oleh: zizi hashim
Ilham terbaharu daripada jenama ikonik Amber, Amber Oasis Abaya, hadir sebagai penzahiran puitis antara warisan Islamik dan inovasi kontemporari, mengangkat abaya daripada sekadar busana kepada sebuah statement yang merangkumi citarasa, maruah dan elegansi Muslimah moden. Tiada yang dibuat secara sambil lalu. Setiap helaian dalam koleksi edisi terhad ini lahir dari percaturan avant-garde yang berani, namun tetap akur kepada akar budaya dan nilai spiritual. Amber, yang sejak awal memposisikan dirinya sebagai simbol kemewahan dan keyakinan wanita Muslimah, kini menambah satu lagi bab penting dalam naratif fesyen Malaysia yang kian matang dan bercitarasa tinggi.
Lensa awam turut terpukau dengan kolaborasi istimewa 3 figura jelita tanahair disunting menjadi duta yang mencerminkan roh koleksi ini: Nora Danish, Amira Othman dan Amyra Rosli. Mereka bukan sekadar wajah, tetapi cerminan gaya hidup Muslimah yang menyatu antara aspirasi moden dan prinsip yang terpelihara. Setiap satunya melambangkan sisi berbeza wanita hari ini: anggun namun berpendirian, feminin namun berani, moden tanpa kehilangan arah.
Menurut Datuk Adzliana Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, pelancaran ini bukan hanya soal menjual pakaian, tetapi menyulam semula makna keyakinan dalam diri wanita. “Amber adalah lambang kepada keberanian seorang wanita untuk tampil menawan tanpa mengorbankan nilai. Abaya ini bukan hanya untuk dilihat cantik di luar, tetapi juga membuat si pemakai merasa utuh, lengkap dan dihargai.”
Tidak hadir sebagai koleksi massal, sebaliknya Amber Oasis Abaya dicipta untuk jiwa-jiwa terpilih yang menilai kehalusan seni dan makna simbolik di sebalik sehelai abaya. Empat rekaan utama menjadi nadi kepada koleksi ini, masing-masing membawa karakter tersendiri yang ditenun dengan falsafah gaya dan fungsi.
Pemilihan ketiga-tiga duta bukan keputusan arbitrari. Ada naratif tersirat yang menghubungkan mereka dengan rekaan masing-masing. Nora Danish, dengan auranya yang sofistikated dan memikat, sepadan benar dengan keanggunan Madeena. Amira Othman, si manis bertutur lembut, memancarkan kelembutan Jumaira. Dan Amyra Rosli, ikon wanita muda berkeluarga, tampak gagah dan moden dalam Arora yang berstruktur tegas. Setiap satu wanita ini membawa cerita tersendiritentang keberanian menjadi diri sendiri, tentang keindahan yang tidak perlu dijeritkan, dan tentang prinsip yang tidak tergadai walau dalam dunia serba ligat. Itulah nilai yang dibawa Amber dalam pemilihan mereka lebih daripada sekadar populariti, ia tentang resonansi nilai.
Amber Oasis Abaya juga menetapkan standard baru dalam eksklusiviti. Hanya 500 unit setiap rekaan dikeluarkan, langkah strategik yang membina bukan hanya keterujaan pasaran, tetapi nilai koleksi yang mampu menjadi warisan. Sehelai abaya dari koleksi ini bukan sekadar pakaian, tetapi mungkin menjadi pusaka rasa yang diwariskan dari satu generasi ke generasi. Lebih istimewa, bagi pemilik bertuah, setiap pembelian akan disertakan dengan kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, serta e-pass eksklusif untuk ke majlis pratonton rasmi di Kuala Lumpur Fashion Week, September 2025 memberi pengalaman berfesyen yang melangkaui fizikal kepada emosional, menyentuh sisi batin si pemilik.
Dan majlis pelancaran Amber Oasis Abaya itu sendiri, seakan direncanakan dari lembaran puisi. Penuh aura, diselimuti cahaya keemasan dan alunan suara yang menembus jiwa. Dayang Nurfaizah, diva tersohor yang tidak perlu diperkenalkan lagi, turut hadir memeriahkan suasana dengan persembahan memukau. Dalam siluet lampu yang redup dan latar pentas bertemakan oasis, beliau menyampaikan 5 buah lagu, masing-masing dipilih bagi membingkai tema elegansi, cinta dan kekuatan wanita. Suaranya yang jernih dan penuh emosi menghidupkan malam, mengikat setiap tetamu dalam getar rasa yang sukar dilupakan.
Dunia hari ini mungkin bergerak pantas, tetapi Amber mengajak kita berhenti seketika merenung kembali makna kecantikan, maruah dan kelembutan yang berakar dari dalam. Kerana dalam setiap helaian Amber Oasis Abaya, tersimpan jiwa seorang wanita yang ingin dilihat bukan hanya cantik, tetapi dihormati. Yang memilih gaya bukan sekadar untuk menarik perhatian, tetapi untuk memperkukuh siapa dirinya di mata sendiri. Amber bukan lagi hanya sebuah jenama. Ia adalah pernyataan. Ia adalah oasis untuk wanita yang mahu lebih daripada sekadar pakaian, mereka yang mencari makna dalam setiap butang, lipatan dan sentuhan kain.