Smurfs (2025): Sebuah Balada Biru Tentang Pencarian Identiti Diri Dan Erti Sebenar Sebuah Nama

oleh: zizi hashim

Saya mula menyukai makhluk biru kecil ini sejak dahulu lagi, sejak zaman kartun hari Sabtu, kerana terpesona dengan kehangatan dunia mereka yang terasa seperti pelarian dari dunia nyata. Dan yang pastinya, setelah menonton Smurfs (2025) saya seperti menemui kembali serpihan kanak-kanak dalam diri yang hampir saya terlupakan. Reboot arahan sutradara Chris Miller ini berupaya menghidupkan waralaba lama sekaligus menjadi penjelajahan batin yang meminjam tubuh animasi untuk mengisahkan sesuatu yang jauh lebih besar: pencarian jati diri dan suara dalam dunia yang tidak selalu memberi ruang kepada mereka yang berbeza.

Filem animasi tentang makhluk comel yang melompat-lompat dalam dunia berwarna pastel ini menyelinap bagai cermin memantulkan keraguan dan mimpi yang disembunyikan diam-diam. Hadir untuk menghibur dan mengajak penonton menyelami sesuatu yang lebih senyap, lebih halus dalam pencarian suara yang lama terpendam. Disulami muzik oleh tangan-tangan kreatif termasuk Rihanna, Smurfs menjanjikan kecomelan visual dan perjalanan spiritual yang mengendap. Ia adalah sebuah alegori tentang identiti, suara batin, dan keinginan untuk menjadi lebih daripada apa yang orang lain lihat.

Bermula dengan sebuah resah. Setiap seorang dari kita mesti pernah memandang cermin dan bertanya,  siapa aku sebenarnya? Soalan yang tampak ringkas, namun menyiksa rongga batin. No Name, satu-satunya Smurf di antara ratusan Smurf lain mulai merasakan kehampaan yang tidak dapat diucap. Dunia kecilnya yang kelihatan sempurna tiba-tiba menjadi sempit. Semua Smurf lain punya fungsi, identiti yang jelas, peranan yang tak terganti. Tetapi dia? Ia seolah-olah sekadar kewujudan yang dicipta dari sihir, tanpa asal, tanpa label dan tanpa sejarah yang jelas. Dia hidup dalam komuniti yang penuh warna dan fungsi, namun tetap merasa seperti nota ganjil dalam simfoni yang teratur.

No Name mula menyedari keganjilan dirinya. Semua Smurf punya nama, keistimewaan, bahkan keganjilan yang diangkat sebagai keunikan. Dia? Hanya dipanggil berdasarkan ketiadaan. Ketidaktahuan tentang asal-usul dan peranannya mula membentuk keraguan yang tumbuh diam-diam. Lalu bermulalah pengembaraan besar: mencari jawapan di dunia manusia, satu-satunya tempat yang mungkin menyimpan kunci kepada siapa dirinya sebenarnya. Dan dari resah itu, lahirlah keberanian. Dengan langkah yang ragu tetapi jujur, No Name memutuskan untuk meninggalkan desa dan menyusuri dunia manusia. Dunia yang pernah menjadi musuh, tetapi kini menawarkan seribu kemungkinan.

Dia tidak pergi sendirian. Brainy yang cerewet tapi setia, Clumsy yang polos, dan Hefty yang tabah, menjadi teman perjalanan. Smurfette juga tidak ketinggalan menjadi pengiring dalam perjalanan ini. Mereka tidak sekadar pelengkap, tetapi cermin kepada pelbagai dimensi emosi. Logik, keghairahan, kekuatan dan kerentanan. Bersama, mereka mengharungi kota yang hingar, menghadapi bahaya lama dalam bentuk baharu, Gargamel dan saudaranya Razamel, dua penyihir yang kini lebih licik, lebih kompleks. Dunia manusia dalam filem ini ditampilkan dengan visual yang megah tetapi penuh cabaran. Kota yang terlalu besar untuk makhluk sekecil mereka, dan terlalu hingar untuk jiwa yang sedang mencari sunyi.

