Meruntun Hati Penonton, 'Jangan Buang Ibu' Menghadiahkan Sebuah Muhasabah

oleh: zizi hashim

“Satu ibu boleh menjaga ramai anak, tetapi anak ramai belum tentu mahu menjaga satu ibu…”

Kalimat itu, ya kalimat yang itulah, pedas... rasa perit seperti kena tampar. Sesungguhnya, kasih seorang ibu tidak pernah meminta balasan. Yang diharapkan cuma secebis perhatian, sepotong waktu dan sebuah pelukan yang sering kita tangguhkan atas nama kesibukan. Barangkali itulah sebabnya Jangan Buang Ibu terasa begitu sukar untuk ditonton dengan hati yang tenang. Air mata mungkin boleh diseka, tetapi rasa bersalah yang ditinggalkan filem ini jauh lebih lama tinggal di dalam dada.

Diangkat daripada novel terlaris karya Wahyu Deyapriyangga, filem arahan Hadrah Daeng Ratu ini mengangkat sebuah kisah yang kelihatan sederhana, namun dekat benar dengan denyut kehidupan ramai daripada kita. Tiada premis yang rumit, tiada konflik yang sengaja dibesarkan, hanya perjalanan seorang ibu yang menghabiskan seluruh usianya demi memastikan anak-anak mampu berdiri lebih tinggi daripada dirinya sendiri. Ironinya, ketika impian itu akhirnya menjadi kenyataan, dialah insan pertama yang perlahan-lahan dilupakan.

Ristiana, yang dibawakan dengan sepenuh jiwa oleh Nirina Zubir, ialah gambaran ribuan ibu yang pernah kita temui dalam kehidupan sebenar. Selepas nekad berpisah dengan suami, dia memikul segala beban seorang diri. Menjual donut, bekerja sebagai petugas kebersihan, mengikat perut dan memendam lelah demi memastikan tiga orang anaknya tidak pernah terputus peluang untuk belajar dan menikmati kehidupan yang lebih baik. Pengorbanan itu tidak pernah diungkap dengan kata-kata yang besar. Sebaliknya, ia lahir melalui tindakan kecil yang sering kita anggap biasa, sedangkan di situlah besarnya kasih sayang seorang ibu.

Apa yang paling saya hargai ialah filem ini tidak mengangkat Ristiana sebagai sosok yang terlalu sempurna. Dia juga manusia biasa. Ada waktu tubuhnya letih, ada ketika hatinya rapuh, ada saat dirinya kecewa sehingga tidak lagi mampu menyembunyikan air mata. Namun, setiap kali terluka, dia tetap memilih untuk menyayangi anak-anaknya. Kalau menurut saya, di situlah letaknya kekuatan Jangan Buang Ibu. Ia memahami bahawa kasih seorang ibu bukan hadir kerana mereka tidak pernah kecewa, tetapi kerana mereka sentiasa memilih untuk mengasihi meski berkali-kali disakiti.

Nirina Zubir benar-benar menjadi nadi kepada keseluruhan filem ini. Lakonannya begitu jujur sehingga saya hampir terlupa sedang menyaksikan seorang pelakon di layar perak. Ada babak yang tidak memerlukan dialog panjang, hanya renungan mata yang kosong, senyuman yang dipaksa dan nafas yang perlahan, namun semuanya sudah cukup untuk menyampaikan kesedihan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Tidak hairanlah filem ini menjadi fenomena di Indonesia dengan kutipan lebih tiga juta penonton kerana kekuatan emosinya benar-benar datang daripada kejujuran persembahan beliau.

Hubungan Ristiana dengan cucunya turut menjadi antara nadi emosi yang paling menyentuh. Basmalah Gralind membawa watak itu dengan cukup lembut, menjadi satu-satunya insan yang masih melihat seorang nenek sebagai tempat untuk pulang dan berkongsi kasih. Setiap pertemuan mereka terasa begitu ikhlas, seolah-olah menjadi cahaya kecil yang masih menyala di tengah-tengah kehidupan Ristiana yang semakin sepi. Dalam masa sama, Amanda Manopo, Refal Hady, Dwi Sasono, Erika Carlina, Fadly Faisal serta keseluruhan barisan pelakon berjaya menghidupkan konflik keluarga yang terasa dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

Saya juga menyukai cara Hadrah Daeng Ratu menyusun penceritaan melalui permainan masa silam dan masa kini. Setiap imbas kembali bukan sekadar mengisi ruang kosong, tetapi sedikit demi sedikit membuka luka yang selama ini disembunyikan. Daripada seorang ibu muda yang penuh harapan hinggalah menjadi wanita tua yang hanya ditemani kenangan di rumah jagaan warga emas, perjalanan itu terasa begitu lengkap dan tidak pernah mengelirukan. Malah, setiap imbas kembali menjadikan rasa kehilangan itu semakin berat.

