Ketika Doa Jadi Manipulasi Emosi, 'Obsession' Beri Amaran Hati-Hati Dengan Keinginan Sendiri

oleh: zizi hashim

Saya selalu ingatkan diri sendiri bahawa kata-kata itu adalah satu doa. Justeru saya sering berhati-hati dengan setiap perkataan, samada yang keluar dari mulut atau yang terlintas di pemikiran. Untuk sesetengah kes, permintaan yang lahir daripada keinginan cinta sering dianggap romantis. Namun Obsession mengingatkan saya bahawa cinta yang dipaksa sebenarnya jauh lebih mengerikan daripada sebarang sumpahan atau makhluk ghaib. Usai kredit penutup bergulir, saya masih duduk terpaku beberapa minit. Bukan kerana terkejut dengan pengakhiran cerita semata-mata, tetapi kerana kepala saya masih dipenuhi persoalan tentang batas antara kasih sayang, keinginan dan hak seseorang untuk memilih hidupnya sendiri.

Filem arahan sutradara muda Curry Barker ini benar-benar membuktikan bahawa thriller psikologi tidak memerlukan hantu, syaitan atau jumpscare bertalu-talu untuk membuat penonton ketakutan. Ketakutan paling besar datang daripada manusia sendiri apabila obsesi mula mengambil alih kewarasan. Berbekalkan bajet yang dianggarkan sekitar USD750,000, filem ini akhirnya mencipta fenomena luar biasa apabila berjaya meraih kutipan ratusan juta dolar di seluruh dunia. Kejayaan itu langsung tidak mengejutkan saya selepas menonton sendiri. Ia membuktikan sekali lagi bahawa idea yang kuat sentiasa mengatasi angka bajet yang besar.

Kisahnya mengikuti Baron atau Bear, seorang pemuda pemalu yang bekerja di kedai muzik dan menyimpan perasaan terhadap rakan sekerjanya, Nikki Freeman. Bear bukan lelaki jahat. Dia cuma terlalu sunyi, terlalu naif dan terlalu lama memendam perasaan sehingga sanggup mempercayai sebuah artifak mistik bernama One Wish Willow. Hanya satu permintaan diberikan. Bear memilih supaya Nikki mencintainya lebih daripada segala-galanya. Sejak saat itulah hidup mereka berubah menjadi mimpi ngeri.

Apa yang paling mengganggu saya ialah perubahan Nikki. Pada awalnya dia hanyalah gadis ceria yang menjalani kehidupan seperti biasa. Namun sedikit demi sedikit, cinta itu berubah menjadi ketagihan yang tidak mampu dikawal. Dia mula kehilangan identiti, hilang kebebasan dan akhirnya menjadi manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi Bear. Ironinya, semakin Nikki mencintai Bear, semakin saya dapat melihat bahawa jauh di sudut jiwanya, Nikki sedang menjerit meminta diselamatkan.

Lakonan Inde Navarrette benar-benar luar biasa. Perubahan ekspresi wajahnya daripada wanita yang bebas kepada individu yang terperangkap di dalam tubuh sendiri terasa sangat menyakitkan untuk ditonton. Ada ketika matanya kelihatan penuh kasih, namun beberapa saat kemudian berubah kosong seolah-olah dirinya sendiri sudah hilang. Saya rasa inilah antara persembahan terbaik dalam genre thriller tahun ini. Lebih menarik lagi, Obsession tidak pernah meletakkan Nikki sekadar sebagai "mangsa". Di sebalik tubuh yang dikawal oleh sumpahan, kita masih dapat melihat sisi manusia yang sedang bergelut mempertahankan dirinya sendiri.

Ada beberapa babak yang benar-benar membuat saya berasa simpati kerana kita dapat melihat jiwanya seolah-olah sedang menjerit meminta dibebaskan, sedangkan tubuhnya dipaksa melakukan sesuatu yang langsung bukan daripada kehendaknya. Konflik dalaman inilah yang menjadikan filem ini jauh lebih tragis daripada menakutkan. Satu perkara yang benar-benar saya hargai ialah keberanian Curry Barker mengangkat tema yang sebenarnya sangat dekat dengan realiti, meski dibungkus melalui elemen supernatural. Tanpa kuasa mistik sekalipun, obsesi terhadap seseorang memang mampu memusnahkan kehidupan.

