Malaysia Juga Ada Kelas Jadi Duyung, Fenomena Baharu Dunia Air

oleh: zizi hashim

Siapa sangka ilusi duyung yang sekian lama bersemayam dalam kisah dongeng kini beralih menjadi pengalaman nyata. Pelancaran trailer dan teaser Duyung Legenda Aurora menyulut rasa ingin tahu ramai, mengheret imaginasi khalayak ke sebuah dunia bawah air yang sarat keajaiban. Dari situ, seni duyung mula merayap masuk ke ruang perbualan harian, menjadi kecenderungan baharu yang disambut dengan rasa teruja.

Persepsi tentang duyung sebagai sekadar fantasi perlahan-lahan terlerai. Malaysia rupanya sudah lama menyediakan kelas khusus untuk mereka yang mahu merasai pengalaman berenang menggunakan mermaid tail. Aktiviti ini terbuka luas, merentas usia dan latar, termasuk kanak-kanak istimewa serta individu autistik yang diberi ruang bergerak bebas dalam persekitaran air yang menenangkan dan selamat.

Nilai kelas duyung tidak terhenti pada visual atau estetika. Air menjadi medium terapi, membina keyakinan, koordinasi tubuh dan keberanian. Pendekatan inklusif ini menjadikan dunia duyung sebagai ruang empati, bukan sekadar tarikan bermusim.

Komuniti seperti Moddess Mermaid pula memperkayakan landskap ini dengan pendekatan mesra Muslimah. Dari busana, solekan hingga gaya berhijab, setiap perincian diraikan dengan penuh kehalusan agar peserta dapat menyelami pengalaman tanpa rasa janggal atau terhalang oleh batas keselesaan peribadi.

Sekitar Lembah Klang, beberapa akademi menawarkan kelas serupa, antaranya D Swim Academy (DSA), Water Mates Swimming Academy, Swim Up Academy, Merveille League Enterprise (MLE), Freediving Adventure Malaysia, Onshore Mermaid dan Riana Mermaid Academy, masing-masing membuka pintu kepada sesiapa yang ingin mengenal dunia duyung dari sudut berbeza.

Keterujaan ini bakal menemukan kemuncaknya apabila Duyung Legenda Aurora menemui penonton di pawagam mulai 25 Disember 2025. Tiket sudah mula dijual, mengundang khalayak untuk kembali percaya bahawa magis kadangkala hadir lebih dekat daripada yang disangka.