Reunion Keluarga Jadi Seram Yang Kejam, 'Evil Dead Burn' Kembali Ganas Dalam Neraka Paling Panas

oleh: zizi hashim

Setiap kali namanya kembali menghuni layar perak, saya tidak pernah mengharapkan sebuah filem yang hanya mahu menakutkan. Sebaliknya, saya datang dengan ekspektasi untuk melihat sejauh mana kegilaan itu mampu dibawa ke tahap yang lebih mengerikan. Evil Dead Burn ternyata tidak mengecewakan saya. Filem arahan Sébastien Vaniček ini terus membawa saya ke sebuah rumah usang yang sepatutnya menjadi tempat berlindung selepas kehilangan orang tersayang. Namun seperti mana tradisi francais ini, rumah itu akhirnya bertukar menjadi sangkar maut apabila Necronomicon sekali lagi membuka pintu kepada sesuatu yang tidak sepatutnya dibangkitkan.

Mengikuti kisah Alice lakonan Souheila Yacoub, seorang wanita yang kehilangan suaminya, Will, dalam kemalangan tragis. Dalam usaha mencari sedikit ketenangan, Alice memilih untuk bersama keluarga mertuanya buat seketika. Namun, kepulangan itu bukan membawa penyembuhan, sebaliknya menjadi permulaan kepada sebuah mimpi ngeri apabila ahli keluarga satu demi satu dirasuk Deadites, makhluk yang lahir daripada sumpahan purba, yang dahagakan darah dan pembunuhan. Neraka sudah membuka pintunya. Persoalannya, beranikah anda melangkah masuk?

Apa yang paling saya gemari ialah cara filem ini tidak sekadar bergantung kepada darah dan keganasan untuk mencipta ketakutan. Sebaliknya, Vaniček membina suasana melalui hubungan keluarga yang sejak awal sudah pun retak menanti belah. Luka lama, rahsia yang disembunyikan serta dendam yang dipendam akhirnya menjadi bahan bakar kepada segala kekacauan yang berlaku. Ketika syaitan mula mengambil alih tubuh mereka, saya merasakan bahawa raksasa sebenar sebenarnya sudah lama wujud sebelum sumpahan itu bermula.

Meski premisnya masih berlegar pada formula klasik Evil Dead, kali ini rumah terpencil menggantikan kabin ikonik, namun semangat asal francais tetap dipelihara. Lorong sempit, bilik makan yang terasa sesak dan ruang rumah yang semakin mengecil menjadikan rasa panik itu begitu mencengkam. Ada ketika saya sendiri terasa sukar menarik nafas, seolah-olah terperangkap bersama mereka di dalam rumah yang semakin hari semakin hilang kewarasan.

Salah satu babak yang paling meninggalkan kesan ialah adegan makan malam yang jelas mengambil ilham daripada The Texas Chainsaw Massacre. Kamera bergerak rapat ke wajah setiap watak, memerangkap penonton dalam suasana yang begitu klaustrofobik. Setiap renungan, setiap bisikan dan setiap jeritan terasa semakin hampir sehingga saya sendiri tidak sedar tangan sudah menggenggam tempat duduk sejak beberapa minit sebelumnya. Babak long take ketika Alice cuba meloloskan diri dari ruang makan juga antara yang paling mengkagumkan. Pergerakan kamera yang lancar membuatkan saya benar-benar merasakan setiap langkahnya dipenuhi ancaman. 

Tiada potongan suntingan yang mengganggu, tiada ruang untuk bernafas. Hanya Alice, lorong yang semakin sempit dan sesuatu yang sedang menunggu di hujung kegelapan. Sudah tentu, mustahil bercakap tentang Evil Dead Burn tanpa menyentuh aspek gore yang menjadi identiti francais ini. Sejujurnya, inilah antara penggunaan practical effects terbaik yang pernah saya lihat sejak sedekad lalu. Setiap tikaman, setiap tulang yang patah, setiap percikan darah dan setiap tubuh yang dikoyakkan kelihatan begitu menjijikkan sehingga membuatkan saya beberapa kali berpaling seketika. Lebih mengkagumkan, kebanyakan kesan khas dilakukan secara praktikal, menjadikan setiap kecederaan terasa lebih nyata dan lebih menyakitkan. Entah berapa kali saya tergamam sambil berkata "Oh My God!"

