oleh: zizi hashim
“Hidup bagai wayang yang berputar dalam telaga hitam.” Begitulah kata Maimon dan begitulah juga rasa yang dirangkum oleh filem ini.
Di hujung kampung yang dikelilingi hutan tebal dan suara serangga malam, 'Telaga Suriram' membuka lembaran kisah seperti membaca jampi dari kitab lama. Perlahan, samar, dan berat dengan makna. Filem ini bukan sekadar naskhah seram biasa; ia berusaha menjadi puisi visual tentang luka yang ditanam, dendam yang mengakar, dan roh yang tak pernah tidur.
Diarahkan oleh sutradara Osman Ali, filem ini menggabungkan elemen kepercayaan masyarakat dengan misteri pembunuhan yang melibatkan telaga lama yang dipercayai memiliki kuasa ajaib. Tayangan bermula sejak 1 Mei 2025 di pawagam seluruh Malaysia, jangan terlepas menyaksikan karya terbaru dari sutradara yang pernah mengarahkan filem-filem seperti "Puaka Tebing Biru", "Anak Halal", "Ombak Rindu" dan banyak lagi.
Suriram, seorang gadis kecil berusia 10 tahun, hilang tanpa jejak. Wataknya hanya wujud dalam kenangan dan gangguan, seperti asap kemenyan yang singgah sebentar di udara sebelum lenyap. Dia adalah pusat putaran cerita, dan setiap watak dewasa di sekelilingnya bagaikan pelakon wayang kulit yang mengisi bayang, tapi kehilangan arah.
Watak Maimon, anak gadis bisu yang dianggap 'rosak' oleh masyarakat, berdiri sebagai simbol mereka yang hidup dalam sunyi yang dipaksakan. Nabila Huda membawa watak ini bukan dengan lakonan, tapi dengan bahasa tubuh yang separuh nyata, separuh misteri. Ada bahagian jiwanya yang pecah tapi tidak berdarah, hanya bergaung dalam bisu.
Inspektor Kamilia muncul bukan sebagai penyelamat, tapi sebagai orang luar yang cuba membaca kitab gelap kampung itu. Hari pertamanya sudah dihantui bayang Suriram, bukan sekadar gangguan, tapi seperti pelawaan dari dunia lain. Dari segi struktur filem, ini satu pembukaan yang menjanjikan namun sayangnya, tidak semua persoalan terjawab dengan ketat.
Zakir (Farid Kamil) pula adalah skeptik yang terpaksa percaya. Awalnya logik, akhirnya terjerumus dalam dunia yang tidak dapat dijelaskan dengan bukti. Kemistri antara Zakir dan Kamilia hanya bertunas, tidak mekar namun cukuplah untuk menjadi tulang belakang dalam naratif penyiasatan ini.
Telaga lama yang menjadi judul filem ini bukan sekadar lokasi. Ia adalah metafora, tempat di mana segala yang busuk dan terpendam ditanam, tetapi tidak pernah benar-benar hilang. Dalam kepercayaan orang kampung, telaga itu boleh menyembuhkan. Tapi dalam filem ini, ia lebih seperti cermin, memantulkan kembali segala dosa yang cuba dilupakan.
Mak Tijah (Ellie Suriaty) sebagai dukun kampung tidak diberikan skrip panjang, tapi auranya cukup untuk membalut seluruh desa. Wataknya seperti akar pokok tua, tidak kelihatan di permukaan, tapi mencengkam seluruh tanah.
Osman Ali berjaya membawa elemen seram yang berpijak pada tanah. Roh yang berlegar, suara yang berbisik dalam mimpi, dan saka yang menghuni dahan waktu. Tapi seperti api yang hanya menyambar sesekali, beberapa babak terasa seperti bara yang tidak menyala penuh. Beberapa penggunaan CGI terasa terpisah dari realisme visual yang dibina awal filem. Tapak kaki yang bergaung berlebihan, babak jatuh yang kurang meyakinkan. Semua ini, seperti benang halus yang tertarik keluar dari sulaman kain yang hampir sempurna.
Durasi filem ini terasa seperti senja yang enggan berakhir. Pada 2 jam 10 minit, ia mula menyeret kaki. Lebih parah, tayangan perdana mengalami gangguan teknikal dan memaksa penonton menonton ulang dari awal, menjadikan pengalaman terasa seperti terkurung dalam mimpi yang tak selesai. Banyak sub-plot yang menarik, tapi tidak dikembangkan. Babak dramatik Mak Tijah di depan sangkar Maimon terasa berlebihan. Bukan kerana Ellie tidak bagus, tapi kerana momentum cerita sudah lelah. Potongan dan suntingan yang lebih kemas mungkin boleh menyelamatkan filem ini dari tenggelam dalam air telaganya sendiri.
Kredit harus diberi kepada pasukan produksi. Lokasi, props, dan wardrobe sangat mendukung latar 1985 yang ingin dibawakan. Rumah kampung, lampu minyak tanah, baju kurung kapas, semuanya membawa nuansa masa yang sudah lama ditinggalkan. Tapi anehnya, orang kampung dalam cerita ini kadang-kadang terasa seperti latar. Bukan penduduk hidup yang turut berdarah dalam konflik. Mereka menolong mencari Suriram, ya betul tapi tiba-tiba jadi pasif bila Rohaya merintih. Ada jurang emosi yang tidak cukup dijahit di antara watak utama dan kelompok kampung yang sepatutnya menjadi 'jiwa' kepada dunia filem ini.
Sebagai naskhah yang bergantung kepada simbolisme dan emosi, dialog sepatutnya menjadi jambatan penting. Tapi malangnya, banyak dialog kedengaran terlalu literal, tidak punya lapisan. Dalam filem yang punya tema tentang trauma, dendam, dan spiritualisme, kata-kata seharusnya seperti mantra: pendek tapi berbekas. Sayangnya, banyak adegan bergantung kepada ekspresi wajah pelakon untuk mengangkat makna yang tidak disampaikan skrip.
Salah satu kejutan dalam filem ini ialah kisah latar Maimon. Trauma yang membungkamnya bukan kerana cacat, tapi PTSD akibat keganasan seksual yang disorok dari masyarakat. Ini bukan hanya bijak, ia penting. Ia menyoal bagaimana masyarakat kampung menafsir ‘diam’ sebagai ‘lembam’, dan mengapa wanita sering dihukum kerana menjadi mangsa. Babak di mana dia mula bercakap semula terasa emosional bukan dramatik. Sayangnya, filem ini tidak benar-benar menggali lebih dalam isu ini, sedangkan itulah nadi sebenar yang boleh memberi lapisan yang lebih menyentuh.
Telaga Suriram adalah naskhah yang tahu apa yang ingin dicapai namun tidak selalu tahu bagaimana untuk sampai ke sana. Ia seperti ritual yang hampir selesai, tapi lilin terakhir padam sebelum ayat penutup sempat dibaca. Meskipun begitu, filem ini tetap layak ditonton, terutama bagi pencinta filem seram yang bukan sekadar mahu ‘terkejut’, tetapi mahu berfikir. Ia bukan sempurna, tapi ia jujur. Dan seperti bayangan di dalam air, kebenaran itu kadang hanya kelihatan bila kita berani merenung dalam.