
oleh: zizi hashim
Semangat Tahun Kuda 2026 disambut dengan ledakan yang penuh karakter apabila Marshall memperkenalkan Emberton III Lunar New Year Edition 2026, sebuah pembesar suara edisi terhad yang lahir daripada kolaborasi bersama artis China, FCCK. Pelancaran ini menandakan satu lagi pencapaian signifikan buat jenama audio ikonik tersebut, yang terus menghubungkan muzik, seni dan budaya dalam satu pernyataan estetik yang berani.
Edisi khas ini menjadi tunjang kepada kempen “Live Unbridled”, diinspirasikan daripada frasa Mandarin 脱缰野马 (tuō jiāng yě mǎ), metafora seekor kuda liar yang terlepas daripada kekangannya. Makna tersebut meraikan tenaga yang enggan dikurung serta kebebasan yang tidak mudah dipatahkan. Marshall mengajak komuniti kreatif Malaysia untuk berani memecah kebiasaan, memperbesar momen harian dan merayakan ekspresi tanpa kompromi.


Sentuhan visual FCCK mengubah Emberton III menjadi kanvas yang hidup. Artis yang dikenali melalui karya ilustrasi dan rekaan lengan album dalam arena muzik serta vinil China itu terkenal dengan pendekatan grafik dan tipografi yang eksperimental. Gaya berani serta komposisi visual yang mencabar norma menjadikan speaker ini bukan sekadar peranti audio, tetapi objek koleksi yang mencerminkan keberanian artistik.
Malaysia hanya menerima 50 unit eksklusif, menjadikan Emberton III Lunar New Year Edition 2026 sebagai item buruan kolektor dan peminat Marshall. Speaker ini mengekalkan bunyi legendaris Marshall dalam bentuk mudah alih, sesuai untuk kunjung-mengunjung, sesi spontan, serta suasana perayaan yang meriah sepanjang musim Tahun Baharu Cina.


Pelancaran rasmi berlangsung pada 7 Februari 2026, dan edisi terhad ini hanya boleh didapati secara eksklusif di Against Lab, sama ada melalui pembelian di Against Lab Pudu atau secara dalam talian di againstlab.com sehingga stok habis. Pendekatan eksklusif ini berbeza daripada strategi runcit nasional biasa Marshall, mencerminkan pilihan yang lebih terarah dan berakar pada komuniti seni serta budaya alternatif.
Sebagai simbolik kepada tradisi Tahun Baharu Cina, Against Lab turut menganjurkan bengkel penyesuaian kuplet pada hari pelancaran. Aktiviti ini memberi ruang kepada pengunjung untuk mencipta sendiri ayat keberkatan yang lazimnya digantung di bingkai pintu rumah, sekali gus menghubungkan warisan budaya dengan kreativiti kontemporari.


Acara pelancaran akan berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang di Against Lab Pudu, Kuala Lumpur. Harga jualan ditetapkan pada RM1,149. Peluang ini bukan hanya untuk memiliki produk audio premium, tetapi turut menikmati pengalaman interaktif yang menyatukan muzik, makanan dan minuman dalam suasana yang intim serta ekspresif.
Sejak 1962, Marshall sinonim dengan dunia rock and roll, menghasilkan amplifier dan peralatan audio yang mengiringi generasi pemuzik daripada pentas stadium hingga ke studio bilik tidur. Emberton III meneruskan warisan tersebut dalam format kompak, membawa tandatangan bunyi Marshall ke mana sahaja.


Di rantau Asia Tenggara, peranan pengedaran dipegang oleh Ash Asia, syarikat yang ditubuhkan pada 2009 dan menjadi pengedar rasmi fon kepala serta speaker Marshall. Dedikasi Ash Asia dalam membina jaringan runcit strategik dan menyokong komuniti gaya hidup telah memperkukuh kehadiran Marshall di Malaysia dan serantau.
Emberton III Lunar New Year Edition 2026 bukan sekadar pelancaran produk. Ia sebuah manifestasi seni, muzik dan kebebasan berekspresi, lambang semangat “Live Unbridled” yang mengajak setiap individu untuk berani hidup tanpa batasan.