oleh: zizi hashim
Di bawah pancaran neon kota Bangkok yang tidak pernah benar-benar tidur, ada sebuah kisah yang mengalir seperti jalan-jalan sempitnya. Berliku, penuh kejutan, dan sesekali menyeramkan. Filem 'Rider' (2025), arahan segar dari industri perfileman Thailand, adalah naskhah yang tidak sekadar menggabungkan genre seram dan komedi. Ia adalah sebuah perayaan emosi dengan ketawa yang tercetus saat takut menghimpit dada, dan takut yang menyelinap saat kita sedang tertawa.
'Rider' hadir dengan satu kisah yang tidak berniat menakutkan secara mendalam, tapi cukup untuk membuatkan hati berdebar… dan kemudian tertawa. Filem seram komedi tetapi bukan tentang kengerian yang membekas dalam mimpi atau plot berliku-liku penuh sinis. Tapi ia adalah sebuah karya yang jujur, sederhana, dan menyeronokkan terutama jika anda sedang mencari filem ringan untuk dinikmati bersama keluarga atau teman-teman tersayang.
Jika anda membayangkan seram seperti dalam filem barat yang gelap dan berdarah, 'Rider' bukan untuk anda. Tapi jika anda rindu gaya lama—filem seram komedi era 90-an yang sedikit ‘gila’, penuh dengan kejutan bodoh, dan karektor yang lucu tapi menyentuh—filem ini seolah membawa pulang nostalgia itu ke zaman moden.
Kisahnya berputar sekitar sekumpulan penghantar makanan yang sering menerima ‘tugas pelik’, dan perlahan-lahan terseret dalam misteri ghaib yang tak mereka sangka. Dari satu pesanan ke satu pesanan, mereka bukan hanya berlari dari hantu, tapi juga dari rasa sepi, dari kemiskinan, dan kadangkala, dari cinta.
Tiga sahabat—rider penghantar makanan—mendapati bahawa malam mereka tidak lagi sekadar dihantui waktu atau pelanggan cerewet, tetapi juga oleh roh-roh yang masih berkeliaran, menuntut sesuatu yang belum selesai. Dalam perjalanan mereka mengutip rezeki di celah-celah jalan kota, mereka secara tidak sengaja membuka tabir dunia ghaib, dan terjebak dalam kekacauan lucu yang kadang-kadang menyentuh kalbu.
Mario Maurer dan Freen Sarocha hadir bukan sekadar sebagai watak, tetapi sebagai denyut nadi yang membawa penonton menyelami setiap babak dengan senyuman dan rasa ingin tahu. Kemistri antara mereka terasa tulus dan di layar skrin, ia menjelma sebagai percintaan kecil yang menghidupkan filem ini, membuat kita turut sama tersenyum walau di tengah ketegangan.
Reka bentuk produksi tidak revolusioner, tetapi cukup untuk membuatkan penonton merasakan kehadiran ‘dunia lain’. Tempat-tempat berhantu yang ditampilkan bukan set semata-mata, tetapi ruang sebenar yang menyimpan sejarah dan bisik-bisik masa silam, seperti yang terlihat dalam babak belakang tabir (BTS).
Sinematografi tampak berani, tajam, dan kreatif. Peralihan sudut pandang antara watak dan hantu mencipta rasa tidak selamat yang indah. Teknik Dutch tilt digunakan dengan bijak—seolah-olah kita juga tergelincir ke dimensi yang berbeza bersama watak. Dan bila komedi hadir, kamera pun ‘bermain’, mencipta saat-saat lucu yang terasa jujur dan tidak dibuat-buat.
Solekan dan kostum? Sempurna. Dari wajah pecah berkerak hingga senyuman seram yang menjeling dari balik pintu, semuanya teliti. Watak hantu bukan sekadar untuk menakutkan, tetapi juga mempunyai karektor. Bahkan hantu jururawat Katolik yang sassy itu, entah bagaimana dia membuat ketakutan tampak ‘bergaya’. Bunyi—kadang kala hening hingga meremangkan bulu roma, dan sesekali berubah menjadi runut ceria bila suasana kembali santai, dihasilkan dengan penuh peka terhadap emosi. Sentuhan alat muzik tradisional Thai di latar menjadikan filem ini terasa lebih ‘dekat’ dengan akar budayanya.
Dalam dunia yang kacau ini, lakonan Mario sebagai rider yang malang tapi manis benar-benar mengundang simpati dan gelak ketawa. Phuwanet dan DJ Art tampil sebagai duo pelengkap yang mengimbangkan kecelaruan dengan karisma unik masing-masing. Tetapi di tengah semua itu, Freen Sarocha bersinar terang. Matanya menyimpan seribu emosi dan saat dia menangis, anda menangis bersamanya. Watak sampingan juga bukan pelengkap kosong. Mereka adalah wajah-wajah yang meninggalkan kesan. Ibu kepada watak Freen contohnya, aura negatifnya terasa sejak awal, namun kita tetap terpaku untuk mengetahui kebenaran di sebaliknya.
Kisahnya ringkas: tiga rider mencari rezeki, tersilap jalan dan masuk ke alam yang tidak sepatutnya. Tapi cara ia digarap, campuran antara urban legend, slapstick humor dan nilai karma menjadikan ia lebih daripada sekadar hiburan. Di sebalik semua itu, terselit sindiran sosial tentang realiti pekerja penghantar makanan, yang saban hari menempuh bahaya untuk sesuap nasi.
Dan ya, pengakhiran filem ini membuka ruang untuk sesuatu yang lebih besar. Ada bayangan satu lagi rider yang muncul dengan topi keledar arnab—misteri baru untuk diteroka. Pie sebagai hantu yang membantu rakan-rakan rider menghantar pesanan ke dunia roh? Kemungkinan ini membuka dunia yang menarik.
Bukan filem yang ingin memenangi festival atau mencabar minda penonton dengan twist yang mengelirukan. Ia tidak revolusioner. 'Rider' adalah pengalaman. Sebuah kisah yang membuat anda menjerit ketakutan, kemudian ketawa terbahak. Sebuah dunia di mana kematian dan kehidupan beriringan di atas skuter, melintasi simpang tiga takdir dan lorong-lorong jenaka.
Bagi pencinta seram dan komedi, ini adalah must-watch. Bagi yang mencari sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar hantu, filem ini akan menyentuh, menggoda, dan meninggalkan anda dengan satu pertanyaan: dalam dunia yang tidak adil ini, siapa sebenarnya yang menakutkan? Roh yang sudah mati, atau manusia yang hidup?
Sesuai untuk malam santai, sesuai untuk cuti panjang, sesuai untuk mereka yang rindu filem seram komedi yang tidak terlalu keras, tapi tidak pula hambar. Dan bagi yang jatuh hati dengan Pie, Nat, Kai dan Yod—ada janji manis di hujung filem ini: mungkin ini bukan pengakhiran, tapi hanya permulaan. Kerana siapa tahu, dalam dunia para penghantar ini… ada lebih banyak rahsia yang masih belum tiba di alamatnya. Apa lagi siap-siaplah, kerana malam ini, 'Rider' akan membawa anda ke tempat yang tidak akan anda lupakan sejak bermula tayangan di Malaysia tanggal 8 Mei 2025 ini. Jom!