Rekaan Deadites juga berjaya mengembalikan rasa seram klasik yang selama ini menjadi kekuatan siri ini. Mereka bukan sekadar makhluk yang mahu membunuh, tetapi gemar mempermainkan mangsa dengan senyuman sinis, kata-kata yang menyakitkan dan keganasan yang hampir sadistik. Ada satu babak membabitkan seorang wanita tua yang saya yakin akan terus menghantui fikiran penonton lama selepas kredit penutup selesai bergulir.

Namun, di sebalik segala keganasan itu, saya cukup menghargai bagaimana filem ini mengembalikan sisi humor hitam yang sedikit berkurangan dalam dua filem terdahulu. Ada beberapa detik yang membuatkan seluruh pawagam ketawa, hanya untuk kembali menjerit beberapa saat kemudian. Peralihan emosi itu terasa begitu semula jadi dan mengingatkan saya mengapa Evil Dead sentiasa menjadi antara francais seram yang paling unik. Ia memahami bahawa ketakutan dan kegilaan kadangkala berjalan seiring. Memang ada beberapa keputusan watak yang terasa kurang masuk akal, khususnya menjelang babak klimaks. Ada ketika saya tertanya-tanya mengapa mereka memilih jalan yang jelas membawa padah. Ritmanya juga sedikit terganggu pada beberapa transisi, namun kekurangan kecil itu cepat dilupakan kerana filem ini tidak pernah berhenti menghadiahkan kejutan demi kejutan. 

Dari sudut teknikal, sinematografinya cukup indah dan membangkit teruja. Sudut kamera sentiasa membuatkan saya curiga terhadap setiap penjuru skrin. Reka bentuk bunyi pula benar-benar memainkan peranan besar. Bunyi tulang retak, daging yang dikoyakkan, nafas yang tersekat dan jeritan yang bergema menjadikan setiap adegan terasa jauh lebih menyeksakan. Skor muzik yang agresif pula memastikan tahap debaran tidak pernah benar-benar reda sepanjang 110 minit durasinya.

Souheila Yacoub memberikan persembahan yang cukup meyakinkan sebagai Alice. Beliau berjaya membawa watak wanita yang pada mulanya kelihatan rapuh sebelum perlahan-lahan berubah menjadi individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk terus hidup. Walaupun sebahagian watak sampingan sengaja ditulis menjengkelkan sehingga membuatkan saya tidak kisah jika mereka menjadi mangsa seterusnya, saya tetap merasakan dinamika keluarga itu berjaya memberikan emosi yang diperlukan sebelum semuanya bertukar menjadi pembunuhan demi pembunuhan.

Satu pesanan penting, jangan terus bangun apabila kredit penutup mula berjalan. Kekal sehingga ke penghujung kerana filem ini masih menyimpan satu babak tambahan yang menghubungkan kisahnya dengan Evil Dead Rise, termasuk kemunculan semula Ellie yang pasti menggembirakan peminat tegar francais ini. Secara keseluruhannya, Evil Dead Burn mungkin tidak mengubah formula yang sudah dikenali ramai, tetapi ia memahami dengan tepat mengapa penonton masih setia kembali. Gore yang kreatif, atmosfera yang menyesakkan, lakonan yang mantap serta gabungan seram, aksi dan humor hitam menjadikannya antara filem seram paling menghiburkan tahun ini.

Selalunya saya keluar dari pawagam dengan rasa terkejut dan takut. Evil Dead Burn pula membuat saya tersenyum sambil menggeleng kepala melihat betapa gilanya imaginasi manusia apabila neraka diberi ruang untuk bernyawa. Kini menghantui pawagam berhampiran anda bermula 9 Julai 2026. Jangan sekadar dengar cerita orang, alami sendiri malam paling berdarah dalam legasi Evil Dead.

Comments
* The email will not be published on the website.