Sepucuk Surat, Seumur Hidup Rindu, 'Dear You' Ajar Tentang Erti Kasih Tak Pernah Kenal Sempadan

oleh: zizi hashim

Helai demi helaian surat mampu menyimpan lebih banyak kasih daripada ribuan kata yang diucapkan berhadapan. Itulah mukadimah rasa yang menyapa hati saya sebaik sahaja Dear You mula membuka kisahnya. Tanpa ledakan emosi yang berlebihan, tanpa muzik yang memaksa air mata mengalir, filem ini perlahan-lahan mengikat perasaan sehingga saya sendiri tidak sedar bila saya mula hidup bersama watak-wataknya. Sutradara Lam Hongchu memilih jalan yang sangat sederhana, namun di situlah kekuatan sebenar filem ini.

Ketika banyak naskhah hari ini berlumba menawarkan skala besar dan visual megah, Dear You memilih untuk bercerita melalui sesuatu yang hampir dilupakan generasi hari ini, sepucuk surat. Lebih tepat lagi, qiaopi (侨批), surat kiriman wang daripada para perantau kepada keluarga yang ditinggalkan di tanah air. Surat-surat itu bukan sekadar membawa rezeki, tetapi turut mengirim rindu, harapan dan alasan untuk terus bertahan.

Kisah bermula apabila Xiaowei, seorang cucu yang dibelenggu hutang, berangkat ke Thailand dengan harapan menemui datuknya, Zheng Musheng, yang dipercayai hidup mewah selepas berhijrah bertahun-tahun dahulu. Niat awalnya cukup materialistik iaitu mencari harta pusaka bagi menyelesaikan masalah hidup. Namun perjalanan itu akhirnya membongkar sejarah yang jauh lebih berharga daripada wang. Dari pencarian itulah kita diperkenalkan kepada neneknya, Ye Shurou, wanita Teochew  berusia 88 tahun yang sepanjang hidup percaya suaminya masih mengirim surat kepadanya dari Thailand. Sedikit demi sedikit, lapisan demi lapisan rahsia mulai terbongkar.

Kehadiran Xie Nanzhi, seorang wanita yang hidupnya terikat rapat dengan Musheng, menjadikan kisah ini berkembang menjadi renungan tentang cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak pernah hitam atau putih. Saya sangat mengkagumi cara filem ini bergerak merentas masa. Imbas kembali tidak pernah terasa mengelirukan. Sebaliknya, ia mengalir seperti ingatan manusia sendiri, datang tanpa dipanggil, menyambung emosi yang masih belum selesai. Masa lalu dan masa kini saling memeluk sehingga saya sendiri terlupa garis pemisah antara kedua-duanya.

Lebih kagum lagi apabila sebahagian besar pelakonnya merupakan wajah-wajah yang kurang dikenali, namun setiap persembahan terasa begitu tulus. Mereka tidak kelihatan seperti sedang berlakon. Mereka benar-benar hidup sebagai manusia yang sedang memikul luka masing-masing. Wang Yantong menghadirkan Zheng Musheng sebagai lelaki biasa yang perlahan-lahan dibentuk oleh kehidupan. Perubahannya tidak berlaku secara mendadak, tetapi terhasil daripada pengalaman, kehilangan dan rasa tanggungjawab yang semakin menebal.

Li Sitong pula sangat cemerlang sebagai Xie Nanzhi. Wataknya keras pada luarannya, namun menyimpan kelembutan yang hanya terzahir melalui tindakan kecil. Hubungan antara Musheng dan Nanzhi berkembang dengan begitu halus sehingga saya tidak pernah merasakan filem ini cuba memaksa emosi penonton. Antara babak yang paling meninggalkan kesan ialah selepas kematian Musheng. Nanzhi berdiri sendirian di pejabat kiriman wang, memegang sehelai surat yang bakal mengubah kehidupan sebuah keluarga. Saat itu, filem ini hampir tenggelam dalam sunyi. Dia tidak sekadar memikirkan sama ada perlu berkata benar atau berbohong. Dia sedang mempertimbangkan bentuk kasih yang paling mampu menyelamatkan hati seseorang.

Keputusan yang diambilnya akhirnya menjadi nadi keseluruhan cerita. Surat-surat terus dihantar selama bertahun-tahun. Bersama wang kiriman, datang juga hadiah kecil, basikal, simpanan untuk majlis perkahwinan, makanan dan perhatian yang tidak pernah putus. Hakikatnya, kasih sayang terus hidup walaupun dibina di atas sebuah rahsia yang terlalu berat untuk dipikul. Filem ini tidak pernah menghakimi tindakan itu. Sebaliknya, ia mengajak kita memahami bahawa kehidupan sering memaksa manusia memilih antara kebenaran dan belas ihsan.

Ungkapan 做人要有情有义 yang sering diulang sepanjang filem menjadi roh kepada keseluruhan penceritaan, bahawa manusia harus hidup dengan kasih dan tanggungjawab. Nilai itu tidak disampaikan melalui syarahan, sebaliknya melalui perbuatan kecil yang diulang selama puluhan tahun. Barangkali itulah bentuk cinta yang paling ikhlas. Saya juga jatuh hati kepada penggunaan dialek Teochew yang memenuhi keseluruhan filem. Walaupun saya tidak memahami setiap perkataan, ritma bahasanya sendiri membawa emosi yang sukar diterjemahkan. Seolah-olah setiap ayat membawa sejarah sebuah bangsa yang pernah berhijrah demi keluarga.

Reka bentuk produksinya juga sangat cantik dan mengkagumkan. Suasana Shantou dan Yaowarat di Bangkok era 1950-an hingga 1960-an dihidupkan dengan begitu autentik. Lorong-lorong lama, kedai-kedai kecil dan cuaca tropika Thailand terasa benar-benar dihuni, bukannya sekadar set penggambaran. Apa yang paling saya hargai ialah Dear You tidak pernah cuba memanipulasi air mata penonton. Ia membiarkan setiap emosi hadir secara semula jadi. Ketawa kecil, rasa rindu, kehilangan dan kelegaan datang silih berganti seperti kehidupan sebenar.

Saat dua wanita tua akhirnya bertemu semula selepas puluhan tahun dipisahkan oleh surat dan masa, tiada muzik yang menggelegar, tiada dialog panjang. Hanya pandangan mata, senyuman yang tertahan dan pelukan yang membawa segala jawapan. Babak itu benar-benar membuat saya terdiam. Keluar panggung, saya tidak membawa pulang misteri tentang warisan atau rahsia keluarga. Saya bawa pulang kesedaran bahawa manusia mungkin meninggalkan dunia ini, tetapi kebaikan yang pernah diberikan akan terus hidup melalui orang-orang yang menerimanya. Dan mungkin, itulah surat paling indah yang ingin disampaikan oleh Dear You.

Tinggalkan seketika hiruk-pikuk dunia dan nikmati sebuah kisah yang dibina daripada surat-surat, kenangan dan kasih sayang yang merentasi masa. Dear You kini menghiasi pawagam seluruh Malaysia sejak 18 Jun 2026 dengan durasi 2 jam yang penuh kehangatan dan emosi. Kalau sudah lama tak menonton filem yang benar-benar menyentuh hati, inilah masanya. Sebuah perjalanan yang mungkin membuatkan anda lebih menghargai keluarga, persahabatan dan setiap pengorbanan yang tidak pernah diceritakan.

Comments
* The email will not be published on the website.