Membuang Elemen Dewa, 'The Odyssey' Kisah Epik Seorang Lelaki Biasa Mengajak Kita Cari Jalan 'Pulang'

oleh: zizi hashim

Harapan boleh menjadi musuh kepada sebuah pengalaman. Semakin tinggi harapan, semakin besar ruang untuk kecewa. Justeru, saya melangkah masuk ke pawagam dengan hati yang sengaja saya kosongkan. Terlalu banyak ulasan yang bercampur-baur saya baca tentang The Odyssey. Ada yang mengangkatnya sebagai karya agung, ada juga yang menganggap ia terlalu perlahan dan sukar didekati. Saya memilih untuk tidak memihak kepada sesiapa. Saya hanya mahu duduk, memadamkan segala ekspektasi dan membiarkan filem itu bercerita sendiri.

Belum pun beberapa minit berlalu, saya sudah tenggelam sepenuhnya dalam dunia yang dibina oleh Christopher Nolan. Hampir tiga jam terasa seperti sekelip mata. Tiada keinginan untuk melihat telefon, mujur tiada rasa mahu ke tandas, tidak juga gelisah untuk menunggu klimaks cerita. Saya hanya mahu terus mengikuti setiap langkah Odysseus, seolah-olah saya sendiri sedang belayar bersamanya mencari jalan pulang yang entah bila akan berakhir. Saya kira ramai mungkin datang dengan bayangan bahawa The Odyssey akan menjadi sebuah filem perang laksana Troy. Saya sendiri hampir terjebak dalam jangkaan itu. Namun Nolan memilih jalan yang jauh lebih berani. Perang hanyalah permulaan. Pertarungan sebenar berlaku jauh di dalam diri seorang lelaki yang pulang daripada medan perang, tetapi tidak lagi mengenali dirinya sendiri.

Di situlah kekuatan terbesar filem ini. Odysseus bukan digambarkan sebagai pahlawan yang kebal atau legenda yang tidak pernah goyah. Dia seorang manusia yang memikul luka, penyesalan dan beban keputusan yang pernah dibuatnya. Perjalanan pulang ke Ithaca akhirnya terasa seperti perjalanan mencari semula jati diri yang hilang di tengah peperangan. Semakin jauh kapal itu belayar, semakin saya sedar bahawa kepulangan tidak pernah diukur melalui jarak, tetapi melalui keberanian menerima siapa diri kita setelah segalanya berubah.

Begitu cemerlangnya Matt Damon dalam memberikan antara persembahan terbaik sepanjang kariernya. Dia tidak perlu banyak meninggikan suara untuk menunjukkan kekuatan Odysseus. Riak wajahnya sudah cukup menceritakan keletihan seorang lelaki yang terlalu lama berperang. Mata yang merenung jauh ke ufuk laut, sarat dengan kerinduan, tubuh yang masih berdiri teguh meski jiwanya semakin rapuh, menjadikan setiap babak terasa begitu manusiawi. Di mata saya, dia seorang pemimpin yang bijaksana, tetapi tetap melakukan kesilapan. Saya tidak melihat seorang raja yang sedang mencari takhta, tetapi seorang suami, seorang ayah dan seorang lelaki yang terlalu merindui rumahnya.

Saya juga benar-benar menikmati persembahan Tom Holland sebagai Telemachus. Wataknya berkembang dengan begitu indah sebagai anak yang membesar tanpa mengenali ayahnya. Dia bukan sekadar menunggu kepulangan Odysseus, tetapi sedang mencari jawapan kepada persoalan tentang dirinya sendiri. Hubungan antara ayah dan anak itu berkembang perlahan-lahan sehingga babak penutup menjadi antara momen paling memuaskan yang pernah saya saksikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Anne Hathaway menghadirkan Penelope dengan kelembutan yang menyayat hati. Penantian panjangnya tidak diterjemahkan melalui tangisan berlebihan, sebaliknya melalui kesetiaan yang diam-diam mematahkan hati. Zendaya, Charlize Theron dan Lupita Nyong'o pula masing-masing membawa kekuatan tersendiri, membuktikan bahawa watak-watak wanita dalam filem ini tidak pernah sekadar menjadi pelengkap kepada perjalanan Odysseus.

Robert Pattinson menghidupkan Antinous sebagai sosok yang rakus, licik dan semakin berani kerana ketiadaan Odysseus. Di tangannya, watak itu tidak terasa seperti penjahat yang dibentuk secara satu dimensi. Dia membawa aura angkuh yang sukar diabaikan. Ada kecerdikan di sebalik kesombongannya, ada perhitungan di balik setiap provokasi. Dia memahami kelemahan Ithaca dan tahu bagaimana memanfaatkan kekosongan kuasa untuk kepentingannya sendiri. Justeru, setiap kali Antinous muncul, suasana filem seakan berubah menjadi lebih tegang. 

Sukar untuk saya melupakan beberapa babak yang benar-benar membuatkan satu panggung terasa sunyi. Kemunculan Cyclops Polyphemus antara pengalaman paling mendebarkan pernah saya rasakan. Nolan tidak bergantung kepada kejutan murah. Sebaliknya, dia membina ketegangan secara perlahan sehingga rasa takut itu menyelinap masuk tanpa disedari. Saya tidak menyangka seorang sutradara yang begitu sinonim dengan filem cereka sains mampu menghasilkan babak yang terasa hampir seperti filem seram psikologi.

