
oleh: zizi hashim
Sunyi tidak hanya terhad pada bunyi tidak kedengaran apa-apa. Terkadang ia cuma duduk diam di penjuru rumah, melekat pada cawan yang tidak lagi disentuh, pada kerusi makan yang kosong, pada nombor telefon yang sudah tidak akan menjawab panggilan lagi. Dan Esok Tanpa Ibu memahami sunyi itu dengan cara yang sangat perlahan… tetapi menghancurkan.
Sejak minit pertama filem ini bermula, saya sudah dapat rasa bahawa ini bukan naskhah yang mahu membuat penonton menangis melalui drama berlebihan atau dialog yang terlalu memaksa. Filem arahan Ho Wi Ding ini memilih jalan yang lebih tenang, lebih lirih dan jauh lebih manusia. Dan mungkin sebab itu ia terasa sangat sakit.


Esok Tanpa Ibu atau judul antarabangsanya Mothernet mengisahkan Rama lakonan Ali Fikry, seorang remaja berusia 16 tahun yang terlalu rapat dengan ibunya, Laras lakonan Dian Sastrowardoyo. Hubungannya dengan sang ayah, Hendi lakonan Ringgo Agus Rahman pula sentiasa dipenuhi jarak yang sukar dijelaskan. Laras menjadi jambatan dalam keluarga itu. Tempat Rama bercerita. Tempat Hendi diam-diam pulang setelah penat menjadi lelaki yang terlalu keras terhadap hidup.
Namun hidup manusia selalu kejam pada perkara yang paling kita sayang. Satu kemalangan membuatkan Laras koma. Dan ketika dia akhirnya pergi, rumah itu tidak lagi terasa seperti rumah. Saya rasa itulah bahagian paling kuat tentang filem ini: cara ia menggambarkan kehilangan bukan sebagai ledakan emosi besar, tetapi sebagai ruang kosong kecil yang perlahan-lahan memakan manusia dari dalam. Rama tidak meraung sepanjang masa. Hendi tidak menangis sambil menjerit. Mereka cuma jadi bak orang asing. Dan itu jauh lebih menyedihkan.


Dalam dunia futuristik yang tidak terlalu jauh daripada realiti hari ini, Rama akhirnya menggunakan i-BU, sebuah kecerdasan buatan ciptaan sahabatnya Zyla lakonan Aisha Nurra Datau. AI itu mampu meniru wajah, suara, cara bercakap malah personaliti ibunya melalui data kenangan yang disimpan Rama. Konsepnya kedengaran seperti filem sci-fi besar Hollywood, tetapi menariknya Esok Tanpa Ibu tidak pernah terasa terlalu “futuristik” sampai menjauhkan penonton. Teknologinya masuk akal dan realistik. Dan paling menyeramkan… terasa sangat mungkin berlaku dalam masa terdekat. Itulah yang membuat filem ini begitu relevan.
Hari ini manusia sudah mula mencari jawapan daripada AI sebelum bertanya kepada manusia sebenar. Kita mula bercakap dengan mesin ketika merasa sunyi. Dan filem ini perlahan-lahan bertanya sesuatu yang sangat menakutkan: Apa jadi kalau suatu hari nanti manusia memilih simulasi kasih sayang berbanding hubungan sebenar? i-BU dalam filem ini bukan sekadar teknologi. Ia menjadi simbol manusia yang terlalu takut melepaskan kehilangan. Dan jujur… saya faham Rama. Adakalanya manusia rela hidup dengan bayangan palsu asalkan tidak perlu menerima hakikat bahawa orang yang kita sayang benar-benar sudah tiada.


