
oleh: zizi hashim
Petang 11 Januari 2026 itu, Kopi & Pantun dipenuhi aroma kopi panas yang segar dan alunan suara mesra para tetamu. Cahaya lembut menyorot naskhah Kata-kata Kembara Seorang Jaga yang tersusun rapi di atas meja, seakan menjemput setiap pengunjung menyelami kisahnya. Duduk di sudut yang hangat, saya menyaksikan Mat Rosmin Daud, pengawal keselamatan dari Pasir Mas, Kelantan, asyik bercerita tentang pengembaraannya yang luar biasa.
Menjejak 41 negara sejak tahun 2010, daripada 195 negara di dunia. Suaranya tenang, namun setiap perkataan memancarkan tekad, kesabaran, dan disiplin yang jarang ditemui. Perjalanan Mat Rosmin bukan lahir dari kemewahan atau sokongan keluarga berada/kaya raya, tetapi daripada impian besar dan strategi yang teliti. Penjimatan kos, penyelidikan awal dan kesabaran yang konsisten. Beliau membuktikan bahawa pengembaraan adalah hak sesiapa sahaja yang berani melangkah, termasuk golongan pekerja biasa.


Dari lorong-lorong sunyi kota asing hingga pertemuan singkat dengan manusia pelbagai budaya, setiap detik membentuk empati, cara fikir terbuka, dan persepsi yang lebih mendalam terhadap dunia. Saya dapat merasai setiap detik itu, seolah-olah berada bersamanya dalam lorong-lorong asing yang penuh warna, bunyi, dan kisah.
Beberapa tokoh turut hadir memberi pandangan. Penulis dan pemikir Azman Hussin memuji keaslian perspektif Mat Rosmin, menyatakan kata-kata yang digoresnya “menyerap pengalaman daripada 41 buah negara yang telah dilaluinya.” Komposer Sufi Kecil, Shahnazron, merasakan naskhah ini bukan sekadar dibaca, tetapi dirasai melalui gema pengalaman yang menembus jiwa.
Hasbullah Najib, CEO Muslim Volunteer, menekankan bahawa buku ini adalah puitika moden, minimalis tetapi sarat dengan nasihat praktikal. Khair Zawawi, pemilik Toko Buku Hijau Book Valley, menambah bahawa naskhah ini sesuai dinikmati dalam suasana sunyi sambil menghirup kopi panas atau merenung alam secara bersendirian. Saya sendiri terasa seolah-olah duduk di hammock, membiarkan setiap kata meresap perlahan ke dalam jiwa.


Gaya penulisan Mat Rosmin yang minimalis dan padat menjadikan pengalaman membaca begitu tulus mengalir. Tiada retorik berlebihan, sebaliknya setiap perkataan dipilih dengan teliti untuk memuatkan pengalaman, renungan, dan emosi. Ilustrasi santai dan tipografi mesra pembaca memperkaya visualisasi, membawa pembaca seolah-olah duduk bersebelahan seorang “jaga” yang setia memerhati dunia. Simbol kucing “Jaga” menambah dimensi reflektif, mengajak pembaca merenung kesetiaan, kesunyian, dan perjalanan hidup bahawa setiap insan menempuh laluan sendiri yang hanya dapat difahami melalui pengalaman dan pemerhatian.
Majlis pelancaran juga mengungkap eksklusiviti buku ini. Edisi pecah tanah yang diterbitkan oleh Studio Kaukab ini dicetak terhad kepada 50 naskhah, sementara cetakan seterusnya dengan ISBN dijual RM40 (Semenanjung) dan RM45 (Sabah & Sarawak), dengan RM5 daripada setiap jualan disalurkan untuk tujuan kebajikan. Majlis Pelancaran Buku "Kata-Kata Kembara Seorang Jaga" turut dimeriahkan dengan persembahan akustik 7 buah lagu dari figura musisi Aru Peruzza yang juga merupakan sahabat baik kepada penulis sendiri. Antara lagu-lagu yang didendangkan Aru pada petang itu ialah "Emansipasi, "Berjalan Malam", "Orang Planet", lagu cover dari Bob Marley "One Love" dan "Redemption Song".


Petang itu, saya menyedari bahawa Kata-kata Kembara Seorang Jaga bukan sekadar travelog atau puisi, tetapi refleksi kehidupan, panduan melihat dunia, dan bukti bahawa impian terbuka bagi sesiapa sahaja yang berani melangkah, meski datang dari latar yang sederhana.
Turut hadir memeriahkan pelancaran ini, saya dibawa ke dalam dunia yang sarat makna. Setiap bait kata-kata menyalakan inspirasi, membangkitkan rasa ingin tahu, dan meneguhkan bahawa perjalanan dan pencarian diri tidak mengenal batasan kewangan atau pekerjaan. Ia adalah jemputan untuk setiap pembaca merasai dunia melalui mata seorang pengembara berhati lembut, setia menjaga jiwa, sambil dunia terus berputar di hadapannya.
Edisi cetakan kedua buku "Kata-Kata Kembara Seorang Jaga" boleh didapati dengan menghubungi Studio Kaukab di tokokaukab.mfarez.com atau hubungi direct di facebook Matmin sendiri www.facebook.com/matrosmin.daud
