Citra Baharu 'TVS Spotlight 25/26' Membawa Borneo ke Pentas Nasional Seluruh Malaysia

oleh: zizi hashim

Aura sebuah perjalanan media yang berakar dari Bumi Kenyalang kini semakin melebar ke serata tanah air. TV Sarawak (TVS), stesen televisyen pertama lahir dari jantung Sarawak, mempersembahkan sidang media eksklusif “TVS Spotlight 25/26”, sebuah pentas yang menyingkap visi, hala tuju, serta wajah baharu kandungan yang akan mewarnai layar 2026. Lebih daripada sekadar acara peluncuran, ia adalah pernyataan keyakinan tentang bagaimana suara Borneo terus bergetar di pentas nasional, dengan jangkauan yang menjalar hingga ke serantau.

Momentum kali ini dirangka bukan hanya untuk memperkenalkan drama, hiburan, dokumentari atau liputan sukan ikonik, tetapi juga menyulam jaringan dengan pengiklan dan rakan strategik melalui pakej penajaan 360° yang menyeluruh. Sejak kelahirannya pada 2020, TVS setia mengangkat identiti dan warisan tempatan, namun tetap tangkas menyesuaikan diri dengan gelombang digital yang mencorakkan cara baharu penonton berinteraksi dengan media.

Menurut Dato’ Norhyati Ismail, Pengerusi & Presiden TVS / Sarawak Media Group (SMG), tujuan utama Spotlight ini adalah memperkukuh brand visibility di pasaran nasional, memperkenalkan program segar untuk tahun mendatang, serta mengundang lebih banyak rakan kongsi baharu. Harapannya, pengaruh TVS dapat terus mencorak landskap penyiaran di Malaysia dan melangkaui sempadan rantau.

Fasa 2026 dijangka menjadi era yang berani, menyaksikan kelahiran Gerak Khas 2.0, disusuli pelbagai drama tempatan, rancangan realiti, dokumentari, serta liputan langsung acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya dan Piala Carabao. Strateginya jelas: menyeimbangkan kekuatan televisyen tradisional dengan kebolehan digital agar capaian tidak terbatas.

Lebih daripada kandungan hiburan, TVS membawa roh budaya yang menyalakan semangat kolektif. Program seperti Sarawak Regatta dan sambutan Perayaan Gawai bukan sahaja mengangkat identiti Borneo, tetapi menjelmakan pengalaman yang mampu ditonton dan dirasakan penonton dari Perlis hingga ke Johor, malah ke negara jiran di ASEAN. “Melalui TVS, warisan ini dapat menembusi sempadan dan disaksikan oleh dunia,” ujar Dato’ Norhyati penuh yakin.

Dimensi komersial turut diberikan sentuhan strategik. Pakej penajaan 360° TVS menjanjikan keterlihatan jenama di setiap ruang – televisyen, digital, media sosial hingga ke papan iklan LED. Kolaborasi dengan Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan Cats FM memperkukuh lagi ekosistem pengiklanan, menjadikan TVS sebuah platform bersatu yang berimpak luas.

Dalam pada itu, TVS tidak mengabaikan tanggungjawab membina bakat. Dengan lebih 300 vendor tempatan pernah bekerjasama, ia membuka lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk penggiat seni dan karyawan kreatif. Janji TVS jelas: membangun industri media Malaysia bukan hanya dengan teknologi, tetapi juga dengan manusia di sebaliknya.

Visi jangka panjangnya menyasar kepada audiens di seluruh Malaysia dengan harapan menjadikan TVS sebagai pemain utama industri penyiaran. Dengan sokongan platform digital yang semakin berpengaruh, keyakinan itu terasa nyata. “Spotlight 25/26 akan membuka halaman baharu untuk kerjasama strategik, penajaan dan perkongsian media yang dinamik,” ujar Dato’ Norhyati, menitipkan janji bahawa dari Sarawak, sinar ini akan terus merayap ke seluruh ufuk tanah air.

“TVS Spotlight 25/26 menjadi batu loncatan kepada sinergi baharu antara penonton, penaja, dan media. Dari Sarawak, kita bawa semangat yang sama ke seluruh tanah air, menyalakan cahaya media yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi,” akhiri Dato’ Norhyati Ismail, menyulam keyakinan bahawa masa depan penyiaran Malaysia semakin bercahaya dengan jejak langkah dari Borneo.