Mitologi 'Mikael: Pemburu Dua Alam' Padat Aksi-Supernatural, Sarat Persoalan Metafizik

oleh: zizi hashim

Bayang malam terkadang menyimpan sesuatu yang lebih daripada sekadar kegelapan. Pada sesetengah waktu, ia membawa rahsia yang tidak terlihat oleh mata biasa seperti luka lama, dendam yang belum lunas, dan makhluk dari alam lain yang menunggu masa untk mencelah masuk ke dunia manusia. Dari ruang itulah Mikael: Pemburu Dua Alam muncul, membawa sebuah naskhah tempatan yang berani, liar dan penuh cita-cita.

Filem ini mengangkat watak Inspektor Mikael, lakonan Datuk Remy Ishak, seorang anggota polis elit yang sedang menyiasat satu pembunuhan beramai-ramai di sebuah majlis kenduri kahwin. Tragedi itu sendiri sudah cukup mengerikan, namun yang membuatnya lebih mengganggu ialah sifat pembunuhan tersebut yang terasa pelik, seolah-olah disentuh oleh unsur ghaib yang tidak mampu dijelaskan dengan logik abiasa. Dari detik itulah, cerita ini membuka pintu ke wilayah yang lebih gelap.

Mikael bukan watak wira yang datang tanpa luka. Dia digambarkan sebagai lelaki yang masih dihantui trauma kehilangan adiknya, seorang manusia yang keras pada luar tetapi sebenarnya retak dari dalam. Kalau menurut saya, inilah yang membuat filem ini terasa lebih menarik daripada sekadar filem aksi seram yang biasa. Mikael tidak melawan makhluk ghaib semata-mata, dia juga sedang bergelut dengan sisa-sisa pedih dalam dirinya sendiri.

Keupayaan Mikael untuk masuk ke alam ghaib menjadikan naratif filem ini bergerak pada dua jalur yang saling bersilang: dunia nyata yang dipenuhi penyiasatan jenayah, dan dunia lain yang dihuni ancaman lebih tua, lebih jahat, dan lebih misteri. Dalam usahanya membongkar punca segala kekacauan, dia dibantu oleh Sarjan Kok lakonan Fabian Loo dan Winston yang dibawakan oleh Norreen Iman. Kehadiran mereka memberi warna yang berbeza pada perjalanan cerita. Satu sisi tegang, satu sisi santai, tetapi kedua-duanya penting dalam memastikan naskhah ini tidak tenggelam dalam kesuraman semata-mata.

Mikael turut dipertemukan dengan Aisyah, lakonan Alicia Amin, seorang pencuri licik yang memburu artifak-artifak langka di pasaran gelap. Kehadiran watak ini menambahkan lagi rasa dunia filem yang lebih luas, seolah kita tidak hanya mengikuti satu kes pembunuhan, tetapi memasuki sebuah mitologi yang punya aturan, sejarah dan ancaman tersendiri. Di situ juga muncul lapisan cerita tentang ramalan jahat, tujuh pelindung, dan kebangkitan penguasa para Djinn yang berusaha menyeberang ke alam manusia.

Struktur cerita seperti ini memberi filem satu skala yang terasa lebih besar daripada banyak filem tempatan sejenis. Ia bukan sekadar mahu menakutkan penonton dengan gangguan makhluk ghaib, tetapi cuba membina satu semesta yang berpijak pada mitologi, artifak purba dan dunia paranormal yang lebih berlapis. Dan sejujurnya, percubaan seperti ini kalau menurut saya terasa menyegarkan. Sinema tempatan sudah lama memerlukan naskhah yang sanggup melangkah keluar daripada bentuk selesa dan berani membina dunianya sendiri.

Dari sudut pengarahan, Zahir Omar membawa kredibiliti yang meyakinkan. Selepas membuktikan kemampuannya menerusi Fly By Night pada 2018, dia kembali dengan sesuatu yang jauh lebih rumit dari segi tona dan skala. Jika sebelum ini dia cemerlang membina dunia jenayah neo-noir yang keras dan berpijak di bumi nyata, kali ini cabarannya berbeza dengan menggabungkan aksi, thriller, komedi dan unsur ghaib dalam satu naskhah yang perlu kekal seimbang. Itu bukan tugas kecil.

Apa yang paling saya rasa berhasil ialah filem ini tidak terlalu bergantung pada elemen agama untuk menggerakkan ketegangannya. Sebaliknya, ia memilih jalan pertarungan fizikal, siasatan, artifak, dan dunia ghaib yang lebih dekat dengan imaginasi mitologi. Hasilnya, Mikael: Pemburu Dua Alam terasa lebih universal sebagai filem aksi-thriller, tetapi pada masa yang sama masih mempunyai akar tempatan yang jelas.

