Semakin Dewasa Tapi Rasa Itu Masih Sama, 'Dilan ITB 1997' Menulis Babak Kehidupan Yang Lebih Bermakna

oleh: zizi hashim

Terus terang saya datang menonton kerana satu nama, Ariel NOAH... dan lagu-lagu merdunya. Serius! Meski tidak pernah menonton semesta Dilan yang sebelumnya, saya tidak peduli. Yang penting ada Ariel. Durasi 1 jam 50 minit terasa seperti duduk bersila di hadapan Ariel sambil mendengar cerita tentang hidup dan kisah cintanya. Meski sedikit cemburu dengan Ancika, tak apa lah janji dapat duduk di hadapannya dia. Biarpun jalan ceritanya biasa-biasa sahaja, kalau dengan Ariel, semuanya boleh jadi OK dan best! Ya, sampai begitu sekali penangan si vokalis NOAH yang satu ini.

Kisah cinta si Dilan ini langsung tidak dipenuhi debar yang menggegarkan dada. Kisahnya berjalan perlahan, berbicara dengan tenang dan menyapa hati tanpa perlu meninggikan suara. Itulah yang saya rasakan sepanjang menonton Dilan ITB 1997. Saya datang kerana Ariel dan kemudian saya pulang dengan sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar rasa kagum terhadap seorang penyanyi yang kini menghidupkan watak legenda ciptaan Pidi Baiq.

Ramai yang cakap filem ini tidak akan mengatasi magis Dilan 1990, namun dari sudut pandang yang lain, ia benar-benar menjadi sebuah perjalanan yang lebih matang. Dilan kali ini tidak lagi sibuk memikat dengan rayuan yang membuat penonton tersipu-sipu. Sebaliknya, dia mengajak kita menyelami kehidupan seorang lelaki yang sedang belajar memahami cinta, tanggungjawab dan arah masa depannya. Kalau tanya saya, hampir semua quotes cinta yang dilafazkan Dilan itu sering buat senyum-senyum sendiri. Paling saya suka saat Dilan menuturkan, "Jarak selalu punya cara menguji dua orang... dan saat jarak menguji, yang menang adalah rindu."

Berlatar Bandung tahun 1997, filem arahan sutradara Fajar Bustomi ini membawa saya menyusuri sebuah zaman yang sedang berubah. Indonesia ketika itu berada di ambang Reformasi, namun pergolakan politik tidak dijadikan tumpuan utama. Sebaliknya, ia menjadi latar yang perlahan-lahan membentuk perjalanan hidup Dilan. Pendekatan itu saya rasakan cukup bijaksana kerana fokus filem ini tetap terletak pada manusia, hubungan dan proses menjadi dewasa. Selepas pulang daripada program di Kuba sebagai mahasiswa tamu Fakulti Seni Rupa dan Desain (FSRD) ITB, Dilan meneruskan kehidupan sebagai pelajar seni, pemuzik bebas dan aktivis kampus.

Poster Che Guevara yang menghiasi biliknya, muzik yang sentiasa menemaninya serta keterlibatan dalam gerakan mahasiswa memberikan dimensi baharu kepada watak yang selama ini dikenali sebagai bekas ketua geng motosikal. Dilan masih lelaki yang puitis, tetapi kini puisinya lahir daripada pengalaman, bukan lagi sekadar keberanian remaja. Ariel NOAH sebagai Dilan? Pada awalnya ada sedikit ragu. Bayangan Iqbaal Ramadhan masih terlalu kuat dalam ingatan. Namun semakin lama filem ini bergerak, semakin saya memahami mengapa Pidi Baiq memilih Ariel. Dialek Bandung yang begitu alami, lenggok pertuturan yang lembut serta humor Sundanya terasa begitu organik.

Ada saat-saat saya seperti terlupa sedang melihat Ariel. Yang berada di hadapan saya hanyalah seorang lelaki bernama Dilan yang sedang bercerita tentang hidupnya. Jika Ariel membawa ketenangan, Niken Anjani pula menghadirkan Ancika sebagai sosok yang penuh kebijaksanaan. Saya menyukai bagaimana hubungan mereka berkembang tanpa perlu konflik yang berlebihan. Percakapan-percakapan kecil, tatapan mata yang penuh pengertian, pelukan di bawah langit Bandung serta adegan menyambut ulang tahun Ancika menjadi antara momen paling romantis dalam filem ini. Malah adegan ciuman antara mereka terasa lahir daripada hubungan yang sudah benar-benar matang, bukannya sekadar memenuhi tuntutan romantis di layar.

Salah satu dialog yang paling lama tinggal bersama saya ialah ketika ibu Dilan bertanya kepada Ancika, "Kamu nggak cemburu sama Dilan?" lalu Ancika menjawab, "Kata Dilan cemburu itu tanda tidak percaya diri." Ringkas, tetapi cukup menggambarkan bagaimana cinta dalam filem ini dibina atas kepercayaan dan komunikasi, bukannya rasa memiliki secara membuta tuli. Kehadiran semula Milea, lakonan Raline Shah, pula menjadi ujian terbesar buat hubungan mereka. Saya suka bagaimana filem ini tidak cuba membangkitkan cinta lama secara berlebihan. Pertemuan antara Dilan dan Milea berlangsung dengan cukup dewasa. Tiada jeritan emosi, tiada drama yang melampau. Yang tinggal hanyalah dua insan yang pernah saling mencintai, tetapi akhirnya memahami bahawa tidak semua kenangan perlu dihidupkan semula.

