Seperempat abad mungkin cukup lama untuk mengubah banyak perkara. Wajah boleh berubah, zaman silih berganti dan cita rasa muzik terus berkembang. Namun ada melodi yang tetap menemukan jalannya pulang ke hati, seolah-olah masa tidak pernah benar-benar berlalu. Begitulah kisah Westlife.
Selepas 25 tahun mencipta memori bersama jutaan peminat di seluruh dunia, kumpulan pop sensasi dari Ireland itu kembali meraikan perjalanan panjang mereka menerusi Westlife 25: The Anniversary World Tour dan Kuala Lumpur diberikan penghormatan sebagai destinasi pertama bagi jelajah Asia Tenggara 2027.

Konsert yang dibawakan oleh Live Nation Malaysia itu akan berlangsung pada 14 Januari 2027 di Unifi Arena, sebelum Westlife meneruskan perjalanan ke Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Hong Kong sepanjang Januari tahun hadapan. Bagi peminat tempatan, pemilihan Kuala Lumpur sebagai pembuka tirai jelajah serantau membawa makna tersendiri. Ia bukan sekadar satu lagi hentian konsert, tetapi menjadi titik mula kepada sambutan ulang tahun yang meraikan salah satu kumpulan pop paling berjaya dalam sejarah muzik moden.
Sepanjang malam itu nanti, Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily dijangka membawa peminat mengimbau perjalanan luar biasa mereka menerusi rangkaian lagu yang membentuk pelbagai generasi. Daripada Flying Without Wings, Uptown Girl dan You Raise Me Up, sehinggalah karya-karya baharu yang menandakan permulaan bab seterusnya, konsert ini dijanjikan sebagai sebuah perjalanan yang menyatukan nostalgia dan masa depan dalam satu pentas.


Sambutan ulang tahun ke-25 itu turut diserikan dengan kemunculan album 25 – The Ultimate Collection, sebuah koleksi yang menghimpunkan 21 lagu paling ikonik Westlife bersama beberapa karya baharu yang dirakam oleh keempat-empat anggota kumpulan. Antara yang mencuri perhatian ialah Your Love Amazes Me, balada emosional yang diterbitkan oleh Jamie Scott, Daniel Bryer dan Martin Hannah. Lagu itu hadir dengan lirik yang menyentuh tentang cinta, harapan dan makna kehidupan: elemen yang sejak dahulu menjadi identiti muzik Westlife.
Turut dimuatkan ialah Chariot, sebuah lagu baharu hasil ciptaan Ed Sheeran, Johnny McDaid dan Will Reynolds, selain diterbitkan bersama Steve Mac. Lagu tersebut membawa mesej mengenai kasih sayang, keluarga dan detik-detik yang benar-benar memberi makna dalam kehidupan. Bagi Westlife sendiri, jelajah ini bukan sekadar meraikan angka 25. Menurut mereka, sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat menjadi sebab utama perjalanan itu masih mampu diteruskan sehingga hari ini.

"Tahun ini menandakan 25 tahun sejak kami memulakan perjalanan luar biasa ini dan ia masih terasa seperti baru bermula. Sokongan daripada peminat sangat luar biasa. Kami tidak sabar bertemu semua di atas pentas dan berkongsi babak baharu ini bersama-sama," kata mereka. Rekod yang dimiliki Westlife juga menjelaskan mengapa nama mereka terus relevan selepas lebih dua dekad.
Muzik mereka telah distrim lebih tiga bilion kali di seluruh dunia, menghasilkan 36 album nombor satu, 14 single nombor satu di United Kingdom, menjual lebih 55 juta album, melepasi satu bilion tontonan di YouTube, selain menjual lebih enam juta tiket konsert di seluruh dunia. Sejak kembali bersatu pada 2019, Westlife telah mengadakan lebih 200 persembahan di 30 negara, manakala Wild Dreams Tour sahaja berjaya menjual lebih 1.2 juta tiket. Mereka juga kekal sebagai kumpulan album paling laris di United Kingdom dan Ireland bagi abad ke-21.

Bagi peminat yang mahu mendapatkan tiket lebih awal, pemegang kad Mastercard akan menikmati akses prajualan bermula 20 Julai, diikuti Live Nation Presale pada 21 Julai, manakala jualan umum dibuka pada 22 Julai 2026 menerusi golive-asia.com.
Dua puluh lima tahun lalu, empat anak muda dari Ireland hadir dengan lagu-lagu yang menjadi teman kepada kisah cinta, kehilangan dan harapan ramai orang. Hari ini, mereka kembali bukan sekadar membawa kenangan. Mereka membawa bukti bahawa lagu yang lahir dengan hati akan sentiasa menemukan jalan pulang kepada mereka yang pernah menyimpannya dalam ingatan.