Babak aksinya sendiri memang menjadi antara kekuatan yang paling mudah ditangkap sejak awal. Pertarungan antara Mikael dan makhluk ghaib digarap dengan intensiti yang meyakinkan. Walaupun ada saat kamera bergerak agak liar, tenaga yang dibawa dalam setiap perlawanan tetap terasa. Ia menambah rasa cemas, seolah penonton sendiri terperangkap di tengah pertempuran yang tidak memberi ruang untuk bernafas panjang.

Filem ini juga tidak lupa memberi ruang kepada humor. Karakter Winston dan Sarjan Kok menjadi pelepas tekanan pada saat-saat tertentu. Gurauan mereka kadang-kadang muncul secara santai, kadang sedikit dipaksakan, tetapi secara keseluruhan tetap membantu menyeimbangkan tona cerita yang padat dengan ketegangan dan kekerasan. Ini penting, kerana naskhah dengan dunia ghaib dan pembunuhan beramai-ramai mudah menjadi terlalu berat jika tidak diberi ruang untuk penonton bernafas.

Dari segi teknikal, saya akui filem ini dibuat dengan ketelitian yang terasa. Sinematografi, audio, visual dan penggunaan CGI kelihatan digarap dengan baik. Ada beberapa babak gore yang cukup mengejutkan pada awal filem, sampai rasa tidak selesa itu benar-benar sampai. Namun ia tidak terasa murahan. Sebaliknya, ia digunakan untuk menegaskan bahawa dunia yang sedang dibina ini memang berbahaya dan tidak bermain-main.

Satu lagi yang menarik perhatian saya ialah bagaimana filem ini menyelitkan nilai kasih sayang antara adik-beradik, kesetiaan persahabatan dan semangat saling membantu. Walaupun dibalut dengan dunia gelap, darah, dan makhluk ghaib, inti kemanusiaannya tetap ada. Itu yang membuat pengalaman menonton terasa lebih berisi. Penonton bukan hanya mahu tahu siapa yang akan mati atau siapa yang akan menang, tetapi juga mahu tahu sama ada luka Mikael akan sembuh, sama ada dia akan berjaya berdamai dengan masa lalunya, dan sama ada mereka yang berdiri di sisinya mampu bertahan.

Malam gala pelancaran filem ini yang berlangsung pada 31 Mac 2026 di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur menambah lagi rasa bahawa Mikael: Pemburu Dua Alam bukan dilayan sebagai tayangan biasa, tetapi sebagai sebuah “event movie” tempatan. Kehadiran para pelakon, tenaga produksi dan Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, memberi isyarat bahawa filem ini sedang diposisikan sebagai karya yang punya signifikasi tertentu dalam perkembangan sinema genre Malaysia. Sokongan daripada nama-nama besar seperti Act 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw, Katalyst Connections, SunStrong Entertainment, bersama bantuan FINAS Malaysia dan Kementerian Komunikasi, memperlihatkan keyakinan terhadap potensinya.

Penajaan oleh ALICAFÉ sebagai Penaja Minuman Rasmi mungkin kelihatan kecil pada pandangan luar, tetapi bagi saya ia turut menunjukkan bagaimana pihak korporat mula melihat filem tempatan sebagai sebahagian daripada ekosistem budaya yang lebih luas. Apabila karya seperti ini diberi dukungan, ia memberi harapan bahawa industri kita semakin bersedia untuk menyokong filem yang lebih aneh, lebih berani dan lebih bercita-cita tinggi.

Dengan durasi 120 minit, klasifikasi P16, dan tarikh tayangan 2 April 2026, Mikael: Pemburu Dua Alam datang dengan niat yang jelas iaitu mahu menghiburkan, mahu mengejutkan, dan mahu membuktikan bahawa filem tempatan juga mampu membina semesta genre yang lebih besar. Ya, ada sedikit dialog atau babak yang terasa panjang, ada komedi yang sesekali tidak mendarat dengan kemas, tetapi itu tidak cukup untuk menenggelamkan keseronokan keseluruhan pengalaman menonton.

Menurut saya, kekuatan terbesar filem ini terletak pada keberaniannya. Ia tidak takut menjadi pelik. Ia tidak malu membina dunia sendiri. Ia tidak cuba terlalu selamat. Dan mungkin itulah yang membuat Mikael: Pemburu Dua Alam terasa penting kerana sinema kita memang perlukan lebih banyak karya yang berani melangkah ke wilayah sebegini.

Pada akhirnya, filem ini meninggalkan saya dengan satu perasaan yang agak jarang datang daripada filem genre tempatan: rasa puas kerana dapat melihat sesuatu yang benar-benar mencuba. Bukan semuanya sempurna, tetapi semangat, imaginasinya dan kesungguhannya terasa jelas. Dan terkadang, dari situlah sebuah filem mula hidup lebih lama daripada tempoh tayangannya.