'The Undertaker 2: World After Death' Saji Kombinasi Drama Dan Komedi Kisah Pengurus Jenazah

oleh: zizi hashim

Kematian. Barangkali itulah satu-satunya janji yang tidak pernah mungkir. Tiada siapa mampu melarikan diri daripadanya. Tiada siapa juga benar-benar bersedia apabila ia datang mengetuk pintu. Lucunya, sepanjang hidup kita diajar cara mengejar impian, mengumpul harta dan membina masa depan. Namun hampir tiada siapa mengajar bagaimana mahu melepaskan seseorang yang tidak lagi mampu dipeluk. Barangkali kerana itulah The Undertaker 2: Afterlife terasa begitu dekat di hati saya. Ia bukan filem tentang hantu. Juga bukan filem yang sibuk menakut-nakutkan penonton dengan bunyi mengejut atau wajah menyeramkan yang muncul tanpa amaran.

Saya melihatnya sebagai sebuah cerita tentang manusia yang terlalu sukar menerima hakikat bahawa ada perpisahan yang memang tidak pernah diberi peluang untuk diulang. Sejujurnya, poster filem ini membuatkan saya menyangka ia hanyalah sebuah lagi naskhah seram Thailand yang mahu bergantung kepada makhluk halus dan ritual mistik. Rupa-rupanya saya silap. Apa yang menunggu di sebalik layar jauh lebih lembut. Jauh lebih hangat. Dan jauh lebih menyakitkan.

Sutradara Thiti Srinuan membawa kita pulang ke sebuah desa kecil di Timur Laut Thailand, tempat kehidupan bergerak perlahan mengikut rentak masyarakat Isan. Kehidupan yang kelihatan sederhana itu tiba-tiba berubah apabila Nenek Joy meninggal dunia akibat dipanah petir... sebelum kembali hidup semula dalam satu kejadian yang gagal dijelaskan oleh logik manusia. Saat itulah saya sedar... filem ini sebenarnya tidak sedang bercerita tentang kematian. Ia sedang bertanya kepada kita... "Jika diberi peluang kedua, apakah yang benar-benar mahu kita selesaikan sebelum pergi?" Persoalan itu kedengaran mudah. Jawapannya tidak pernah begitu.

Kebangkitan semula Nenek Joy menggemparkan seluruh kampung. Ada yang melihatnya sebagai keajaiban. Ada yang menganggapnya petaka. Namun bagi keluarga sendiri, ia adalah peluang terakhir untuk melakukan apa yang selama ini tidak sempat dilakukan. Saya sangat menyukai bagaimana filem ini tidak tergesa-gesa menjadikan fenomena tersebut sebagai pusat sensasi. Sebaliknya, ia perlahan-lahan membina hubungan antara seorang nenek dengan anak cucunya yang sedar bahawa masa mereka semakin suntuk. Babak-babak kecil seperti berjalan bersama keluarga, memenuhi impian sederhana, menikmati kehidupan dan membuat persiapan sebelum benar-benar pergi terasa jauh lebih menyentuh berbanding sebarang adegan seram.

Kadangkala... kebahagiaan memang sesederhana itu. Namun manusia sering terlupa menghargainya. Selari dengan kisah Nenek Joy, muncul pula perjalanan Thoop, seorang lelaki yang tenggelam dalam rasa bersalah selepas kehilangan isterinya. Inilah bahagian yang paling banyak membuat saya termenung. Kita sering mendengar orang berkata..."Kalau boleh, aku sanggup mati asalkan dapat bertemu semula orang yang aku sayang." Filem ini mengambil ayat itu... lalu mempersoalkannya. Bagaimana jika selepas mati... kita masih gagal menemui mereka? Bagaimana jika seluruh pengorbanan itu akhirnya menjadi sia-sia? Itulah tragedi sebenar yang cuba disampaikan.

Ramai watak dalam filem ini percaya bahawa kematian ialah jalan keluar daripada penderitaan. Mereka menyangka alam selepas mati mampu menyatukan kembali semua yang pernah terpisah. Namun hakikat yang diperlihatkan pengarah jauh lebih menyakitkan. Ada kehilangan yang memang perlu diterima. Bukan dikejar. Bukan dilawan, tetapi harus dipeluk perlahan-lahan sehingga hati akhirnya belajar berdamai. 

Babak klimaks melibatkan Thoop menjadi antara momen yang paling terkesan pada saya. Perjalanan panjangnya untuk bertemu semula insan yang paling dicintai akhirnya membawa kepada satu hakikat yang sukar diterima. Mereka berselisih. Mereka saling mencari. Namun tidak lagi mengenali antara satu sama lain. Saya terdiam agak lama. Adegan itu tidak memerlukan dialog yang panjang. Visualnya sahaja sudah cukup membuat dada terasa berat. Barangkali syurga bukan tempat untuk membawa segala kerinduan dunia. Barangkali manusia memang dicipta untuk belajar melepaskan sebelum benar-benar pergi.

