Amazing Thailand Fest 2026 Tamatkan Jelajah Dunia Di Malaysia, Central i-City Jadi Tuan Rumah

oleh: zizi hashim

Selepas menjelajah beberapa kota ikonik dunia dan memperkenalkan keunikan budaya Thailand kepada masyarakat global, Amazing Thailand Fest 2026 akhirnya melabuhkan tirainya di Malaysia, menjadikan Central i-City, Shah Alam sebagai pentas terakhir siri jelajah global yang turut singgah di London, Berlin dan Amsterdam. Pemilihan ini bukan sekadar mengangkat Malaysia sebagai rakan strategik penting dalam sektor pelancongan serantau, malah mengukuhkan hubungan erat antara dua negara yang berkongsi kecintaan terhadap budaya, gastronomi dan gaya hidup Asia.

Berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2026, festival anjuran Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) dengan kerjasama Central i-City ini membawa pengalaman Thailand yang lengkap tanpa perlu meninggalkan Malaysia. Selama tiga hari, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai sajian asli Thai, persembahan kebudayaan, aktiviti interaktif serta pengalaman gaya hidup yang menghimpunkan kehangatan dan keramahan negara jiran itu di bawah satu bumbung.

Lebih istimewa, Malaysia menjadi destinasi keempat dalam siri jelajah global Amazing Thailand Fest selepas kejayaan penganjurannya di gedung-gedung terkenal milik Central Group, termasuk Selfridges London, KaDeWe Berlin dan de Bijenkorf Amsterdam. Kehadiran festival ini di Central i-City sekali gus menjadikan pusat beli-belah tersebut sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara yang dipilih untuk menganjurkan sambutan kebudayaan berskala antarabangsa ini.

Bagi menambah kemeriahan, pelakon dan penyanyi popular Thailand, Third Lapat, turut membuat penampilan eksklusif menerusi persembahan secara langsung serta demonstrasi memasak. Kehadiran bintang muda yang memiliki kelompok peminat besar di Malaysia dijangka menjadi antara tarikan utama festival, selain mengeratkan lagi hubungan industri hiburan kedua-dua negara.

Namun, Amazing Thailand Fest bukan sekadar meraikan selebriti. Nadi sebenar festival ini terletak pada kekayaan budaya Thailand yang diterjemahkan melalui makanan, seni persembahan dan pengalaman interaktif. Pengunjung boleh menikmati Thai Food Bazaar yang menghimpunkan pelbagai hidangan tradisional dan makanan jalanan popular, sambil menyaksikan persembahan kebudayaan seperti Nora, Phirom Ros Siam, Pong Pai dan pelbagai lagi persembahan yang mencerminkan warisan negara itu.

Central i-City pula memperkayakan lagi pengalaman tersebut menerusi Sawasdee Lounge, sebuah ruang berinspirasikan pasar terapung Thailand yang menawarkan pelbagai pencuci mulut, snek dan minuman autentik. Suasana santai itu turut dihidupkan dengan persembahan busker, permainan interaktif serta sudut bergambar yang membolehkan pengunjung merasai sendiri keunikan budaya Thailand tanpa perlu menaiki pesawat. 

Festival ini turut menyasarkan penyertaan seisi keluarga melalui pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel seni dan kraf, cabaran interaktif, demonstrasi membuat pencuci mulut, bengkel Muay Thai untuk kanak-kanak serta pengalaman urutan tradisional Thailand. Pendekatan ini memberi peluang kepada pengunjung daripada pelbagai lapisan usia untuk mengenali budaya Thailand dengan cara yang lebih dekat, menyeronokkan dan interaktif.

Menurut Presiden Central Group dan Pengarah Central Pattana Plc., Wallaya Chirathivat, pemilihan Central i-City sebagai tuan rumah merupakan satu detik bermakna kerana ia menjadi pusat beli-belah pertama di Asia Tenggara yang dipilih untuk menganjurkan Amazing Thailand Fest. Beliau berkata, sebagai syarikat yang berakar umbi dari Thailand dan mempunyai kehadiran kukuh di Malaysia, pihaknya berbangga dapat membawa kehangatan budaya, kreativiti, keunikan kulinari dan gaya hidup Thailand lebih dekat kepada rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Pandangan itu turut dikongsi Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand, yang menyifatkan Malaysia sebagai antara pasaran pelancongan paling penting buat Thailand. Katanya, Amazing Thailand Fest membuka ruang kepada rakyat Malaysia menikmati sendiri budaya, sajian kulinari dan layanan mesra yang selama ini menjadikan Thailand antara destinasi pelancongan paling digemari di rantau ini.

Sepanjang festival berlangsung, Central i-City turut menawarkan pelbagai promosi eksklusif. Pengunjung yang berbelanja minimum RM200 di premis terpilih layak menebus Teh Ais Thai ChaTraMue secara percuma, manakala lima pembeli dengan jumlah perbelanjaan tertinggi berpeluang memenangi percutian pergi dan balik ke Phuket, tertakluk kepada terma dan syarat. Amazing Thailand Fest 2026 bukan sekadar festival budaya.Ia menjadi jambatan yang menyatukan dua negara melalui makanan, muzik, seni dan pengalaman yang dikongsi bersama.

Bagi mereka yang mengimpikan percutian ke Thailand, inilah peluang terbaik untuk merasai sedikit kehangatan negara itu di tengah-tengah Shah Alam. Dan mungkin, pulang bersama tiket ke Phuket sebagai penutup pengalaman yang sukar dilupakan.

Comments
* The email will not be published on the website.