Filem Seram Thailand Ala Jumanji, 'Ghost Board' Mengheret Ketakutan Sehingga Subuh

oleh: zizi hashim

Premis filem ini terus mengingatkan saya kepada Jumanji, tetapi versi yang jauh lebih gelap, lebih menyeramkan dan dipenuhi roh-roh yang tidak pernah meminta untuk dibangkitkan. Namun apa yang membuatkan filem arahan sutradara Chanathip Wongpoltree ini menarik bukan semata-mata kerana konsep permainan maut tersebut, tetapi bagaimana ia membungkus ketakutan itu dengan semangat pengembaraan remaja yang cukup menghiburkan.

Ghost Board bermula apabila sekumpulan pelajar yang ponteng sekolah dihantar ke sebuah kuil terpencil sebagai hukuman. Situasi yang pada awalnya kelihatan biasa berubah sepenuhnya apabila mereka menemui sebuah permainan papan kuno yang tersimpan di bawah tapak patung Buddha lama. Sebaik sahaja dadu terlempar tanpa sengaja, permainan itu tiba-tiba hidup. Dan sejak saat itu, waktu terasa bergerak lebih laju daripada biasa. Peraturan permainan mereka mudah. Habiskan permainan sebelum subuh. Kedengaran macam senang kan? 

Tetapi setiap giliran yang dimainkan akan membebaskan roh, makhluk dan entiti yang semakin mengganas. Ketakutan yang hadir bukan sahaja datang daripada hantu-hantu tersebut, tetapi daripada rasa tidak pasti tentang siapa yang akan menjadi mangsa seterusnya. Apa yang saya suka tentang filem ini ialah karakter kumpulan remajanya terasa jelas. Setiap seorang mempunyai personaliti tersendiri. Ada yang berani, ada yang keras kepala, ada yang terlalu yakin, dan ada yang sentiasa menjadi mangsa keadaan.

Meski terdapat beberapa keputusan mereka yang kadangkala membuat saya ingin berkata "kenapa buat benda tu?", sekurang-kurangnya filem ini memberikan asas yang cukup untuk membuatkan kita peduli tentang nasib mereka. Hubungan sesama mereka menjadi antara elemen yang membuatkan perjalanan dua jam lima minit ini terasa lebih bernyawa. 

Dari sudut seram pula, Ghost Board memilih untuk bermain dengan atmosfera berbanding kejutan murahan semata-mata. Rekabentuk bunyinya cukup baik. Bunyi bisikan yang datang dari arah yang tidak pasti, gema langkah kaki yang seolah-olah bergerak mengelilingi penonton, serta penggunaan senyap yang disengajakan berjaya mencipta rasa tidak selesa yang berpanjangan. Kadangkala saya lebih takut menunggu sesuatu muncul berbanding saat ia benar-benar muncul. Itulah kekuatan utama filem ini. Riuh juga seisi panggung dipenuhi dengan jeritan kecil, tak kurang juga dengan hilai tawa.

Visualnya pula mungkin tidak mencapai tahap filem seram Hollywood berbelanja besar, tetapi saya cukup menyukai usaha produksi dalam membina suasana. Reka bentuk kuil lama, ruang-ruang sempit yang suram dan pencahayaan yang sengaja dibuat kusam memberikan nuansa misteri yang meyakinkan. Kesan CGI ada masanya kelihatan sederhana, namun masih mampu menyokong penceritaan tanpa terlalu mengganggu pengalaman menonton.

Sinematografinya juga membantu membina rasa sesat dan terperangkap. Kamera sering bergerak mengikuti watak melalui koridor gelap dan ruang terbuka yang terasa semakin mengecil. Penonton seperti dipaksa berjalan bersama mereka menuju sesuatu yang tidak diketahui. Muzik latar pula digunakan dengan cukup terkawal. Ia tidak terlalu mendominasi, tetapi hadir tepat pada waktunya untuk meningkatkan debaran. Ada beberapa babak yang berjaya membuatkan saya menggenggam kerusi hanya kerana gabungan visual, bunyi dan tempo muzik yang sangat menjadi.

Paling penting, Ghost Board tidak mengambil dirinya terlalu serius. Di sebalik segala roh pendendam dan permainan maut itu, masih terdapat sisi pengembaraan remaja yang membuatkan filem ini terasa menyeronokkan. Ia mempunyai jiwa filem seram yang mahu menghiburkan, bukan sekadar menakutkan. Mungkin filem ini tidak sempurna. Ada beberapa dialog yang kedengaran sedikit melodramatik dan sesetengah momen boleh dijangka lebih awal. Namun saya mudah memaafkan kelemahan tersebut kerana keseluruhan pengalaman menontonnya terasa menyeronokkan.

Pada akhirnya, Ghost Board bukan filem yang akan membuatkan anda tidur dengan lampu menyala selama seminggu. Tetapi ia cukup berjaya membuatkan anda berfikir dua kali sebelum menyentuh apa-apa permainan lama yang tersimpan di tempat yang tidak sepatutnya. Dan jika ada satu pengajaran yang saya belajar daripada filem ini? Kalau jumpa permainan papan kuno tersembunyi dalam kuil lama... jangan sesekali jadi orang pertama yang menggolekkan dadu. Ingat tu!

Ghost Board menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 11 Jun 2026. Jika anda peminat filem seram yang menggabungkan elemen pengembaraan, misteri, persahabatan dan permainan maut ala Jumanji versi Thailand, filem ini wajar dimasukkan dalam senarai tontonan anda. Tontonlah di layar besar kerana kekuatan sebenar filem ini terletak pada rekabentuk bunyi, suasana yang menyesakkan dan pengalaman seram yang lebih berkesan apabila dikongsi bersama satu panggung penonton yang sama-sama menjerit ketakutan.

Comments
* The email will not be published on the website.