Filem ini memberi peringatan bahawa cinta tidak pernah boleh dipaksa, kerana saat kebebasan dirampas, kasih sayang akan bertukar menjadi penyeksaan. Saya suka bagaimana mesej ini tidak disuapkan secara terus kepada penonton, tetapi dibiarkan berkembang perlahan melalui perubahan tingkah laku setiap watak. Dari sudut pengarahan, saya cukup kagum dengan keyakinan Barker mengawal tempo filem. Dia tidak terburu-buru mengejar kejutan demi kejutan. Ketegangan dibina sedikit demi sedikit sehingga penonton sendiri mula berasa lemas bersama Bear dan Nikki.

Ada babak yang berlangsung hanya dengan renungan mata dan bunyi latar yang perlahan, namun impaknya jauh lebih mengganggu daripada adegan berdarah yang sering menjadi formula filem seram moden. Michael Johnston berjaya menjadikan Bear seorang watak yang sukar dibenci walaupun semua tragedi berpunca daripada dirinya. Dia bukan antagonis tipikal. Dia hanyalah seorang lelaki muda yang membuat keputusan paling buruk dalam hidup kerana gagal memahami bahawa cinta tanpa kerelaan hanyalah satu bentuk penindasan.

Runut bunyi juga memainkan peranan yang sangat besar. Skor muziknya tidak cuba mendominasi setiap babak, sebaliknya muncul pada waktu yang tepat untuk menambahkan tekanan emosi. Digabungkan dengan sinematografi yang banyak menggunakan ruang sempit, pencahayaan malap dan komposisi kamera yang terasa menyesakkan, pengalaman menonton Obsession benar-benar membuatkan saya rasa seperti terperangkap bersama kedua-dua watak utama.

Cukup bijak membina ketegangan, tiada penggunaan CGI berlebihan. Tiada visual yang terlalu kompleks. Kamera yang sempit, pencahayaan yang muram, skor muzik yang sentiasa membuat dada terasa sesak serta penggunaan ruang yang begitu klaustrofobik sudah cukup membuat saya rasa tidak selesa hampir sepanjang 90 minit tayangan. Paling saya suka ialah bagaimana filem ini menggunakan elemen mistil sekadar sebagai pemangkin cerita. Hakikatnya, Obsession bukan kisah tentang sihir. Ia kisah tentang toxic male gaze, manipulasi emosi, kehilangan kebebasan dan rasa bersalah yang perlahan-lahan memakan jiwa manusia. Setiap tindakan Bear akhirnya menjadi penjara buat Nikki, sedangkan kedua-duanya sebenarnya sama-sama menjadi mangsa.

Pengakhirannya pula benar-benar membuat saya termenung. Ia bukan jenis penamat yang memberi kelegaan. Ia meninggalkan rasa pilu, marah dan bersalah dalam masa yang sama. Saya faham mengapa ramai mengatakan filem ini menghantui mereka lebih lama daripada kebanyakan filem seramObsession ialah bukti bahawa horor paling menakutkan kadangkala lahir daripada keinginan manusia sendiri. Mungkin sebab itulah filem ini menjadi fenomena luar biasa walaupun dihasilkan dengan bajet yang sangat kecil. Orang datang kerana rasa ingin tahu, tetapi keluar dari pawagam dengan sesuatu yang jauh lebih berat daripada sekadar rasa takut.

Saya sendiri masih memikirkan beberapa babaknya selepas tamat tayangan. Filem yang baik bukan hanya membuat kita terhibur, tetapi membuat kita terus mempersoalkan apa yang baru kita saksikan. Obsession berjaya melakukan kedua-duanya. Kalau anda sukakan thriller psikologi yang membuatkan fikiran terus bekerja walaupun tayangan sudah berakhir, Obsession memang wajib masuk dalam senarai wajib tonton. Percayalah, keluar sahaja dari pawagam nanti, mungkin anda akan lebih takut kepada obsesi manusia daripada segala makhluk yang selama ini kita panggil hantu. Obsession menghantui pawagam bermula sejak 25 Jun 2026 lagi, dan kalau anda FOMO cepat pergi tonton sekarang!

Comments
* The email will not be published on the website.