Momen Sejuta Langkah, Genting SkyWorlds Rai Detik Bersejarah 2025 Pengunjung Ke-1 Juta

oleh: zizi hashim

Langkah ke puncak seolah disambut angin dingin yang memanggil manusia dari pelbagai ceruk untuk merayakan sesuatu yang jauh lebih besar daripada angka, sebuah perjalanan yang memaut berjuta memori. Genting SkyWorlds, dengan segala pesona dan landskap fantasinya, mengangkat sebuah kisah baharu pada 28 November 2025. Pengunjung ke-1 juta bagi tahun 2025 akhirnya muncul, menghidupkan sambutan yang bergaung di seluruh taman tema itu.

Empat beradik dari Pahang iaitu Zawani, Zuriatina, Adib dan si bongsu Adlee tidak pernah menyangka bahawa kunjungan mereka untuk 'Hari Keluarga' bertukar menjadi detik luar biasa. Ketika nama mereka diumumkan, pentas utama bersinar dengan konfeti dan sorakan, seakan alam turut meraikan langkah kecil yang menjadi lambang besar bagi Genting SkyWorlds. Paras terkejut di wajah mereka berubah menjadi senyum yang sukar dilupakan; momen itu diabadikan melalui sesi fotografi eksklusif serta hadiah Pas Tanpa Had yang bakal membuka gerbang hiburan sepanjang tahun.

Zawani, mewakili adik-beradiknya, berkongsi rasa yang hampir tidak mampu diterjemah dengan kata-kata. Bagi mereka, hadiah itu bukan sahaja peluang untuk kembali, tetapi ruang untuk terus merakam memori sebagai keluarga, sesuatu yang semakin berharga dalam hiruk-pikuk kehidupan moden.

Pihak pengurusan Resorts World Genting turut menyelami makna peristiwa ini. Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, menyatakan bahawa angka satu juta bukan sekadar bukti sambutan, tetapi gambaran kepercayaan berterusan rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa terhadap taman tema ini. Lebih mengharukan, keluarga yang diraikan datang dari Pahang  mengingatkan semua bahawa hiburan sentiasa menemukan manusia dari latar yang berbeza dalam satu ruang kegembiraan.

Rentetan pencapaian itu, Genting SkyWorlds memperhebatkan tawarannya melalui Last Call Unlimited Pass Promotion, potongan 30% untuk pendaftaran baharu berharga RM211, sah dari 18 November hingga 31 Disember 2025. Pas ini memberi akses sepanjang 365 hari serta sehingga tiga tempahan Virtual Queue percuma bagi setiap lawatan. Tawaran ini seakan pintu ajaib yang mengundang lebih ramai keluarga untuk mencipta memori tanpa batas.

Menjelang 1 Disember 2025, sebuah tarikan baharu bakal menambah getaran imaginasi: Studio Plaza Immersive Show. Bertempat di altitud tertinggi negara, ruang ini dicipta seperti makmal ilusi, pancaran LED yang mempesonakan, audio ruang 3D yang mengelilingi deria, dan instalasi interaktif yang membuatkan pengalaman seolah mengalir dari alam nyata ke alam fantasi. Pertunjukan mini berlangsung dari satu sudut ke satu sudut, menjadikan setiap langkah ibarat melangkah ke dalam dunia yang bernafas dengan magis visual.

Semua ini memperkukuh kedudukan Genting SkyWorlds sebagai destinasi keluarga terkemuka rantau Asia. Puncak peranginan ini bukan lagi sekadar tempat hiburan, tetapi medan untuk mengutip tawa, melepaskan lelah, dan merayakan kehidupan dalam bentuk yang paling tulus iaitu kebersamaan. Dengan sambutan pengunjung ke-1 juta, Genting SkyWorlds menutup tahun 2025 dengan aura optimisme menjelang Visit Malaysia 2026. Andai setiap lawatan adalah satu cerita, maka hari ini terbukti bahawa sesebuah taman tema mampu menjadi latar paling indah untuk naratif manusia yang pelbagai.