Merancang Destinasi Impian: Tourism Malaysia Gerakkan Sesi Strategik Global Kempen VM2026

oleh: zizi hashim

Segala kebangkitan besar selalu bermula dari satu langkah kecil yang berani. Di tengah gelombang dunia yang terus berubah, Tourism Malaysia mengorak langkah strategik menuju Visit Malaysia 2026 (VM2026) bukan sekadar tahun pelancongan, tetapi simbol kebangkitan sebuah bangsa yang ingin dilihat dan dirasai semula oleh dunia.

Selama tiga hari, dari 28 hingga 30 September 2025, Kuala Lumpur menjadi pusat denyut wacana pelancongan dunia apabila Tourism Malaysia menghimpunkan Pengarah-Pengarah Luar Negara dari 29 pejabat antarabangsa serta empat wakil pemasaran luar, bersama rakan kongsi utama industri penerbangan. Sesi strategik ini bukan sekadar pertemuan rutin, ia adalah percaturan bijak, merangkai semula visi bersama bagi memperkukuh jenama Malaysia di peta global.

Menerusi perbincangan mendalam dan breakout sessions penuh tumpuan, perwakilan dari serata dunia menyatukan misi memperhalus tindakan, memperkuat promosi, serta merancang strategi yang berkesan bagi memastikan VM2026 benar-benar meninggalkan impak.

Antara momen penting ialah sesi khas bersama YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang menegaskan mandat serta hala tuju utama bagi memperhebat kehadiran Malaysia di arena global. Pesannya jelas, “Kita mesti bergerak dengan satu suara, satu semangat, satu matlamat: memperkenalkan Malaysia bukan hanya sebagai destinasi, tetapi pengalaman yang tak terlupakan.”

Turut menyerikan acara ialah sesi town hall bersama jabatan-jabatan dalam Tourism Malaysia, serta agensi pelancongan utama seperti Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Malaysia My Second Home (MM2H), Bahagian Dasar (Budaya) MOTAC, dan FINAS. Kolaborasi ini menjadi asas kepada usaha memperkukuh sinergi rentas agensi, memperluas potensi pelancongan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan terintegrasi.

Antara sorotan menarik adalah sesi tertutup bersama rakan penerbangan antarabangsa, tiga syarikat penerbangan Malaysia dan 27 pemain industri global yang membuka ruang dialog langsung antara pengarah luar negara dan rakan strategik mereka. Di sinilah terjalin hubungan yang akan menentukan sejauh mana sayap Malaysia dapat mengembang ke langit dunia.

Menurut Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, tumpuan kini bukan hanya pada angka ketibaan pelancong, tetapi juga pulangan pelaburan (ROI) dan kecekapan dalam menjalin kerjasama penerbangan strategik. “Kita telah mencapai pemulihan penuh di kebanyakan pasaran global, kecuali beberapa rantau seperti Asia Barat, Afrika Utara dan Selatan. Namun komitmen kita tidak luntur, kita akan terus menggiatkan promosi dan memperkukuh laluan udara agar Malaysia kembali menjadi destinasi utama dunia,” ujarnya.

Langkah ini sekaligus menjadi gerbang menuju Visit Malaysia 2026, yang bakal menandai kesinambungan industri pelancongan negara dengan nilai lestari, seiring Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Tourism Malaysia kini berdiri bukan hanya sebagai agensi promosi, tetapi duta budaya dan kemanusiaan, menyatukan warisan, alam, seni, dan keramahan rakyat Malaysia ke dalam satu naratif besar: Malaysia Truly Asia.

Dan seperti langkah pertama ke puncak, setiap strategi, setiap wacana, setiap jabat tangan di bilik mesyuarat ini adalah benih yang bakal menumbuhkan satu musim baru pelancongan yang lebih inklusif, lestari dan mempesona.