oleh: zizi hashim
Ada sesuatu yang perlahan-lahan merayap dalam setiap bingkai Qifarah, tampak seperti roh filem ini sendiri sedang mencari pengampunan. Naskhah arahan Ghaz Abu Bakar, yang terkenal dengan dunia aksi seperti Polis Evo dan Cicakman 3, kali ini beralih arah ke genre seram dengan langkah yang lebih hati-hati, meski tidak semuanya berjaya menancap di jiwa. Namun di sebalik kekurangannya, Qifarah masih menyimpan pesona visual yang memukau. Sinematografinya bak lukisan kelam yang hidup, setiap warna disapu dengan cermat, setiap cahaya dibiarkan berbisik.
Kisahnya berputar pada Yusoff (Dato’ Remy Ishak), seorang sarjana Islam yang pulang dari Kaherah setelah 30 tahun menjauh, demi menziarahi ayahnya Ghazali (Esma Daniel) yang nazak. Namun, kepulangannya tidak disambut tenang. Rumah pusaka yang pernah menjadi saksi masa lalunya kini dihuni oleh entiti yang lebih menakutkan daripada makhluk halus: dendam, rahsia dan kesumat yang turut sama meningkat usia bersama dinding rumah itu.
Dari awal, sutradara Ghaz Abu Bakar terlihat ingin mengukir rasa ngeri yang lebih halus, satu yang datang dari jiwa manusia, bukan semata-mata dari sosok hantu. Tetapi niat itu sesekali terjerat oleh jump scare berlebihan dan plot yang terlalu mudah diramal. Babak pengenalan antara Yusoff dan adiknya Eykha (Liyana Jasmay) sebenarnya membuka ruang emosi yang menarik, namun sayangnya tidak digarap dengan cukup mendalam untuk membawa kita menyelami luka dua beradik yang terpisah oleh takdir dan waktu.
Sebagai seorang antusias sinema Melayu, saya menghampiri Qifarah dengan harapan akan menemukan kedalaman yang sama seperti dalam karya terdahulu Ghaz, pertembungan antara bentuk dan jiwa. Namun di sini, bentuk lebih menang. Visualnya menakjubkan, terutama kerja kamera Izzat Emir Mainon yang mampu memahat ruang gelap rumah besar itu menjadi peta psikologi watak. Namun, kisahnya... tentang perantau yang pulang untuk menebus dosa keluarga terasa sangat longgar, seolah-olah roh penceritaannya kehilangan arah.
Watak Mawar, lakonan Sharifah Sakinah, barangkali satu-satunya nyawa yang betul-betul membara dalam filem ini. Lenggoknya, cara dia memanipulasi kasih dan simpati, membuatkan penonton sukar membenci sekaligus tidak mampu mempercayai. Ada sisi gila yang dijinakkan dengan penuh tenaga, sesuatu yang memperlihatkan sisi terbaik Sakinah sebagai pelakon berkarektor. Malangnya, watak lain seperti Marissa (Rita Nadira) dan Eykha agak tenggelam dalam emosi yang tidak sempat membangun.
Saya teringat satu babak di mana Mawar menatap Yusoff sambil berkata, “Tak semua rahsia patut dibuka, nanti angin pun boleh mati ketakutan.” Pada saat itu, saya tahu Qifarah punya niat yang indah, ingin menyelami dosa yang diwariskan dan ingin bertanya, "seberapa jauh manusia boleh bersembunyi dari takdirnya?" Tetapi naskhah ini terlalu berhati-hati, sehingga ketakutan yang seharusnya terasa menular hanya menjadi gema jauh di dalam rumah yang sunyi.
Namun, tidak adil juga menafikan keindahan teknikalnya. Qifarah masih punya jiwa sinematik. Color grading yang memanjakan mata, reka bentuk set yang menggambarkan dunia “old money” Melayu, serta bunyi latar yang menggetarkan dinding hati. Meskipun sound designnya terkadang terlalu menguasai, ada momen-momen di mana filem ini seperti ingin berbisik perlahan, memanggil kita merenung makna balasan, atau “qifarah”, dalam hidup kita sendiri.
Sayangnya, apabila tiba ke penghujung, apa yang diharap sebagai penebusan terasa seperti pintu yang dibiarkan separuh terbuka. Twist akhirnya tidak cukup kuat untuk menggoncang jiwa; lebih seperti mimpi yang terhenti sebelum subuh. Namun, untuk sesiapa yang menonton dengan mata yang mencintai seni visual dan kerja kamera Ghaz, filem ini masih punya sesuatu yang layak direnung iaitu keindahan yang berjuang untuk melampaui kelemahannya sendiri.
Menjelang penghujung cerita, saya teringat satu baris dari lagu tema “Mawar” nyanyian Yuka Kharisma yang lembut namun melankolik: “Ada luka yang tak sempat diubati, hanya diserahkan pada langit.” Barangkali di situlah Qifarah menemui jiwanya, sebuah naskhah yang ingin memaafkan, namun belum sepenuhnya berdamai dengan dirinya sendiri.
Qifarah kini menghantui layar perak seluruh Malaysia bermula 9 Oktober 2025. Kepada pencinta sinema tempatan khususnya mereka yang merindukan keindahan visual dan naratif yang berlapis makna, jangan biarkan filem ini berlalu begitu sahaja. Qifarah bukan sekadar kisah mistik, tetapi cerminan tentang dosa, balasan dan rahsia yang tidak pernah benar-benar mati. Saksikan bagaimana Remy Ishak, Sharifah Sakinah dan barisan pelakon hebat lain menghidupkan kisah yang sarat misteri ini di pawagam berhampiran anda. Temukan sendiri makna di sebalik qifarah, antara dosa yang dibiarkan hidup dan jiwa yang mencari cahaya.