Ada dua babak yang paling melekat di fikiran saya. Pertama, ketika menjelang hari perkahwinan Dewi, luka lama keluarga kembali terbuka apabila persoalan tentang ayah mereka dibangkitkan semula. Saat itu, wajah Ristiana yang memilih untuk terus memendam segala penderitaan jauh lebih menyakitkan daripada sebarang tangisan. Babak kedua pula ketika beliau bersendirian di rumah jagaan warga emas, membelek gambar-gambar lama sambil mengenang zaman anak-anak masih kecil. Tiada adegan yang berlebihan, namun kesunyian yang dipaparkan terasa begitu menghimpit sehingga membuatkan saya sendiri termenung panjang.

Runut bunyinya juga memainkan peranan besar dalam menghidupkan emosi. Lagu "Bunda" nyanyian Melly Goeslaw, karya baharu Rizky Febian untuk filem ini serta lagu-lagu daripada Mahalini dan Mitty Zasia hadir tepat pada waktunya. Mujur filem ini tidak terlalu bergantung kepada muzik semata-mata untuk memaksa penonton menangis. Walaupun ada beberapa bahagian yang terasa sedikit melodramatik kerana muzik latar dimainkan hampir setiap kali babak sedih muncul, kekuatan lakonan para pelakonnya masih mampu mengatasi kelemahan tersebut.

Saya juga mempunyai beberapa perkara yang sedikit mengganggu pengalaman menonton. Solekan prostetik untuk menggambarkan usia tua beberapa watak, khususnya Ristiana, kelihatan kurang meyakinkan dan sesekali menarik perhatian saya keluar daripada emosi cerita. Ada juga beberapa dialog yang terasa terlalu menjelaskan apa yang sedang dirasai oleh watak, sedangkan ekspresi wajah mereka sebenarnya sudah cukup kuat untuk menyampaikan maksud tersebut. Menjelang babak akhir pula, konflik yang membawa kepada keputusan menempatkan Ristiana di rumah jagaan warga emas terasa boleh dibina dengan lebih mendalam agar impaknya benar-benar memukul jiwa.

Namun, segala kekurangan itu tidak pernah memadamkan mesej yang ingin disampaikan. Jangan Buang Ibu tidak datang untuk menghukum anak-anak atau mencari siapa yang paling bersalah. Sebaliknya, filem ini mengajak kita melihat kedua-dua sisi; seorang ibu yang semakin dimamah usia dan anak-anak yang bergelut dengan tekanan hidup, kerjaya serta keluarga masing-masing. Justeru, persoalan yang dibangkitkan terasa jauh lebih manusiawi dan mudah dikaitkan dengan kehidupan kita sendiri.

Seperti biasa, saya tidak terus bangun meninggalkan tempat duduk usai filem. Yang bermain di fikiran bukan lagi tentang babak mana yang paling menyedihkan atau siapa yang paling cemerlang lakonannya. Sebaliknya, saya teringat kepada ibu sendiri. Bilakah kali terakhir saya benar-benar meluangkan masa bersamanya tanpa tergesa-gesa, ketika ibu masih hidup? Bilakah kali terakhir saya mendengar suara ibu? Mungkin itulah kemenangan sebenar Jangan Buang Ibu. Ia tidak memaksa kita menangis, tetapi membuat kita pulang dengan hati yang lebih lembut daripada saat melangkah masuk ke pawagam.

Dalam durasi 1 jam 59 minit, tayangan di pawagam Malaysia bermula tanggal 16 Julai 2026. Jangan Buang Ibu mengingatkan kita bahawa syurga bukanlah sesuatu yang perlu dicari jauh, kerana sejak dahulu lagi ia telah diletakkan di bawah telapak kaki seorang ibu. Andai masih ada kesempatan untuk memeluk, menghubungi atau pulang menjenguk ibu, jangan tunggu! Percayalah, selepas melangkah keluar dari pawagam, perkara pertama yang ingin anda lakukan bukanlah berbicara tentang filem ini, tetapi terus menghubungi insan yang selama ini tidak pernah jemu mendoakan kita.

Comments
* The email will not be published on the website.