
oleh: zizi hashim
Tersentak saya dibuatnya sejak dari detik pertama, They Will Kill You ibarat sebuah amukan sinematik yang tidak pernah meminta izin untuk menjadi waras. Bagai ditarik masuk ke dalam kekacauan yang tidak memberi ruang untuk berfikir, They Will Kill You membuka langkah dengan satu tenaga yang nyaris ganas. Filem ini tidak datang perlahan-lahan, ia terus menghentam keras, seolah-olah mahu penonton faham sejak awal bahawa perjalanan ini akan kasar, berdarah, dan tiada kompromi.
Tanpa basa basi, saya langsung tercampak di tengah-tengah suasana yang aneh, kabur, dan sedikit mengganggu. Realiti yang dipaparkan sengaja dibiarkan samar agar rasa tidak selesa itu terus melekat. Dipacu oleh aura karisma melimpah-ruah si Zazie Beetz, yang sebelum ini dikenali menerusi Deadpool 2, naskhah ini menempatkan dirinya di sebuah wilayah yang berani menggabungkan aksi ganas dengan seram mistik dalam satu naratif yang sengaja dibiarkan liar. Wataknya sebagai Asia Reaves, seorang pembantu rumah yang menerima pekerjaan di sebuah bangunan mewah 'Virgil' di New York, yang menyimpan sejarah kehilangan misteri, menjadi pintu masuk kepada dunia yang semakin lama semakin mengerikan.


Permulaan filem ini sangat membangkit teruja. Tajam, sinis, dan penuh janji. Atmosfera awalnya seperti bisikan gelap yang membayangkan sesuatu yang lebih besar sedang menunggu. Dari situ, cerita berkembang menjadi satu rangkaian peristiwa aneh. Hilang tanpa jejak, komuniti misteri, dan aura ritual yang semakin menekan. Dua beradik melarikan diri dalam dunia yang tidak jelas batasnya, seakan-akan distopia yang tidak pernah diterangkan sepenuhnya. Ambiguiti ini sebenarnya menjadi kekuatan awal, membiarkan penonton tertanya-tanya sama ada ancaman yang memburu mereka bersifat peribadi atau sistemik.
Dari situ, filem ini mula membina dunia yang terasa seperti gabungan pengaruh: lorong hujan yang mengingatkan kepada estetika Suspiria, gangguan malam yang menyerupai Rosemary’s Baby, serta perubahan tona yang tiba-tiba seolah-olah mencadangkan realiti yang tidak sepenuhnya nyata. Segalanya terasa seperti potongan-potongan inspirasi yang dijahit menjadi satu pengalaman yang unik meski adakalanya terasa terlalu sarat. Namun sebaik sahaja aksi bermula, segalanya berubah drastik. Perbandingan dengan dunia John Wick bukanlah kebetulan. Intensiti aksinya benar-benar memukul tanpa henti. Koreografi pertarungan yang pantas, dan brutal tidak memberi ruang untuk bernafas.


Sentuhan pengarahan sutradara Kirill Sokolov juga terpampang jelas tanpa kompromi. Kekerasan yang dipaparkan bukan sekadar brutal, ia hampir berlebihan. Darah mengalir seperti pesta visual, adegan pembunuhan disusun dengan kreativiti yang pelik tetapi mengkagumkan. Ada detik yang terasa seperti “pesta darah dari awal hingga akhir”: liar, berani, dan sedikit tidak masuk akal. Zazie Beetz sendiri tampil sebagai kekuatan utama filem ini.
Watak Asia berkembang daripada figura yang tampak biasa menjadi sosok yang penuh ketahanan dan keberanian. Dia bukan sekadar bertahan; dia melawan. Koreografi aksi yang dibawanya terasa meyakinkan, malah ada babak ikonik melibatkan kapak api yang benar-benar meninggalkan kesan visual yang kuat. Namun, kelebihan terbesar filem ini juga menjadi kelemahan utamanya. Energi yang pada awalnya terasa segar dan mengujakan, perlahan-lahan menjadi repetitif. Muzik yang menghentak tanpa henti, aksi yang tidak pernah berhenti, dan rentak yang terlalu laju akhirnya kehilangan momentum.


Apa yang bermula sebagai pengalaman penuh adrenalin, berubah menjadi keletihan yang menyerap perlahan. Struktur cerita pula tidak berkembang seperti yang diharapkan. Idea tentang ritual gelap, kelas sosial, dan misteri kehilangan sebenarnya mempunyai potensi besar, namun tidak digarap dengan kedalaman yang mencukupi.
They Will Kill You lebih selesa bermain dengan gaya berbanding isi, menjadikan naratif terasa seperti latar kepada aksi, bukan tulang belakang kepada cerita. Beberapa elemen lain juga terasa familiar. Rekaan kostum dan karakter kelas atasan mengingatkan kepada dunia The Hunger Games, menambah lagi rasa bahawa filem ini adalah kolaj pelbagai pengaruh.
Meski begitu, ia tetap sebuah pengalaman yang menghiburkan terutamanya bagi mereka yang menikmati aksi-seram yang tidak perlu diambil terlalu serius. Ada humor gelap yang menyelinap, ada momen gila yang pelik tetapi menyeronokkan, dan ada keberanian untuk menjadi berlebihan tanpa rasa malu.


Apapun, Zazie Beetz tetap menjadi kekuatan utama. Dia tampil dengan aura yang sukar ditandingi. Anggun tetapi berbahaya, tenang tetapi penuh letupan emosi. Setiap pergerakan terasa terkawal, setiap aksi terasa meyakinkan. Tidak keterlaluan jika dikatakan dia adalah nadi yang memastikan filem ini terus berdenyut walaupun naratifnya goyah.
Dari segi estetika, pengaruh filem seperti Kill Bill dan gaya Quentin Tarantino jelas terasa. Penggunaan muzik, pengenalan watak, dan visual yang berani semuanya mencerminkan inspirasi tersebut. Ada juga sentuhan tidak logik yang mengingatkan kepada dunia eksperimental: aneh, tidak stabil, tetapi tetap menarik untuk diikuti.
Kalau menurut saya, They Will Kill You adalah pengalaman yang pelik tetapi menghiburkan. Ia bukan filem untuk semua orang, terutama bagi mereka yang tidak selesa dengan kekerasan ekstrem atau humor gelap. Namun bagi peminat aksi-seram yang mahu sesuatu yang berbeza, ini adalah perjalanan yang penuh adrenalin.
Bermula 26 Mac 2026 di pawagam seluruh Malaysia, filem berdurasi 1 jam 34 minit ini menjanjikan perjalanan yang tidak akan memberi ruang untuk bernafas. Dipacu oleh aksi tanpa henti, elemen seram ritual gelap dan lakonan memukau Zazie Beetz. Kalau anda pencinta filem yang berani, suka sesuatu yang sedikit “gila” dan tidak mengikut aturan biasa, inilah filem yang wajib ditonton di layar besar. Masuk panggung, bersedia untuk kekacauan… dan biarkan They Will Kill You menghentam deria tanpa ampun!