
oleh: zizi hashim
Bukan semua barangan koleksi dicipta untuk memenuhi rak pameran. Ada yang lahir sebagai simbol keterujaan sebuah komuniti. Ada pula yang menjadi buruan bertahun-tahun kerana kewujudannya terlalu terhad sehingga sukar ditemui walaupun dalam kalangan peminat tegar sesebuah jenama. Semakin sukar dimiliki, semakin tinggi nilainya di hati para pengumpul. Aura itulah yang mengiringi ketibaan Google Pixel Plushie Edisi Bola Sepak ke Malaysia. Buat pertama kalinya, karakter ikonik Google Pixel yang sebelum ini hanya muncul dalam aktiviti komuniti terpilih dan pemberian eksklusif di beberapa negara, kini diperkenalkan kepada peminat tempatan menerusi edisi istimewa bertemakan bola sepak.
Lebih mengujakan, hanya 200 unit disediakan di seluruh negara, menjadikannya antara barangan koleksi Google Pixel paling eksklusif pernah ditawarkan di Malaysia. Bagi peminat Google Pixel di seluruh dunia, plushie comel ini bukanlah sesuatu yang asing. Selama bertahun-tahun, ia berkembang menjadi antara merchandise rasmi yang paling sukar dimiliki kerana tidak pernah dijual secara terbuka di pasaran runcit. Sebaliknya, ia hanya diberikan menerusi aktiviti khas Google Pixel serta program komuniti terpilih, sekali gus menjadikannya simbol eksklusiviti dalam kalangan peminat jenama tersebut. Kini, Malaysia menjadi antara destinasi terawal menerima edisi khas yang diinspirasikan daripada semangat bola sepak.

Berbeza daripada rekaan asal, Google Pixel Plushie Edisi Bola Sepak tampil dengan identiti yang lebih ceria dan penuh karakter. Ia mengenakan jersi bola sepak klasik yang diinspirasikan daripada warna ikonik Google iaitu biru, merah, kuning dan hijau, lengkap dengan logo "G" pada bahagian dada serta sebiji bola sepak kecil yang berada di bawah lengannya. Reka bentuk ini bukan sekadar perubahan kosmetik, malah melambangkan semangat kesukanan, kerjasama dan kebersamaan yang sinonim dengan sukan paling popular di dunia. Apa yang menjadikan edisi ini lebih istimewa ialah statusnya sebagai barangan koleksi, bukannya hadiah promosi biasa.
Google Pixel mengekalkan tradisi bahawa plushie ini tidak akan dijual secara komersial. Sebaliknya, ia hanya boleh dimiliki oleh pelanggan yang membeli peranti Google Pixel yang layak sepanjang kempen bola sepak Google Pixel dan berjaya melengkapkan proses penebusan dalam talian. Dengan hanya 200 penebusan pertama diberikan peluang membawa pulang plushie eksklusif ini, setiap unit dijangka menjadi rebutan peminat dan pengumpul sebaik kempen berlangsung.
Eksklusiviti inilah yang menjadikan Google Pixel Plushie Edisi Bola Sepak berbeza daripada barangan kempen lain seperti jersi, bola sepak atau beg tote yang turut ditawarkan. Dalam dunia pengumpul, sesuatu edisi sering dianggap lebih bernilai apabila bilangannya terhad. Faktor itu dijangka menjadikan plushie ini antara merchandise Google Pixel yang paling sukar diperoleh di Malaysia, sekali gus meningkatkan nilai sentimentalnya kepada pemilik yang berjaya mendapatkannya.

Pelancaran plushie eksklusif ini merupakan sebahagian daripada Kempen Bola Sepak Google Pixel yang berlangsung sehingga 31 Julai 2026. Selain peluang menebus merchandise eksklusif, kempen ini turut memperkenalkan Pixel Spotter Challenge, sebuah permainan interaktif yang menguji kepantasan peserta mencari Google Pixel Plushie yang tersembunyi merentasi lima peringkat cabaran. Setiap peserta akan mengumpul mata berdasarkan kelajuan dan ketepatan, di samping berpeluang memperoleh mata tambahan menerusi sistem rujukan kepada rakan-rakan.
Persaingan menjadi lebih menarik apabila 12 peserta terbaik bakal membawa pulang hadiah bernilai tinggi termasuk Google Pixel 10a, Pixel Watch 4 dan Pixel Buds 2a. Kempen ini bukan sekadar meraikan bola sepak, malah menggabungkan elemen permainan digital, inovasi teknologi serta pengalaman komuniti yang semakin menjadi identiti Google Pixel di seluruh dunia. Pelanggan yang membeli peranti Google Pixel daripada rakan niaga terpilih seperti Maxis, U Mobile, Senheng, senQ, Urban Republic, TMT dan Switch Solution turut layak menebus pelbagai merchandise eksklusif selagi stok masih ada.
Namun, bagi peminat yang benar-benar mengimpikan plushie edisi bola sepak ini, hanya kepantasan akan menentukan siapa yang berjaya memilikinya. Lebih daripada sekadar sebuah patung lembut, Google Pixel Plushie Edisi Bola Sepak menjadi simbol bagaimana sebuah jenama teknologi mampu membina hubungan emosi bersama komuniti peminatnya. Ia menggabungkan nostalgia, budaya koleksi dan semangat sukan dalam satu rekaan yang kecil, tetapi mempunyai nilai yang besar di hati para penggemar.
Kempen Bola Sepak Google Pixel akan berlangsung sehingga 31 Julai 2026. Bagi mereka yang ingin mencabar diri dalam Pixel Spotter Challenge, menebus merchandise eksklusif atau menjadi antara 200 individu pertama memiliki Google Pixel Plushie Edisi Bola Sepak, inilah peluang yang tidak wajar dilepaskan. Kerana sesetengah koleksi bukan hadir setiap tahun.Dan ada yang, apabila terlepas, mungkin tidak akan kembali lagi.