Koreografi Aksi Brutal Tanpa Henti, 'The Furious' Filem Seni Bela Diri Terbaik Dekad Ini

oleh: zizi hashim

Dentuman pertama belum pun reda, tubuh saya sudah terdorong ke hadapan. Bukan kerana jalan ceritanya yang rumit atau misteri yang perlu dipecahkan, tetapi kerana The Furious sejak minit pertama sudah memberi amaran bahawa filem ini tidak datang untuk berbicara panjang. Ia datang untuk bertarung. Dan sepanjang hampir dua jam tayangan berlangsung, tumbukan, tendangan, tulang yang retak, darah yang memercik serta nafas yang tercungap-cungap menjadi bahasa utama yang menggerakkan keseluruhan cerita.

Sekian lama rasanya saya tidak merasakan keterujaan seperti ini ketika menonton filem aksi. Era filem laga hari ini sering terperangkap antara keinginan menjadi terlalu pintar atau terlalu bergantung kepada kesan visual sehingga terlupa bahawa inti sebenar genre ini ialah tubuh manusia yang sanggup mempertaruhkan segala-galanya di hadapan kamera. The Furious mengingatkan saya kepada zaman keemasan filem-filem Hong Kong dan Asia yang pernah membentuk kecintaan saya terhadap genre ini. Zaman ketika Yuen Woo-ping, Tsui Hark dan sederet nama besar lain menjadikan seni pertarungan sebagai sebuah bentuk penceritaan.

Kenji Tanigaki selaku sutradara memahami perkara itu. Dia tidak cuba menjadikan The Furious sebagai sebuah filem falsafah yang sarat dialog. Dia juga tidak cuba memaksa cerita menjadi terlalu kompleks. Sebaliknya, Kenji memberi kepercayaan penuh kepada koreografi aksi untuk berbicara bagi pihak filem ini. Dan keputusan itu ternyata sangat tepat. Kisah Wang Wei yang berusaha mencari anaknya yang hilang akibat sindiket pemerdagangan manusia sebenarnya cukup ringkas. Dalam pencarian tersebut, Wang Wei bertemu Navin, suami kepada seorang wartawan yang turut menyiasat rangkaian jenayah sama.

Dari satu lokasi ke satu lokasi lain, perjalanan mereka membawa kepada pertembungan dengan pelbagai kumpulan penjenayah yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi empayar gelap mereka. Sejujurnya, tiada apa yang terlalu baharu pada struktur penceritaan ini. Namun saya tidak pernah datang ke pawagam untuk menonton The Furious kerana mahukan plot ala Christopher Nolan. Saya datang kerana mahu melihat manusia bertarung. Dan filem ini memberikan lebih daripada apa yang saya harapkan.

Apa yang membuatkan setiap pertarungan terasa begitu hidup ialah hakikat bahawa kebanyakan pelakonnya benar-benar memiliki latar belakang seni bela diri. Xie Miao membawa disiplin Shaolin yang tajam dan penuh ketelitian. Joe Taslim pula hadir dengan aura seorang petarung sebenar yang memahami bagaimana tubuh bergerak ketika berdepan ancaman. Yayan Ruhian seperti biasa membuktikan mengapa namanya masih dihormati dalam dunia aksi Asia. Kehadirannya sentiasa membawa tenaga liar yang sukar dijangka.

Setiap watak mempunyai identiti pertarungan tersendiri. Tiada gerakan yang terasa sama. Tiada duel yang terasa berulang. Satu pertarungan menggunakan kelajuan. Satu lagi menggunakan kekuatan mentah. Ada yang bergantung kepada teknik. Ada pula yang memilih kekejaman. Kepelbagaian itulah yang membuatkan saya tidak pernah berasa penat meski filem ini hampir tidak memberi ruang untuk bernafas. Eh, tipulah tak penat! Memang penat tetapi penat yang dibilas teruja.

