
oleh: zizi hashim
Rasa menonton kini tidak lagi terhenti pada layar, ia melimpah keluar menjadi sesuatu yang boleh disentuh, dinikmati, malah dikumpul sebagai kenangan. Melangkah lebih jauh daripada sekadar platform penstriman, Tonton memperkenalkan inisiatif terbaharu menerusi Tonton Rewards, sebuah pendekatan yang menjadikan setiap langganan sebagai pintu kepada dunia ganjaran yang lebih luas dan bermakna.
Dengan konsep “Subscribe & Redeem”, kempen ini dirangka untuk memberi nilai tambah kepada pengguna, bukan sahaja kepada pelanggan baharu, tetapi juga mereka yang setia memperbaharui pelan tontonan. Ia adalah sebuah ekosistem di mana hiburan bertemu ganjaran, dan pengalaman menonton bertukar menjadi sesuatu yang lebih berbaloi.
Struktur ganjarannya disusun secara berperingkat, seiring dengan tempoh langganan. Pelan 1 bulan membuka peluang kepada pengguna menikmati baucar RM20 daripada Baskin Robbins, satu sentuhan kecil yang manis selepas setiap sesi tontonan.

Bagi pelan 3 bulan, ganjaran menjadi lebih ‘berlapis’. Baucar RM20 Baskin Robbins setiap bulan digandingkan dengan baucar RM40 daripada Pizza Hut, mencipta kombinasi yang menyatukan hiburan dan pengalaman santai dalam satu pakej. Sementara itu, pelanggan pelan 12 bulan bakal menikmati manfaat paling ‘padu’, termasuk baucar RM100 Pizza Hut serta baucar RM216 daripada Watsons, sebuah ganjaran yang terasa seperti hadiah kepada kesetiaan yang berpanjangan.
Namun, kempen ini tidak berhenti pada ganjaran berbentuk baucar. Sebuah elemen kreatif turut diperkenalkan melalui permainan kad “Drama Pukul 7” (Edisi Tonton), hasil kolaborasi bersama Meja Belakang. Permainan ini menghidupkan semula karakter daripada drama ikonik seperti Perempuan Itu dan Nur, membolehkan pemain menyusun strategi, mempertahankan watak, dan ‘menjatuhkan’ lawan dalam suasana yang penuh dramatik, seolah-olah dunia skrin kecil dipindahkan ke atas meja permainan.

Lebih menarik, hanya 50 unit permainan ini ditawarkan sepanjang tempoh kempen dari 3 hingga 24 April 2026, menjadikannya sebuah koleksi eksklusif yang bernilai bagi peminat tegar. Dalam masa yang sama, Tonton turut memperkenalkan akses premium tanpa gangguan iklan, memberikan pengalaman menonton yang lebih lancar serta akses kepada kandungan gaya hidup dan berita melalui platform seperti Harian Metro, New Straits Times, Berita Harian dan Waktu Solat Malaysia.
Kesemua ganjaran ini boleh ditebus melalui portal rasmi rewards.tonton.com.my, menjadikan proses penebusan lebih mudah dan mesra pengguna. Lebih daripada sekadar kempen promosi, Tonton Rewards dilihat sebagai satu evolusi. Cara baharu untuk menghargai penonton, menjadikan setiap klik, setiap episod, dan setiap langganan membawa pulangan yang nyata. Dan mungkin, dalam setiap ganjaran yang diterima, terselit satu perasaan yang lebih besar bahawa hiburan tidak lagi sekadar ditonton, tetapi dirayakan.