Apa yang menjadikan Smurfs (2025) lebih daripada sekadar reboot ialah keberaniannya menyampaikan tema berat dengan sentuhan ringan. Disutradarai oleh Chris Miller, yang pernah memberi nafas baru kepada Puss in Boots, filem ini tidak hanya bergantung pada jenaka atau visual. Ia tertumpu pada naratif yang menyentuh: tentang keinginan untuk difahami, untuk merasa cukup, untuk menemukan tempat di tengah-tengah dunia yang tidak memberi ruang. Namun yang paling mengancam bukan sihir atau perangkap, tetapi rasa kehilangan arah yang membelit jiwa No Name. Ia adalah pertarungan antara keraguan dan keberanian, antara tidak diketahui dan ingin dikenali.

Rihanna, dengan suara yang sarat nuansa dan kehadiran vokal yang ekspresif, menyuntikkan nyawa baru pada watak Smurfette. Tetapi peranannya lebih daripada sekadar pengisi suara. Sebagai produser dan pencipta lagu, dia membawa nada yang emosional dan kuat ke dalam setiap babak menjadikan filem ini sebuah muzikal yang bukan hanya berirama, tapi juga bertenaga. Lagu-lagu yang dirakam khas untuk filem ini menjadi nadi yang menyalurkan getar perasaan Smurfette.

Barisan pelakon suara lainnya ibarat sebuah ensembel eksentrik yang seimbang. James Corden sebagai No Name Smurf menambah warna dengan kejenakaannya yang tidak dijangka. Sandra Oh sebagai Moxie, putri kepada Ken (saudara Papa Smurf), muncul sebagai suara hati yang lantang dan penuh semangat. Kurt Russell dan John Goodman pula memberi dimensi klasik dan graviti kepada kisah keluarga Smurf.

Salah satu kekuatan paling menawan dalam Smurfs (2025) ialah keindahan visualnya. Studio animasi Cinesite dan Nickelodeon Animation Studio memilih pendekatan yang menghormati akar komik asal ciptaan Peyo. Garis hitam berani, gelembung fikiran bergaya vintage, dan teknik animasi squash and stretch digabungkan dengan warna-warna cerah yang melantun seperti melodi. Hasilnya ialah sebuah dunia yang terasa seperti buku cerita yang hidup dan bernafas.

Sejujurnya, pernahkah kita bertanya dalam diam: apakah aku ini hanya watak sampingan dalam kisah orang lain? Atau adakah suara dalam diri yang masih belum aku dengar? Smurfs (2025) menjawab persoalan itu bukan dengan ceramah atau moral, tapi dengan cerita dan lagu. Begitu menyentuh dan menghangatkan. Ia adalah pengembaraan visual dan emosi yang merangkumi humor, keajaiban, dan kesunyian yang difahami bersama. Dan apabila akhirnya No Name menemukan kekuatannya, bukan kerana dia berbeza, tetapi kerana dia memilih untuk mempercayai dirinya.

Smurfs (2025) adalah himpunan tawa, air mata dan melodi. Sebuah puisi visual yang mengajak kita menyelami siapa kita bila nama dan gelaran ditanggalkan. Filem ini menyentuh kanak-kanak yang sedang membesar, dan orang dewasa yang pernah terluka. Ia mengingatkan bahawa dalam dunia yang sibuk memberi label, kadangkala keberanian paling tulus adalah untuk menyatakan: “Aku belum tahu siapa aku… tapi aku mahu terus mencari.”

Untuk sesiapa yang mencari filem keluarga yang cerdas, emosional, dan disulam muzik yang luar biasa, ini jawapannya. Tetapi untuk kamu yang pernah rasa seperti tidak cukup, tidak penting, atau sedang mencari suara dalam kekecohan hidup, filem ini adalah pengingat lembut: kamu tidak keseorangan. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 17 Julai 2025 dengan durasi 1 jam 32 minit. Pergilah tonton. Bukan kerana kamu peminat Smurfs, tetapi kerana kamu juga seperti No Name, sedang belajar mencintai diri sendiri dan berhak untuk merasa cukup.