Meow Menyala, Gaya Membara: Si 'Meow-Del' Yang Mana Bakal Menjulang Mahkota Runway Malaysia?

oleh: zizi hashim

Ratusan langkah kecil melangkah penuh percaya, bulu-bulu berkilau mengikut rentak lensa kamera, dan mata bersinar seolah tahu bahawa pentas ini memang milik mereka. Cat Fashion Week, acara peragaan unik yang menyatukan dunia fesyen dengan dunia si manja berbulu, kini menghampiri kemuncaknya. Dari sekian banyak penyertaan, hanya 8 nama terpilih untuk menjejakkan cakar ke pentas akhir. Satu demi satu, karektor mereka memancar dari busana yang bukan sekadar rekaan, tapi lambang kasih dan kreativiti pemiliknya.

Nama-nama seperti Omey, Chibu, Kristoff, Goyem, Junny, Winter Notty, Evian Evan dan Mocha kini menjadi sebutan. Di sebalik setiap nama itu tersembunyi kisah kasih sayang, keunikan personaliti, dan hubungan mendalam antara pemilik dan teman sehidup-sebantal mereka. Mocha, contohnya, seekor betina berbaka Domestic Long Hair, sentiasa ingin dibelai dan manja seperti anak kecil.

Menurut Siti Khadijah, pemiliknya, Mocha bukan sekadar peliharaan, tetapi sebahagian dari keluarganya. “Saya jaga dia sejak kecil, dah 4 tahun bersama. Masuk pertandingan ini pun asalnya suka-suka saja, tapi jadi kenangan terindah,” katanya dalam segmen NONA tempoh hari. Meskipun manja di rumah, Mocha punya sisi garang dan berani di luar, menjadikannya antara pesaing yang paling menyerlah dalam pusingan penjurian.

Kata juri Yuen Wai, bukan sekadar rupa menjadi taruhan, tetapi keserasian dan keyakinan seekor kucing di atas pentas. “Kalau cantik sekalipun, tapi takut dan tak mampu menggayakan pakaian, dia tetap tak cukup kuat sebagai juara. Kita cari keseimbangan antara gaya, aura dan kebijaksanaan,” ujar beliau tegas namun penuh penghayatan. Episod demi episod yang ditayangkan setiap Ahad dalam program NONA membawa penonton menyelami sisi lain dunia peragaan kucing. Bukan sekadar melihat mereka berjalan anggun di pentas, tetapi menyaksikan latihan, persiapan busana, dan hubungan rapat antara pemilik dan bintang gebu masing-masing.

Mulai 27 Julai 2025, TV3 akan menayangkan kapsul khas setiap Ahad jam 7.50 malam, selama 3 minggu berturut-turut. Di sinilah penonton berpeluang melihat cabaran sebenar di belakang tabir, dari kekecohan memilih kostum, hinggalah momen menyentuh hati saat kucing-kucing ini mula memahami pentas sebagai ruang ekspresi diri. Malam kemuncak dijadualkan berlangsung pada Ahad, 17 Ogos 2025, jam 9 malam. Hadiah utama bernilai RM5,000 menanti sang juara, bersama gelaran yang bakal terpahat dalam sejarah televisyen Malaysia sebagai ‘Meow-del’ pertama yang menawan runway nasional. Selain itu, 3 anugerah khas turut dipertandingkan iaitu Anugerah Felix, Si Bijak dan Si Lincah, meraikan ketangkasan serta kebijaksanaan para finalis berbulu ini.

Cat Fashion Week bukan hanya acara hiburan, tetapi juga simbol perayaan terhadap cinta tanpa syarat antara manusia dan haiwan peliharaan. Ia juga mengukuhkan semangat komuniti pencinta kucing yang semakin berkembang, disatukan oleh obsesi terhadap gaya dan kelembutan hati. Disokong oleh jenama Felix serta rakan media rasmi Hot FM dan SAYS, acara ini membuktikan bahawa kasih terhadap haiwan boleh menjadi bahasa universal, malah inspirasi kepada dunia fesyen itu sendiri.

Lapan pasang mata menanti giliran, lapan pasang kaki bersedia melangkah penuh gaya. Siapa yang akan menjulang gelaran 'Meow-del' unggul negara? Saksikan di TV3 kerana di Cat Fashion Week, bulu bukan sekadar perhiasan; ia adalah identiti yang membara.