Buka Lembaran Baharu: Usanita Angkat Kandungan Tempatan ke Platform Global melalui UTV

oleh: zizi hashim

Tampil melakar satu lagi pencapaian bermakna, Usanita Sdn Bhd menerusi anak syarikat hiburannya, Usanita Entertainment, dengan bangga memperkenalkan UTV, sebuah platform penstriman (OTT) baharu yang bukan sekadar menjanjikan hiburan, tetapi juga mengangkat martabat karya tempatan yang tulen, beremosi dan menyentuh hati. Dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada penghujung Mei ini, UTV hadir dengan semangat dan visi yang jelas, untuk menjadi platform yang mencerminkan keindahan dan keunikan identiti Malaysia, yang berbilang bangsa, budaya dan suara. 

Dengan tagline “Stream For You”, UTV bukan sahaja menawarkan kandungan untuk ditonton, tetapi turut mencipta ruang yang mempertemukan kisah, impian dan aspirasi rakyat Malaysia, dalam bentuk seni yang hidup dan menginspirasikan. Apa yang membezakan UTV daripada platform lain ialah niat dan falsafah di sebaliknya. Ia bukan sekadar perniagaan atau produk digital, tetapi merupakan sebuah inisiatif berani oleh Usanita Entertainment untuk menyemai harapan dan membuka peluang, terutama kepada para pengkarya dan bakat seni tempatan agar suara mereka didengari dan dihargai, tidak kira siapa mereka atau dari mana mereka datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, UTV adalah manifestasi komitmen Usanita dalam menyokong serta memperkasakan ekosistem hiburan tempatan. Beliau menjelaskan bahawa idea menubuhkan UTV muncul dari keperluan mendesak untuk menyediakan platform yang lebih terbuka, berdaya cipta dan inklusif – satu medan yang mampu menampung potensi besar penggiat seni tanah air yang sekian lama dahagakan peluang.

“Kami melihat satu kekosongan yang nyata dalam landskap penstriman hari ini – kekurangan platform yang benar-benar memberi tumpuan kepada karya-karya tempatan yang berani, jujur dan menyentuh jiwa. Malaysia kaya dengan bakat luar biasa dan cerita yang mampu memberi kesan mendalam, bukan sahaja kepada penonton tempatan tetapi juga di peringkat serantau,” kata beliau. “UTV bukan hanya platform tontonan, ia adalah pentas untuk mendidik, menyatukan dan memperkasakan. Kami ingin lihat wanita, golongan muda dan pengkarya bebas diberi ruang yang adil untuk bersinar dalam industri hiburan digital.”

UTV dijangka akan menyajikan pelbagai kandungan premium merangkumi drama bersiri tempatan, telefilem, dokumentari, filem asli, bual bicara serta kandungan gaya hidup yang disesuaikan dengan citarasa generasi digital masa kini. Bagi memastikan setiap kandungan yang ditayangkan mencapai standard tertinggi, Usanita Entertainment telah melantik pengarah dan penerbit tersohor tanah air, Erma Fatima, sebagai Penasihat Saluran (Channel Advisor) bagi UTV. Pelantikan ini membuktikan kesungguhan Usanita untuk menjadikan UTV sebuah jenama yang dikenali kerana mutu dan keaslian.

Namun Usanita tidak terhenti setakat melancarkan platform digital. Sebagai tanda permulaan kepada perjalanan UTV, Usanita Entertainment turut mengumumkan dua persembahan eksklusif yang dijadualkan berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 30 dan 31 Mei ini. Dua nama besar akan menghiasi pentas – Nadeera Zaini dalam persembahan An Evening With Nadeera Zaini, diikuti dengan Hael Husaini – Antonim Night pada malam berikutnya.

Datuk Adzliana menegaskan bahawa persembahan ini bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan pernyataan Usanita dalam membawa seni tempatan lebih dekat dengan hati peminat. “Kami ingin mencipta ruang persembahan yang lebih intim, eksklusif dan penuh makna. Ini bukan sekadar konsert, ini adalah penghormatan buat seni dan para seniman yang sentiasa memberikan jiwa dalam setiap karya mereka. Kami percaya bahawa melalui acara sebegini, hubungan antara artis dan penonton dapat disemai dengan lebih mendalam, sejajar dengan prinsip kami untuk menghargai kualiti dan keaslian seni tempatan,” tambah beliau.

Pengumuman dua inisiatif penting ini, pelancaran UTV dan penganjuran persembahan eksklusif disampaikan dalam satu majlis penuh glamor sempena Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 23 April 2025. Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai selebriti ternama tanah air seperti Fattah Amin, Scha Alyahya, Aina Abdul, Nora Danish, Awal Ashaari, Zoey Rahman, Erma Fatima dan ramai lagi yang tampil memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif berani Usanita.

Dengan UTV, Usanita Entertainment membuktikan bahawa mereka bukan hanya pemain dalam industri, bahkan mereka adalah pencetus perubahan. Sebuah langkah berani ini bukan sahaja memperkaya dunia hiburan digital, malah membuka lembaran baharu untuk seni tempatan berkembang, dihargai dan diterima di peringkat yang lebih luas. Usanita telah menyalakan obor harapan baharu buat dunia seni dan hiburan tanah air. Dan dengan UTV, mereka sedia untuk membawa suara Malaysia kepada dunia.