Salah satu perkara yang paling saya kagumi ialah cara kamera merakam setiap pertarungan. Kamera bergerak dengan yakin. Tidak terlalu gopoh. Tidak terperangkap dalam penyakit filem aksi moden yang gemar menggunakan potongan pantas sehingga penonton gagal memahami apa yang sedang berlaku. Setiap tendangan, setiap tumbukan, setiap jatuhan dapat dilihat dengan jelas. Penonton diberi peluang menikmati hasil kerja keras koreografer dan pelakon tanpa gangguan. Dan percayalah, hasilnya sangat memuaskan.

Malah terdapat beberapa babak yang membuatkan seluruh pawagam memberi reaksi spontan. Ada yang mengeluh kesakitan. Ada yang terangkat badan dari kerusi. Ada yang secara refleks menggenggam tangan ketika melihat pertarungan semakin brutal. Saya sendiri beberapa kali mendapati tubuh saya dibaluti rasa intens ketika adegan-adegan tertentu berlangsung. Itulah kuasa sinema aksi yang sebenar. Bukan sekadar melihat, tetapi juga turut merasai.

Dari sudut visual, The Furious tampil matang dan konsisten. Perubahan lokasi yang pantas menjadikan filem sentiasa bergerak tanpa kehilangan arah. Setiap ruang mempunyai identitinya sendiri. Lorong gelap, gudang usang, bangunan terbiar dan kawasan industri yang keras dan kotor. Kesemuanya membantu membentuk dunia yang kasar, kejam dan tidak memberi ruang kepada kelemahan. Palet warna yang digunakan pula menguatkan lagi suasana tersebut. Tiada kecantikan yang berlebihan. Tiada glamor yang dipaksa. Segalanya begitu raw dan basah. Sesuai dengan jiwa filem ini. Runut bunyinya juga memainkan peranan besar dalam membina momentum. Setiap hentakan muzik hadir pada waktu yang tepat.

Namun apa yang paling memberi kesan ialah rekabentuk bunyi pertarungannya. Bunyi tulang bertembung. Bunyi nafas yang semakin berat. Bunyi hentaman yang terasa seolah-olah berlaku beberapa inci dari wajah penonton. Kesemuanya membantu mencipta pengalaman yang sangat imersif. Mungkin ada yang akan mengatakan The Furious terlalu mudah. Terlalu lurus. Terlalu fokus kepada aksi. Tetapi bagi saya, itulah kejujurannya. Filem ini tahu apa yang mahu disampaikan dan tidak berpura-pura menjadi sesuatu yang lain. Tidak cuba menyamar sebagai drama berat atau thriller psikologi sebaliknya hadir sebagai sebuah filem seni bela diri yang menghormati akar genre tersebut. Dan kerana itulah ia berjaya.

Ketika kredit penutup mula muncul, saya teringat semula mengapa saya jatuh cinta dengan filem-filem aksi suatu ketika dahulu. Kerana di sebalik segala darah, peluh dan kecederaan yang dipaparkan, sentiasa ada keindahan tertentu pada gerakan manusia yang dikuasai dengan sempurna. Ada seni pada setiap tumbukan. Ada puisi pada setiap tendangan. Ada kejujuran pada setiap pertempuran. Dan The Furious memahami semua itu dengan sangat baik.

Kalau menurut saya, ini bukan sekadar antara filem aksi terbaik tahun ini. The Furious berpotensi menjadi antara filem seni bela diri terbaik yang lahir dalam dekad ini. Sebuah naskhah yang mengingatkan kita bahawa adakalanya sinema tidak memerlukan seribu dialog untuk berbicara. Terkadang cukup sekadar sepasang tangan yang menggenggam erat. Dan keberanian untuk terus bangkit selepas setiap kali terjatuh. Saksikan The Furious di pawagam Malaysia bermula 11 Jun 2026. Bagi pencinta filem aksi, seni bela diri dan adrenalin yang tidak pernah surut, ini antara pengalaman layar lebar yang tidak patut anda lepaskan begitu saja. Jangan sampai menyesal!

Comments
* The email will not be published on the website.