
oleh: zizi hashim
Hamparan langit malam sentiasa mengundang rasa ingin tahu. Sejak kecil, ramai antara kita pernah mendongak ke atas sambil tertanya-tanya, adakah kita benar-benar bersendirian di alam semesta ini? Steven Spielberg bagaikan memahami rasa ingin tahu itu lebih ariff daripada sesiapa yang lain. Menerusi Disclosure Day, beliau sekali lagi mengajak penonton memandang ke langit, namun kali ini dengan satu persoalan yang jauh lebih mengganggu fikiran. Bagaimana jika segala teori, dokumen rahsia dan kisah tentang makhluk asing yang selama ini dianggap konspirasi sebenarnya mempunyai secebis kebenaran?
Inilah antara pengalaman menonton yang paling mengasyikkan saya tahun ini. Spielberg tidak menghasilkan sebuah filem invasi makhluk asing yang dipenuhi letupan atau peperangan berskala gergasi seperti kebanyakan filem sains fiksyen moden. Sebaliknya, beliau membina sebuah thriller misteri yang perlahan tetapi mencengkam, membuatkan saya sentiasa ingin mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya.


Margaret Fairchild, lakonan hebat Emily Blunt, hanyalah seorang pembawa berita cuaca di Kansas City. Kehidupannya kelihatan biasa sehinggalah beberapa kejadian ganjil mula berlaku di sekelilingnya. Pada masa yang sama, Dr. Daniel Kellner (Josh O'Connor), pakar keselamatan siber yang bekerja untuk organisasi rahsia WARDEX, mula menyedari bahawa terlalu banyak maklumat penting telah disembunyikan daripada masyarakat. Penyiasatan mereka akhirnya membawa kepada Noah Scanlon (Colin Firth), individu berpengaruh yang berusaha memastikan segala rahsia tentang kehidupan luar bumi kekal terkunci rapat.
Mujurlah mereka dibantu oleh Hugo Wakefield (Colman Domingo), bekas anggota WARDEX yang memilih untuk menjadi pembocor maklumat demi mendedahkan kebenaran kepada dunia. Apa yang membuatkan Disclosure Day terasa begitu menarik ialah cara Spielberg mengendalikan misterinya. Beliau tidak terburu-buru memberikan jawapan. Sebaliknya, setiap jawapan melahirkan lebih banyak persoalan. Saya sendiri keluar dari pawagam dengan kepala yang masih dipenuhi pelbagai teori, malah secara spontan terasa ingin mencari semula pelbagai kisah mengenai UFO, dokumen rahsia dan fenomena yang selama ini dianggap mitos selama ini.


Tempo filem ini memang cenderung slow burn, terutama pada babak awal. Namun itulah kekuatannya. Spielberg memberi ruang kepada penonton untuk mengenali watak-wataknya terlebih dahulu sebelum membawa mereka memasuki dunia yang semakin rumit. Apabila memasuki babak kedua dan ketiga, intensitinya meningkat tanpa henti sehingga hampir dua setengah jam terasa berlalu begitu pantas. Apa yang saya paling kagumi ialah filem ini sebenarnya tidak terlalu berminat untuk membuktikan sama ada alien itu benar-benar wujud atau sebaliknya. Yang lebih penting ialah bagaimana manusia bertindak apabila sesuatu yang selama ini dipercayai mula dipersoalkan.
Sejauh mana kerajaan berhak menyimpan rahsia? Adakah masyarakat benar-benar bersedia menerima sebuah hakikat baharu? Persoalan-persoalan inilah yang menjadikan Disclosure Day terasa begitu dekat dengan realiti dunia hari ini. Steven Spielberg sekali lagi membuktikan mengapa beliau masih dianggap antara pengarah terbaik sepanjang zaman. Pengarahannya begitu matang dan yakin. Beberapa long take serta one-shot sequence yang menjadi identitinya dipersembahkan dengan cukup elegan, membuatkan setiap babak terasa hidup tanpa perlu bergantung kepada suntingan yang terlalu pantas.


Visual filem ini pula benar-benar memukau. Efek khas digunakan secara terkawal tanpa pernah menenggelamkan emosi cerita. Cahaya misteri di langit malam, landskap luas Kansas, bilik-bilik operasi WARDEX dan pelbagai fenomena yang dipaparkan semuanya mempunyai skala sinematik yang besar tetapi masih terasa meyakinkan. Colour grading bernada kebiruan dan kelabu pula berjaya menguatkan suasana penuh misteri dan paranoia sepanjang filem. Sinematografinya juga sangat mengkagumkan. Setiap bingkai terasa seperti sebuah lukisan yang mempunyai makna tersendiri.
Kamera bergerak tenang ketika membina emosi, kemudian berubah lebih dinamik sewaktu adegan kejar-mengejar dan aksi, menjadikan pengalaman menonton semakin mendebarkan. Sudah tentu, mustahil untuk bercakap tentang filem Spielberg tanpa menyebut nama John Williams. Walaupun sudah puluhan tahun mencipta karya agung, beliau masih mampu menghasilkan runut bunyi yang membangkitkan rasa kagum, cemas dan penuh harapan. Muziknya menjadi nadi emosi filem ini. Ada ketika ia begitu lembut sehingga membuat saya termenung, dan ada masanya ia mengangkat setiap babak ke tahap yang jauh lebih epik.


Namun, kekuatan terbesar Disclosure Day tetap terletak di bahu Emily Blunt. Beliau memberikan antara persembahan terbaik dalam kerjayanya. Margaret bukan seorang wira aksi, bukan juga saintis genius. Dia hanyalah seorang wanita biasa yang tiba-tiba dipaksa berhadapan dengan sesuatu yang jauh lebih besar daripada dirinya. Emily Blunt berjaya menampilkan sisi rapuh, takut, berani dan penuh rasa ingin tahu dalam kadar yang begitu seimbang. Setiap ekspresi wajahnya membuatkan saya benar-benar percaya bahawa semua yang berlaku di hadapannya adalah nyata.
Josh O'Connor, Colin Firth dan Colman Domingo turut memberikan persembahan yang cukup mantap. Kemistri antara mereka menjadikan konflik konspirasi yang dibina terasa hidup dan meyakinkan. Walaupun saya menikmati hampir keseluruhan filem ini, saya akui beberapa persoalan pada penghujung cerita sengaja dibiarkan terbuka. Ada penonton mungkin berasa sedikit kecewa kerana mengharapkan jawapan yang lebih jelas. Namun bagi saya, Spielberg sengaja mahu meninggalkan ruang untuk kita terus berfikir selepas keluar dari pawagam. Kadangkala misteri yang tidak terjawab jauh lebih menarik daripada sebuah penjelasan yang lengkap.
Disclosure Day mengingatkan saya mengapa Steven Spielberg masih berada di kelasnya yang tersendiri. Beliau tidak sekadar menghasilkan filem tentang makhluk asing. Beliau menghasilkan filem tentang manusia, rasa ingin tahu, ketakutan dan keberanian menghadapi sesuatu yang tidak mampu dijelaskan oleh logik. Saya melangkah keluar dari pawagam dengan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Dan anehnya, saya sangat menyukai perasaan itu.
Mulai menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 11 Jun 2026. Jika anda menggemari filem fiksyen sains yang mengutamakan misteri, konspirasi, emosi dan idea-idea besar berbanding aksi semata-mata, jangan lepaskan peluang menyaksikannya di layar terbesar yang anda mampu. Percayalah, pengalaman visual, sinematografi dan runut bunyi John Williams paling sempurna dinikmati di pawagam.