Babak Sirens pula meninggalkan kesan yang sama sekali berbeza. Ia indah, mengasyikkan, namun pada masa yang sama menyimpan ancaman yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Nolan berjaya menjadikan elemen mitologi kelihatan begitu nyata tanpa pernah terasa keterlaluan. Dunia dewa, makhluk legenda dan manusia akhirnya bercantum menjadi satu alam yang meyakinkan. Seperti biasa, aspek teknikal dalam karya Nolan hampir mustahil untuk dipertikaikan. Kamera IMAX digunakan dengan begitu cermat sehingga setiap panorama terasa terlalu besar untuk dipandang sekali imbas. Kota, lautan, gunung dan binaan megah berdiri dengan skala yang benar-benar membuatkan manusia kelihatan begitu kecil di hadapan takdir yang sedang menunggu mereka.

Reka bentuk produksi juga begitu mengkagumkan. Set-set gergasi tidak pernah kelihatan seperti pentas kosong, sebaliknya benar-benar terasa bernyawa. Rumah-rumah yang dihuni watak-watak utama mempunyai jiwa, manakala kawasan yang belum diterokai kelihatan liar dan suci. Kostum, tata rias dan gaya rambut pula membantu penonton memahami perubahan masa melalui petunjuk visual yang cukup halus. Kemudian hadir pula muzik hasil sentuhan Ludwig Göransson, yang kalau menurut saya layak diberikan segala pujian. Skornya tidak pernah cuba mendominasi cerita, tetapi menjadi nafas yang menghidupkan setiap emosi. Dentuman guruh, bunyi ombak, hentakan pedang dan alunan muzik klasik bergabung menjadi satu lanskap bunyi yang membuatkan saya benar-benar merasakan setiap detik perjalanan Odysseus.

Saya turut mengkagumi cara Nolan menyusun naratif secara tidak linear. Cerita yang sebenarnya mudah menjadi jauh lebih menarik kerana disampaikan melalui kilas balik, dialog yang penuh makna dan perjalanan emosi yang perlahan tetapi sentiasa berkembang. Sedikit demi sedikit, cebisan kehidupan Odysseus disusun sehingga akhirnya membentuk gambaran lengkap tentang seorang lelaki yang sedang belajar memaafkan dirinya sendiri. Sudah tentu filem ini bukan tanpa cela. Ada beberapa dialog yang saya rasakan kedengaran terlalu moden untuk latar zamannya. Kemunculan Travis Scott juga sedikit mengganggu tumpuan saya kerana sukar untuk memisahkan imejnya daripada dunia muzik moden. Saya juga berharap John Bernthal diberikan ruang yang lebih besar, manakala sisi agresif watak Telemachus dapat diteroka dengan lebih mendalam. Namun semua itu hanyalah catatan kecil dalam sebuah karya yang begitu besar.

Apa yang paling saya hargai ialah keberanian Nolan mengekalkan roh asal karya Homer, sambil memberikan tafsiran baharu yang terasa sangat peribadi. The Odyssey tidak pernah menjadi kisah tentang peperangan semata-mata. Ia ialah cerita tentang kehilangan, godaan, kesetiaan, identiti dan harapan bahawa walau sejauh mana seseorang tersesat, rumah sentiasa menjadi tempat yang ingin dituju.

Saya bangun pagi masih memikirkan tentang filem ini. Sangat jarang sebuah naskhah mampu terus hidup dalam kepala sehingga esok hari. The Odyssey sukses melakukan itu. Saya tidak hanya menonton sebuah filem biasa, tetapi baru sahaja menyaksikan lahirnya sebuah karya yang akan terus dikenang selama bertahun-tahun. Apabila ada yang tanya apakah ini filem terbaik tahun ini, saya hanya senyum. Bagi saya, persoalan itu terasa terlalu kecil. The Odyssey ialah pengalaman indah mengapa saya mencintai layar perak, bukti bahawa sinema masih mampu membuat kita kagum, masih mampu membuat kita termenung, dan masih mampu membuat kita percaya bahawa masih ada cerita yang terlalu agung.

Luangkanlah masa kalau takut FOMO, pilih tayangan IMAX jika berpeluang, dan datanglah dengan hati yang terbuka. Jangan mengharapkan sebuah filem aksi yang tidak pernah berhenti meledak. Sebaliknya, bersedialah mengembara bersama seorang lelaki yang sedang mencari jalan pulang kepada keluarganya, kepada negaranya, dan akhirnya kepada dirinya sendiri. The Odyssey bukan filem yang selesai ketika kredit penutup muncul. Ia akan terus belayar dalam fikiran anda, lama selepas lampu pawagam kembali menyala. Setidaknya untuk saya. Tayangan bermula  16 Julai 2026 di pawagam seluruh Malaysia.

Saya percaya The Odyssey akan dikenang sebagai antara karya sinema paling penting dalam dekad ini, malah berpotensi berdiri sebaris dengan epik-epik agung sepanjang zaman. Bagi saya, inilah filem terbaik tahun ini, mungkin juga antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh Christopher Nolan. Sebuah mahakarya sinematik yang sekali lagi membuktikan mengapa Nolan masih kekal sebagai antara sutradara paling luar biasa dalam sejarah perfileman moden.

Comments
* The email will not be published on the website.