Kasih Dari Dapur Legenda: Sos Cili Pedas IBU Menyapa Brunei Dengan Rasa Yang Tak Pernah Pudar

oleh: zizi hashim

Tidak semua kejayaan bermula dengan strategi korporat atau pelan pemasaran yang rumit. Kadangkala, ia lahir daripada sesuatu yang jauh lebih sederhana iaitu keinginan tulus untuk berkongsi rasa kasih dan nostalgia. Itulah yang mengalir dari tangan lembut Dato’ Khadijah Ibrahim, seorang legenda seni suara yang kini melebarkan cinta dan dedikasinya ke dunia perniagaan melalui jenama yang diberi nama seindah dirinya, IBU.

Dan kini, kasih dari dapur seorang legenda itu telah menyeberangi sempadan, menyapa hati dan selera masyarakat Brunei Darussalam melalui produk unggulan Sos Cili Pedas IBU. Dalam hanya 4 bulan sejak dilancarkan ke pasaran antarabangsa, sos ini telah menempatkan dirinya di lebih 70 rangkaian pasar raya utama di seluruh Brunei, termasuk Jaya Hypermart dan Fayze Mart, mencipta fenomena kecil yang besar maknanya buat industri tempatan Malaysia.

“Saya percaya setiap hidangan yang dimasak dengan kasih sayang akan membawa kebahagiaan. Itulah jiwa di sebalik setiap produk IBU,” tutur Dato’ Khadijah, dengan senyum lembut yang menyembunyikan kekuatan tekad di sebalik ketenangan dirinya. Setiap titisan Sos Cili Pedas IBU seolah mengandungi naratif masa. Kisah tentang air tangan ibu yang tidak pernah culas menyiapkan hidangan keluarga, tentang aroma dapur lama yang membangkitkan kenangan zaman kecil.

Ia dirumus dengan bahan-bahan semula jadi, tanpa pengawet tiruan, dan memiliki keseimbangan rasa pedas, manis, dan masam yang harmoni, mencerminkan falsafah Dato’ Khadijah sendiri: keseimbangan dalam kehidupan, kesederhanaan dalam keindahan. Dari sos cili, perjalanan jenama ini kini berkembang dengan 6 varian baharu: Sos Tiram, Kicap, Sos Nasi Ayam, Sos Bawang Putih, Sos Cili Padi, dan Sos Cili Lemon, kesemuanya dihasilkan dengan ketelitian dan keaslian yang sama. Setiap botol membawa simbol kasih seorang ibu, melewati sempadan geografi untuk menyentuh hati setiap keluarga yang menghargai rasa sejati masakan rumah.

Kehadiran IBU di Brunei bukanlah sekadar ekspansi perniagaan, tetapi satu bentuk pertemuan budaya dan citarasa Nusantara. Melalui siri promosi di Jaya Hypermart (Rimba Point) dan Fayze Mart (Tutong) serta pelancaran rasmi di Restoran Chilis, Jangsak, IBU memperkenalkan dirinya bukan sebagai jenama asing, tetapi sebagai sebahagian daripada keluarga besar serantau yang berkongsi akar dan rasa yang sama.

Sesi merasa produk, demonstrasi memasak secara langsung, dan interaksi hangat bersama pelanggan menjadikan setiap acara itu seperti kenduri kecil. Meriah, mesra, dan sarat makna. Ramai pengunjung tampil memberikan maklum balas positif, memuji keaslian rasa serta tekstur sos yang serba seimbang. “Sambutan masyarakat Brunei luar biasa. Ia bukan hanya tentang produk, tetapi tentang nilai yang kita bawa, kejujuran dalam rasa dan kasih dalam usaha,” ujar Dato’ Khadijah dengan mata yang berkilau bangga.

Perjalanan Dato’ Khadijah dalam dunia perniagaan terasa seperti kesinambungan dari kisah hidupnya yang panjang dalam seni. Jika dulu suaranya mengisi ruang hati pendengar dengan melodi cinta dan rindu, kini air tangannya mengisi ruang dapur dengan rasa yang menenangkan. Ia adalah evolusi seorang wanita yang terus mencipta, dari nada menjadi rasa, dari lagu menjadi legasi.

Produk IBU bukan sekadar hasil komersial; ia adalah refleksi falsafah hidupnya bahawa kasih yang ikhlas tidak pernah gagal menemukan jalannya. Dari dapur kecil di Malaysia hingga ke rak pasar raya Brunei, semangat itu terus hidup dan bernafas. Kejayaan Sos Cili Pedas IBU menembusi pasaran Brunei dalam tempoh singkat menjadi simbol kekuatan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia.

Ia membuktikan bahawa dengan kualiti yang konsisten, inovasi yang berani, dan kejujuran dalam produk, jenama tempatan mampu berdiri sebaris dengan nama-nama global. Industri IKS kini bukan lagi entiti kecil yang berjuang di pinggir, tetapi tunjang kepada ekonomi kreatif negara. Usahawan seperti Dato’ Khadijah menjadi lambang bahawa pengalaman, usia, dan seni boleh bertaut dalam satu perjalanan yang penuh makna , perjalanan memperkenalkan rasa Malaysia kepada dunia.

Sos Cili Pedas IBU bukan hanya bumbu pada hidangan; ia metafora tentang kehidupan itu sendiri. Pedasnya perjuangan, manisnya kejayaan, dan masamnya pengorbanan. Ia mengajar bahawa rasa yang datang dari hati akan sentiasa dikenang, di mana pun ia dicicip. Brunei hanyalah permulaan. Dengan langkah yang mantap, jenama IBU kini bersedia menjejak pasaran serantau lain membawa bersama cita rasa Malaysia yang kaya dengan keaslian, kehangatan dan kasih ibu yang abadi.

“Saya ingin setiap rumah, sama ada di Kuala Lumpur atau Bandar Seri Begawan, merasakan kehangatan itu. Kerana cinta seorang ibu itu, tak pernah mengenal sempadan,” ungkap Dato’ Khadijah perlahan, seolah berbicara kepada setiap jiwa yang pernah merindukan masakan rumah.