Ali Fikry memberikan persembahan yang sangat matang sebagai Rama. Wajahnya sentiasa memikul beban emosi walaupun dialog tidak terlalu banyak. Ada sesuatu pada cara dia memandang skrin i-BU yang membuatkan saya rasa sesak: seperti seorang anak yang terlalu takut melupakan suara ibunya sendiri. Ringgo Agus Rahman pula benar-benar mengejutkan. Watak Hendi mungkin antara karakter ayah paling manusiawi yang pernah saya lihat dalam filem keluarga Asia. Dia bukan ayah jahat. Dia cuma lelaki yang tidak tahu bagaimana mahu menunjukkan kasih sayang dengan betul. Dan filem ini sangat jujur tentang lelaki seperti itu.
Ada babak kecil ketika Hendi cuba berbual dengan Rama tetapi akhirnya memilih diam… dan entah kenapa babak sederhana itu terasa lebih menyakitkan daripada adegan menangis panjang. Dian Sastrowardoyo pula membawa kehangatan yang membuatkan penonton faham kenapa kehilangan Laras terasa begitu besar kepada keluarga itu. Walaupun sebahagian besar waktunya hanya hadir melalui flashback atau AI, auranya tetap menjadi nadi emosi filem ini. Paling saya suka ialah bagaimana filem ini tidak menjadikan AI sebagai “villain”. i-BU tidak jahat. Teknologi tidak jahat. Yang menakutkan sebenarnya adalah manusia yang terlalu takut menerima kehilangan.


Sinematografi filem ini juga sangat indah. Ho Wi Ding menggunakan pencahayaan lembut, warna-warna dingin dan ruang kosong dalam rumah untuk mencipta rasa sunyi yang sangat hidup. Banyak babak terasa seperti puisi visual tentang manusia yang sedang perlahan-lahan tenggelam dalam duka. Muziknya pula hadir seperti bisikan kecil yang menemani luka. Tidak terlalu dramatik. Tidak terlalu memaksa. Tetapi cukup untuk membuat dada terasa berat.
Meski begitu, saya akui pacing filem ini agak perlahan. Penonton yang tidak biasa dengan drama introspektif mungkin akan rasa sedikit penat kerana filem memberi ruang panjang untuk emosi 'bernafas'. Ada juga beberapa subplot yang terasa terlalu cepat berkembang, terutama hubungan antara Robert dan Zyla. Namun bagi saya, kelemahan kecil itu tidak terlalu mengganggu keseluruhan pengalaman emosinya. Kerana kekuatan sebenar Esok Tanpa Ibu terletak pada perkara yang lebih sederhana. Ia membuat kita teringat kepada ibu sendiri. Tentang pelukan yang selalu kita fikir masih sempat dibalas esok. Tentang panggilan telefon yang selalu kita tangguh. Tentang ucapan terima kasih yang selalu terasa boleh diucapkan kemudian.
Anak lelaki saya sendiri yang ikut menonton bersama saya tiba-tiba mendekatkan kepalanya ke bahu saya sambil berbisik "I love you Ma... semoga Mama sihat selalu dan sentiasa ada bersama dalam jangkamasa yang panjang." Saya tahu hatinya tersentuh kuat, kerana filem ini sememangnya mengingatkan bahawa manusia sering hanya sedar pentingnya seseorang selepas rumah mula terasa terlalu sunyi tanpa mereka.
Dan ketika kredit akhir mula naik perlahan di layar, saya cuma duduk diam beberapa saat. Memikirkan satu hal yang paling menyesakkan: teknologi mungkin boleh meniru suara. Boleh meniru wajah. Boleh meniru memori. Tetapi kasih sayang manusia… tidak akan pernah terganti oleh apa-apa pun. Tayangan Esok Tanpa Ibu di pawagam Malaysia bermula 14 Mei 2026. Di sebalik teknologi dan visual moden itu, jantung filem ini tetap tentang cinta seorang ibu yang tidak mampu diganti oleh apa pun. Sediakan hati sebelum masuk panggung. Kerana ada filem yang hanya ditonton… dan ada filem yang diam-diam memeluk luka paling sunyi dalam diri kita.