Bromley 750 Mengaum ke Malaysia: Marshall Buka Lembaran Baharu Era Party Speaker

oleh: zizi hashim

Suasana di Kuala Lumpur beberapa hari lalu seakan diperindah dengan satu frekuensi baharu. Frekuensi yang membawa nama Marshall memasuki gelanggang yang belum pernah disentuh mereka sebelum ini. Bromley 750, party speaker pertama jenama legenda itu, dilancarkan dengan keyakinan yang menggambarkan betapa muzik boleh menjadi pengikat manusia walau ruang dan latar berbeza. Sesiapa yang mengikuti perjalanan Marshall pasti memahami bahawa setiap inovasi mereka tidak pernah dibuat sambil lewa.

Bromley 750 muncul sebagai bukti bahawa warisan rock ‘n’ roll boleh berevolusi tanpa kehilangan jati diri. Rekaan klasiknya yang tegas, panel logam berus, jeriji ukiran dan balutan kulit PU berasaskan air, semuanya dirangka dengan keanggunan yang tetap memegang DNA Marshall: bergaya, kukuh, dan penuh personaliti. Pelancaran global ini turut dirayakan bersama figura yang mencerminkan semangat liar Marshall iaitu Denzel Curry. Keghairahan pentas, intensiti vokal dan gaya muzik yang melanggar garis sempadan genre membuatkan kolaborasi ini tampak seperti gabungan yang tidak dirancang tetapi ditakdirkan.

Bromley 750 bukan sekadar speaker; ia sebuah objek perayaan yang memecahkan batas lokasi. Sama ada pesta intim di ruang tamu, sesi jamming di gudang terbuka, mahupun malam santai di lokasi outdoor, bunyi 360° True Stereophonic yang memancar ke seluruh arah menghadirkan pengalaman audio yang merata tanpa titik mati. Dua top tweeters yang menolak bunyi ke atas dan sekeliling menjadikan setiap melodi berkeliling seperti gelombang yang menghidupkan udara sekeliling.

Lebih 40 jam masa main menjadikan speaker ini pilihan ideal untuk maraton muzik tanpa henti. Dan jika bateri hampir nazak, penukaran bateri boleh dilakukan secepat pertukaran pick gitar. Mudah, segera, praktikal. Pilihan mengekalkan sambungan AC sambil terus memainkan muzik turut memastikan momentum tidak terputus, walau satu saat.

Satu lagi tarikan Bromley 750 ialah butang “character sound control” baharu. Dengan satu putaran, pengguna boleh memilih antara mod Dynamic atau Loud, dua personaliti bunyi yang bertindak seperti dua alam mood yang berbeza. Mod Dynamic menawarkan tona lebih lembut dan jernih, ideal untuk ruang tertutup atau sesi santai, manakala mod Loud menyemburkan bunyi yang lebih tegap, utuh dan berotot, dicipta untuk pesta kemuncak.

Lampu pentas terbina menyempurnakan nuansa. Tiga mod pencahayaan yang berubah mengikut nada muzik memberi lapisan visual yang memikat, seolah-olah speaker ini membawa panggung mini ke mana sahaja. Inspirasi lampu itu datang dari dunia gig yang selalu menjadi nadi Marshall, elemen kecil tetapi menghidupkan keseluruhan pengalaman. Bromley 750 turut mempunyai dua combo jack yang membenarkan mikrofon dan instrumen dipasang terus. Ruang tamu boleh bertukar menjadi dewan karaoke, gudang menjadi ruang showcase, dan halaman menjadi pentas akustik. Semua dikawal dari panel logamnya yang ringkas tetapi intuitif.

Ketahanan IP54 menjadikan speaker ini lebih daripada sekadar cantik. Ia tahan debu, tahan percikan air, dan sedia menghadapi parti yang mungkin sedikit kacau, sedikit liar, sedikit “Marshall”. Sistem saliran pada tweeters memastikan hujan renyai tidak mematahkan mood. Dan rekaan lengkap dengan pemegang serta roda terbina membolehkan sesiapa sahaja mengheretnya ke lokasi seterusnya tanpa memerlukan tenaga tambahan.

Hanna Wallner, Pengurus Produk Marshall Group, mengungkapkan falsafah di sebalik penciptaannya, “Kami melihat peluang untuk membawa kelainan dalam kategori party speaker yang cenderung seragam. Bromley 750 memeluk identiti Marshall sepenuhnya, rekaan ikonik dan akustik unggul.” Ella Renneus, Pengurus Rekaan Kanan, pula menambah,“Bromley 750 dicipta sebagai sesuatu yang orang ingin pamerkan—speaker yang melambangkan gaya hidup. Setiap bahan dipilih bukan hanya untuk rupa, tetapi untuk ketahanan.”

Dengan harga RM5,899, Bromley 750 kini boleh didapati di Harvey Norman, TMT, PC Image dan akan menyusul di Urban Republic, Flash Gadgets, ALL IT Hypermarket, Vivid Concepts, EWT Technology dan SNS Network sepanjang November.Marshall mengingatkan kita sesuatu yang mudah tetapi sering dilupa, muzik bukan hanya bunyi. Ia pengalaman, hubungan, perayaan dan pernafasan kolektif. Dan Bromley 750 ialah undangan untuk mencipta momen-momen itu dengan lebih hebat, lebih lantang, lebih hidup.