan tentang koleksi baju Melayu eksklusif. Harga RM97.80 dengan pilihan sehingga 30 warna adalah tawaran yang hampir mustahil di pasaran. Nilai sebenar koleksi ini mencecah hampir RM189.90, tetapi Muaz memilih untuk merendahkan harga, seakan menyampaikan pesan: premium tidak harus mewah pada angka, cukup mewah pada rasa. Setiap tetamu yang hadir dihadiahkan sepasang baju Melayu eksklusif ini, sebuah tanda penghargaan yang jarang dilihat dalam dunia fesyen. Malam itu, hadiah itu bukan hanya pakaian, tetapi simbol hubungan antara jenama dan hati pelanggan.

Lebih bersejarah, buat pertama kali dalam lebih 3 dekad, Muaz melantik wajah rasmi. Dato’ Aaron Aziz tampil sebagai lambang lelaki moden yang tidak melepaskan nilai warisan, sementara Siti Saleha membawa aura kelembutan elegan yang menyatu dengan semangat kontemporari. Kedua-duanya dipilih kerana keserasian, bukan semata-mata kerana nama besar. Aaron menekankan bagaimana baju Melayu masih punya jiwa walau dipersembahkan dalam gaya moden, sementara Saleha mengakui betapa bangganya dapat mewakili jenama tempatan yang merayakan kualiti tanpa meninggalkan kesederhanaan harga.

Acara turut dimeriahkan dengan suara Mimi Fly dan Hael Husaini. Lagu-lagu mereka bergema di dewan, menambahkan dimensi hiburan yang menjadikan pelancaran ini lebih daripada sekadar peragaan fesyen. Ia adalah pertemuan antara gaya dan suara, antara tradisi dan pop, yang membuktikan Muaz memahami denyut budaya semasa.

Sepanjang acara, terasa jelas falsafah yang dipegang. Muaz Exclusive bukan usaha rebranding, melainkan cabang baharu yang memperluas horizon. Jika Muaz Emporium selama ini sinonim dengan pakaian berpatutan seisi keluarga, maka Muaz Exclusive adalah refleksi evolusi, menyulam aspirasi premium, memberi ruang kepada gaya yang lebih elegan, tetapi tetap mesra di dompet rakyat.

Muaz Exclusive bukan sekadar koleksi pakaian baharu. Ia adalah pengakuan bahawa fesyen tempatan mampu berdiri megah di pentas antarabangsa tanpa kehilangan jati diri. Ia adalah janji bahawa gaya tidak pernah harus menjadi milik segelintir elit, tetapi milik semua yang menghargai keindahan dalam kesederhanaan. Malam itu, Muaz bukan sahaja melancarkan koleksi, tetapi menyalakan harapan bahawa fesyen Malaysia mampu mekar lebih jauh, lebih tinggi, dan lebih membanggakan.