Rasa Terhimpit Di Dasar Laut Antara Kegelapan Dan Percikan Api Dalam Gelombang Nafas Terakhir 'Operation Hadal'

oleh: zizi hashim

Gelombang pertama menyapa segera, suara logam yang berderit, panel elektronik berkelip, lalu ruang kapal selam “Dragon Whale” berdetak penuh misteri. Filem ini membawa penonton menyelam ke dasar laut, merasai tekanan air seberat beban dosa yang terpendam. Saya, yang pernah terbuai oleh Operation Red Sea, rasa seperti dibawa melancong ke wilayah lebih gelap, lebih sunyi, dan berselubung ancaman yang senyap.

Adegan dalam kapal selam membentuk inti emosi filem ini. Lorong sempit, mesin bernafas, stesen sentuhan logam yang dingin, serta detik-detik cemas apabila torpedo meluncur tanpa suara kecuali degupan jantung. Visualnya hebat; produksi reka bentuk menunjukkan komitmen terhadap realisme: panel operasi yang dipenuhi suis, kabel yang berpintal di langit-langit kapal, dan ruang komando yang menjerit kehadiran manusia yang keliru antara putus asa dan takut.  Adegan peperangan laut dalam pula direka dengan seni ombak gelombang tekanan, penglihatan kabur di perairan pekat, lampu suluh kapal yang menerangi kegelapan seperti mata yang mencari ruang selamat.

Senario tempur di pelantar minyak, pertumpahan darah di pangkalan musuh, dan misi penyelamatan yang hampir gagal menambah lapisan ketegangan. Kecanggihan teknologi futuristik seperti pesawat individu, anjing mekanikal dan banyak lagi masuk sebagai perisa dalam resipi aksi; menarik, tapi kadang-kala terasa seperti aksesori hiasan jika tidak dikaitkan dengan motivasi watak. Latar emosi watak-watak pula cukup kuat: rasa kehilangan, rasa ingin memenuhi tugas mengatasi jiwa yang penat dan tenat, antaranya tentera yang rindu keluarga, kapten yang tanggungjawabnya menekan setiap nafas.

Meski demikian, kekurangan juga tak terlingkar. Struktur cerita yang dilintasi banyak jalur masa (parallel timelines) membuatkan awal babak terasa perlahan, seakan penonton bingung mencari arah dan hala tuju. Intensiti terpaksa menunggu konflik utama terbongkar; watak tambahan dilancarkan tanpa pendahuluan yang cukup, sehingga beberapa reaksi emosinya kurang memaut hati. Momen dramatik yang tinggi kadangkala terganggu oleh penggunaan efek atau dialog yang terlalu berlebihan, terkadang huraian visual lebih ditekankan daripada perkembangan jiwa watak.

Disebabkan itu, saya hampir-hampir tertidur dibuatnya saat layar dibanjiri dengan kegelapan samudera. Rasa kedalaman yang sangat asing namun sarat misteri. Namun filem terbaharu ini, digelar sebagai blockbuster perang kapal selam nuklear pertama, menjanjikan sebuah pengalaman yang tidak sekadar hiburan kosong, tetapi juga perjalanan emosi yang menekan dari awal hingga akhir. Saya masuk ke pawagam dengan harapan tinggi, mungkin akan sekali lagi terpukau sebagaimana pengalaman menonton Operation Red Sea. Visualnya tidak mengecewakan.

Set setiap ruang kapal selam “Dragon Whale” terasa begitu nyata, seolah-olah saya benar-benar berada di dalam perut besi yang dingin itu, merasai degupan jantung para kru yang sedang meniti di antara hidup dan mati. Setiap long shot yang menyingkap lorong-lorong sempit dan mesin-mesin berdebar menjadikan saya kecut, seakan turut merasakan sesak oksigen di ruang komando. Adegan peperangan bawah laut dicipta dengan realisme mengkagumkan. Dentuman torpedo, gerakan arus pekat yang menggoncang tubuh kapal, dan irama tempur yang penuh kejar-mengejar menjadikan babak ini lebih daripada sekadar tontonan, ia adalah satu ledakan adrenalin.

Pertempuran di pelantar minyak, tembakan bertalu-talu, hingga penyusupan skuad Jiaolong ke kapal selam musuh menambah kepelbagaian tekstur aksi yang penuh tenaga. Malah kemunculan teknologi masa depan seperti pesawat individu dan anjing mekanikal menjadikan cerita terasa futuristik, walau sesekali mengundang rasa kejanggalan. Namun, jujur saya akui, naratifnya kadangkala terasa kusut. Struktur penceritaan berlapis-lapis memang menambah dimensi, tetapi dalam masa yang sama melambatkan rentak. Ada saat di awal filem di mana saya kehilangan sabar, menunggu konflik benar-benar terbuka.

Meski begitu, karakterisasi watak-wataknya berhasil menyelamatkan momentum. Setiap perwira, setiap wajah yang dibentuk dengan lapisan emosi memberi sebab untuk saya terus peduli pada nasib mereka. Apa yang menjadikan filem ini berbeza adalah bagaimana ia menekankan sisi psikologi watak-wataknya tentang bagaimana sunyi bisa lebih mencengkam daripada dentuman bom, dan bagaimana cahaya kecil boleh menjadi harapan ketika seluruh ruang dipeluk gelap pekat, sepekat ruang hadal. Kamera bergerak bagai menyelam bersama penonton, memerangkap kita dalam ruang sempit kapal selam dan memaksa kita berkongsi sesak nafas bersama watak. Reka bentuk bunyinya pula bukan sekadar latar, tetapi denyut jantung naratif; setiap gema sonar, setiap desiran air, membentuk atmosfera yang menekan dada.

Dari perspektif genre, filem ini berjaya menempatkan dirinya dalam barisan filem kapal selam perang nuklear kontemporari yang jarang muncul. Ia tidak menggemparkan sejarah sinema, tapi memberi harapan baru: bahawa filem perang dengan latar laut dalam masih boleh menyuntik keberanian baru dalam visual dan rasa. Saya keluar dari pawagam dengan lubang di dada, tekanan dan gegaran visual masih melekat, tetapi juga sedikit kekosongan kerana harapan akan naratif yang lebih tajam tidak sepenuhnya tertunai. Saya merasakan naskhah ini berdiri di antara dua dunia tetapi tetap menghidangkan kelimpahan visual dan koreografi aksi yang sukar dinafikan.

Kehebatan produksinya jelas menelan kos yang besar, dan hasilnya terpampang megah di layar. Mungkin cerita ini tidak akan mengubah sejarah genre ketenteraan, tetapi ia meninggalkan kesan: perasaan terhimpit di dasar laut, antara kegelapan dan percikan api, di mana setiap nafas terasa seperti yang terakhir. Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula 11 September 2025, jika anda suka filem perang, filem ini untuk anda. Wajib tonton!