CNY Must Be Good 2026: Semarak Tahun Kuda yang Mengikat Ceria Seluruh Negara

oleh: zizi hashim

Suasana awal tahun selalu membawa satu getaran khusus; seumpama dunia mula bernafas dengan ritma yang lebih cerah. Tahun Kuda 2026 hadir dengan aura yang memberangsangkan, dan Media Prima melangkah masuk ke gelanggang perayaan dengan kempen 'CNY Must Be Good', sebuah gerakan yang dirangka bukan sahaja untuk menceriakan, tetapi untuk menyuburkan kembali semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

Sorotan pertama jatuh kepada kehadiran maskot baharu, Xiao Max, figura kecil yang memancarkan keberanian, tenaga dan ketangkasan, persis sifat Tahun Kuda menurut kalendar lunar. Xiao Max menjadi wajah utama sambutan, ditemani 12 duta kempen (CNY Buddies) seperti Owen Yap, Orange Tan, Tan Ley Teng, Rickman Chia, Natalie Ng, Desmond Tey, Ke Qing dan ramai lagi. Kehadiran mereka seolah mengikat kemeriahan dengan wajah-wajah yang sudah akrab di kaca televisyen kita selama ini.

Kempen ini diterajui oleh 8TV, saluran Cina nombor satu Malaysia, sambil dikuatkan oleh rangkaian rakan media seperti Eight WuXian, Tonton, Rojaklah, Viralcham dan TantanNews (TTN). WOWSHOP pula menggerakkan kemeriahan gaya hidup dengan promosi istimewa, menjadikan CNY Must Be Good sebagai sebuah ekosistem perayaan yang lengkap daripada hiburan, komuniti hingga ke pembelian dalam talian.

Lagu tema “新年 Must Be Good” menjadi nadi yang memeriahkan seluruh kempen. Melodi ceria ini menyatukan 12 duta bersama dua keluarga juara Family Singing Show Season 6, menghadirkan rasa kekeluargaan yang lembut tetapi menyenangkan. Lebih menarik, video muzik tahun ini menampilkan kemunculan semua maskot zodiak Media Prima sejak tahun 2015, buat pertama kali menghimpunkan kesemua 12 dalam satu karya visual, bagaikan membawa semula memori satu dekad lalu ke dalam tahun yang baru.

Rangkaian barangan edisi terhad pula mencuri perhatian. Plush toy, keychain, tote bag, t-shirt, tuala dan sarung kaki, semuanya dirangka dengan rekaan ceria yang mudah memikat. Koleksi terbaru “8TV 12 Zodiac Keychain Collection” dilancarkan sebagai buah tangan istimewa, menjadikan ia pilihan premium untuk penggemar koleksi perayaan. Produk ini tersedia di Popular, laman rasmi dan platform e-dagang terpilih.

Kemeriahan televisyen pula mewarnai seluruh Januari hingga Februari. Fun Together 2026 mendekatkan 8TV dengan 16 komuniti Cina di seluruh Malaysia, manakala CNY Mega Show 2026 menghimpunkan lebih 30 artis untuk persembahan gilang-gemilang. Program lain seperti Nestum Ho Chak! CNY Special, As You Wish 2026, A New Journey CNY Special dan CNY Feng Shui Special 2026 mewujudkan semangat perayaan yang meriah di setiap ruang kaca TV.

Drama My Star Family 3 lakonan Emily Chan dan Thomas Kok pula menawarkan kisah komedi keluarga selebriti yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat kita yang penuh gurau senda, riuh-rendah, kucar-kacir tetapi terasa hangat.

Sisi gaya hidup turut diperkuat melalui WOWSHOP, yang menghidupkan promosi perayaan sejak 18 Disember 2025. Diskaun sehingga 50%, penghantaran percuma, dan sesi live bersama selebriti menjadikan aktiviti membeli-belah lebih interaktif. Setiap siaran terasa seperti kunjungan ke rumah rakan yang penuh cerita dan cadangan berguna. Perayaan digital pula terus berkembang. Eight WuXian hadir dengan drama bersiri vertikal, TTN melancarkan edisi khas inforia, Rojaklah menawarkan resipi kuih Tahun Baharu bersama artis jemputan, manakala Viralcham membawakan siri lawatan dekorasi perayaan di pusat beli-belah.

Kempen ini turut membuka peluang kepada komuniti pelajar melalui Pertandingan MV Kreatif untuk sekolah rendah dan menengah, dengan jumlah hadiah bernilai RM20,000. Ia memberi ruang generasi muda meluahkan kreativiti mereka melalui muzik, video dan seni persembahan. Lebih istimewa, kerjasama antara 8TV dan Kinohimitsu menerusi kempen CNY Blessing Gift Pack bakal mengunjungi enam negeri untuk menyampaikan hadiah kepada penerima bertuah, menghadirkan kebaikan yang lebih luas, sejajar dengan semangat Tahun Kuda yang progresif.

Seluruh kempen ini tidak mungkin berjalan lancar tanpa rangkaian penaja yang terdiri dari Kinohimitsu, Jasmine Food, Loong Kee Dried Meat, Daia, Nutox, Cuckoo, BRAND’S, Nestum, Darlie, Blackmores, NESCAFÉ Gold, Snickers, Metalogy Academy, IN2IT, Sungei Wang Plaza dan James Lai Fengshui Astrology. Mereka bekerjasama sebagai rakan strategik untuk menjadikan CNY Must Be Good sebagai kempen paling meriah untuk tahun 2026.

Tahun Kuda sering dikaitkan dengan keberanian untuk melangkah ke hadapan, dan Media Prima menghadirkan kempen ini sebagai simbol tenaga baharu, sebuah tradisi moden yang tetap memeluk nilai kekeluargaan, kreativiti dan keceriaan.