Saat itulah saya memahami satu perkara. Barangkali syurga terbesar bukanlah peluang bertemu semula selepas mati. Tetapi kesempatan menghargai seseorang ketika dia masih hidup. Arc Nenek Joy pula bergerak pada arah yang bertentangan. Jika Thoop dipenuhi penyesalan, Nenek Joy diberi peluang kedua untuk menutup segala helaian yang masih terbuka. Dia mahu bercuti. Dia mahu bergembira. Dia mahu menikmati perkara-perkara kecil yang selama ini tertangguh. Naik banana boat, berkebun, bergelak ketawa bersama keluarga, menyediakan segala-galanya sebelum cucunya lahir ke dunia. Saya tersenyum melihat semua itu. Kerana tiba-tiba saya sedar... bucket list tidak semestinya tentang mengelilingi dunia.

Kadangkala...ia hanyalah peluang menikmati secawan kopi bersama orang yang kita sayang. Sayangnya, Nenek Joy pergi sebelum sempat melihat cucunya dilahirkan. Namun kali ini dia pergi tanpa rasa kesal. Dia pergi dengan hati yang sudah selesai. Dan mungkin... itulah definisi sebenar sebuah pemergian yang damai. Apa yang membuatkan saya benar-benar kagum ialah keberanian Thiti Srinuan menyentuh isu kemurungan dan keinginan menamatkan hidup dengan penuh cermat.

Beliau tidak pernah menjadikan bunuh diri sebagai jalan keluar yang romantik. Sebaliknya, filem ini berkali-kali mengingatkan bahawa kematian tidak pernah menyelesaikan apa-apa. Malah, mereka yang berharap dapat bertemu kembali insan tersayang selepas menamatkan hidup sendiri akhirnya berdepan hakikat yang jauh lebih menyakitkan. Ada perpisahan yang memang tidak boleh dipaksa untuk dipertemukan semula. Pesan itu disampaikan dengan cukup halus. Tanpa syarahan. Tanpa menghakimi. Hanya melalui cerita.

Dari sudut teknikal, saya sangat suka suntingannya. Peralihan antara dunia nyata dan dunia yang tidak mampu dijelaskan logik dilakukan dengan cukup kemas. Visualnya tidak terlalu bercita-cita menjadi megah, tetapi berjaya membina atmosfera yang membuat saya terus tenggelam dalam ceritanya. Malah, sinematografi yang memaparkan desa Isan benar-benar menjadi salah satu kekuatan terbesar filem ini. Keindahan sawah, rumah-rumah kayu, jalan kampung dan ritual pengebumian tradisional terasa seperti watak tambahan yang sama penting dengan manusia-manusia di dalamnya. Mungkin sebab itu saya tidak pernah rasa sedang menonton sebuah set penggambaran. Saya rasa seperti sedang bertandang ke sebuah kampung yang benar-benar wujud.


Tentang lakonan... saya hampir tidak mempunyai rungutan. Setiap pelakon memahami rentak filem ini. Mereka tahu bila perlu membuat penonton ketawa. Mereka tahu bila perlu berdiam. Dan mereka tahu bahawa kadangkala air mata yang paling menyakitkan ialah air mata yang tidak pernah jatuh. Meski terdapat beberapa subplot yang terasa sedikit berselerak dan tidak semuanya bertaut kemas menjelang penghujung cerita, kelemahan itu tidak pernah cukup besar untuk merosakkan keseluruhan pengalaman saya. Sebaliknya, ia membuatkan filem ini terasa seperti kehidupan sebenar.

Bukankah hidup juga dipenuhi cerita-cerita kecil yang tidak semuanya mempunyai penamat sempurna? Sebelum melangkah masuk ke pawagam, saya menyangka The Undertaker 2 akan menjadi sebuah filem seram yang membuatkan saya memegang kerusi kerana terkejut. Rupa-rupanya... yang saya pegang sepanjang perjalanan pulang ialah hati sendiri. Kerana filem ini tidak membuat saya takut kepada hantu. Ia membuat saya takut kehilangan. Takut tidak sempat meminta maaf. Takut tidak sempat mengucapkan terima kasih. Takut tidak sempat memeluk mereka yang masih berada di sisi.

Saya membawa pulang satu pertanyaan yang masih belum menemukan jawapan. Kalaulah esok menjadi hari terakhir untuk saya... sudahkah saya benar-benar hidup hari ini? Kerana akhirnya, The Undertaker 2: World After Death tidak pernah mengajar saya tentang kematian. Ia mengajar saya...bahawa hidup ialah anugerah yang terlalu mahal untuk dibazirkan dengan terus berpaut pada kehilangan. Tayangan bermula 2 Julai di pawagam Malaysia. Jangan biarkan poster atau judulnya memperdayakan anda...

Comments
* The email will not be published on the website.