Kemunculan Hana, vokalis band indie lakonan Della Dartyan, turut memberi sedikit riak kepada perjalanan cerita. Namun konflik yang tercetus tidak pernah melarat menjadi sesuatu yang terlalu melodramatik. Malah saya lebih tertarik melihat bagaimana Dilan memilih untuk mengawal dirinya daripada kembali kepada dunia keganasan yang pernah menjadi sebahagian hidupnya dahulu. Kehadiran Ancika jelas menjadikan Dilan seorang manusia yang lebih tenang. Oh ya, ada juga dialog lucu dari Dilan yang sering buat satu panggung meledak ketawa. Benar-benar romantik komedi yang just nice!

Saya juga sangat menikmati suasana Bandung yang dibangunkan semula dengan begitu meyakinkan. Lorong-lorong Braga, Pasar Buku Palasari, telefon analog, televisyen lama, akhbar bercetak dan angkot era 1990-an menghidupkan nostalgia sebuah kota yang sedang melalui perubahan besar. Sinematografi yang lebih sederhana berbanding filem-filem Dilan terdahulu juga terasa selari dengan perkembangan wataknya. Fajar Bustomi memilih untuk tidak terlalu banyak bermain dengan visual dramatik. Sebaliknya, kamera lebih banyak menjadi pemerhati kepada kehidupan Dilan yang kini bergerak perlahan tetapi penuh makna. Pilihan kreatif itu membuatkan saya berasa seperti sedang mendengar seseorang berkongsi catatan hariannya secara jujur dari hadapan saya.

Ketika gerakan mahasiswa mula memenuhi jalan raya dan Dilan akhirnya turut berada di tengah demonstrasi menjelang Reformasi 1998, filem ini mengingatkan bahawa cinta dan sejarah sering berjalan seiring. Adegan Dilan ditahan polis selepas hanya bermain gitar dan menyanyikan lagu perjuangan, sebelum Ancika datang menjemputnya bersama adiknya menaiki Vespa, menjadi antara babak yang paling menyentuh buat saya. Sokongan Ancika terhadap lelaki yang dicintainya terasa begitu tulus tanpa perlu diucapkan dengan kata-kata besar.

Memang benar, Dilan ITB 1997 bergerak perlahan. Konfliknya juga tidak terlalu berat. Penonton yang mengharapkan kisah cinta penuh ledakan mungkin akan menganggapnya terlalu mendatar. Namun bagi saya, justeru ketenangan itulah kekuatan utamanya. Saya benar-benar merasakan seolah-olah ada seseorang duduk di hadapan saya, bercerita tentang hidup, tentang cinta yang pernah singgah, tentang pilihan yang pernah dibuat dan tentang masa muda yang tidak akan kembali...

Mungkin Ariel NOAH tidak pernah benar-benar menjadi Dilan seperti yang dibayangkan sebahagian peminat. Namun dia berjaya menjadi Dilan yang diperlukan untuk babak kehidupan ini. Lebih matang, lebih tenang dan lebih menerima kenyataan. Seperti kehidupan itu sendiri, manusia akhirnya akan berubah. Yang tinggal hanyalah cara kita memilih untuk terus melangkah. Dilan ITB 1997 bukan filem yang membuat saya keluar dari pawagam dengan dada yang bergoncang. Sebaliknya, ia membuat saya melangkah pulang sambil tersenyum kecil, mengingati satu dialog yang terasa begitu sederhana tetapi penuh makna: "Tidak ada kamu, Indonesia biasa saja." Mungkin itulah definisi cinta yang sudah dewasa. Tidak lagi berbunyi lantang, tetapi diam-diam menetap paling lama di dalam hati. 

Namun sebenarnya, yang paling saya nikmati sepanjang filem ini ialah muziknya. Semua OST yang dibawakan, terutama lagu "Dulu Kita Masih Remaja" dan "Ancika" nyanyian Ariel NOAH, benar-benar menyatu dengan perjalanan cerita. Muziknya tidak pernah memaksa emosi, tetapi mengalirkannya secara perlahan sehingga beberapa babak terasa lebih menyentuh daripada dialog itu sendiri. Keluar dari panggung, tipulah kalau tidak nyanyi-nyanyi kecil pada senikata yang sudah hafal seiring menonton tadi.

Jika anda membesar bersama semesta Dilan, filem ini ialah lembaran yang melengkapkan perjalanan hidupnya. Bermula tayangan di pawagam Malaysia 23 Julai 2026, datanglah dengan hati yang terbuka. Bukan untuk mencari Dilan yang sama seperti dahulu, tetapi untuk mengenali seorang Dilan yang sudah belajar menerima kehidupan. Hayati nostalgia Bandung 1997, dengarkan muzik yang menghangatkan jiwa dan biarkan kisah ini mengingatkan bahawa cinta yang paling indah sering lahir daripada kesetiaan, komunikasi dan keberanian untuk terus bertumbuh. Dan bak kata Dilan, "Kalau tidak lebih baik, lebih baik tidak!" Maka dengan itu, saya declare Dilan di tangan Ariel NOAH, pastinya lebih baik... percaya atau tidak? Harus pegi tonton sendiri!

Comments
* The email will not be published on the website.