oleh: zizi hashim
07 Jul
07Jul

Mencipta kenangan pada setiap fasa kehidupan pendengarnya daripada detik pertama mengenal cinta, persahabatan, kehilangan hinggalah kepada perjalanan mencari diri sendiri, karya-karya mereka seakan menjadi latar bunyi kepada kehidupan ramai orang. Itulah hubungan yang telah dibina oleh Khalid, penyanyi dan penulis lagu yang selama hampir sedekad mewarnai dunia muzik global dengan suara yang lembut, lirik yang jujur dan melodi yang sukar dilupakan.

Kini, penyanyi multi-platinum dan pemenang pelbagai anugerah itu bakal kembali menemui peminat Malaysia menerusi It's Always Summer Somewhere Tour, yang akan berlangsung di Idea Live Arena pada 9 Disember 2026. Kepulangan ini bukan sekadar satu lagi konsert dalam kalendar jelajah antarabangsa, sebaliknya membawa bersama sebuah babak baharu dalam perjalanan seni Khalid yang semakin matang dan berani meneroka dimensi muzik yang lebih luas.

Konsert di Kuala Lumpur hadir selepas kejayaan luar biasa siri jelajah Amerika Utara yang menyaksikan 23 lokasi habis terjual, sekaligus membuktikan pengaruh Khalid masih utuh sebagai antara figura paling berpengaruh dalam landskap muzik R&B dan pop moden. Malaysia menjadi antara destinasi penting dalam jelajah Asia yang dijangka menghimpunkan ribuan peminat yang telah lama menantikan kepulangannya.

Malam penuh magis itu bakal membawa penonton menyusuri keseluruhan perjalanan kerjaya Khalid menerusi himpunan lagu yang telah membentuk namanya di pentas dunia. Daripada Location, Young Dumb & Broke, Better, Talk, Love Lies dan Eastside, hinggalah kepada karya-karya baharu daripada album terkininya, setiap lagu dijangka menjadi penghubung kepada pelbagai memori yang pernah menemani peminat sepanjang perjalanan hidup mereka. Kemunculan Khalid dalam industri muzik sendiri bagaikan sebuah kisah luar biasa.

Tidak lama sebelum menamatkan persekolahan, beliau memperkenalkan Location, sebuah lagu yang kemudiannya menerima pensijilan Diamond daripada RIAA dan mengubah kehidupannya dalam sekelip mata. Kejayaan itu membuka jalan kepada album sulung American Teen, yang mencatat status 4x Platinum dan memperkenalkan Khalid sebagai suara baharu yang mewakili generasi muda dengan penuh kejujuran.

Perjalanan tersebut diteruskan menerusi album Free Spirit, yang bukan sahaja menduduki tangga pertama carta Billboard 200, malah menerima pujian meluas daripada pengkritik termasuk The New York Times dan Associated Press. Lagu Talk pula melonjak sebagai antara karya paling berjaya dalam kariernya apabila menerima pencalonan GRAMMY, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah seorang artis paling penting dalam muzik pop dan R&B kontemporari.

Sepanjang kerjayanya, Khalid telah mengumpulkan lebih 35.6 bilion penstriman di seluruh dunia, menerima tujuh pencalonan GRAMMY, memenangi enam Billboard Music Awards, empat American Music Awards, dua iHeartRadio Music Awards, sebuah MTV Video Music Award serta pelbagai pengiktirafan lain. Namanya juga pernah disenaraikan dalam TIME's Most Influential People 2019, selain menerima Champion Award di BMI Pop Awards atas sumbangannya kepada industri muzik. Keupayaannya merentas pelbagai genre turut membuka ruang kepada kolaborasi bersama nama-nama besar dunia seperti Billie Eilish, Halsey, Normani, Marshmello, Benny Blanco, Ed Sheeran dan Alicia Keys. Lagu seperti Love Lies, Eastside, Silence, Numb dan Save My Love membuktikan Khalid sentiasa berjaya menyesuaikan identitinya tanpa kehilangan sentuhan emosi yang menjadi kekuatan utama muziknya. 

Jelajah kali ini diinspirasikan oleh album terbaharu After The Sun Goes Down, yang diterbitkan pada Oktober 2025. Mengandungi 17 buah lagu, album tersebut memperlihatkan evolusi Khalid menerusi gabungan R&B moden, electro-pop dan sentuhan synth era 1980-an. Karya itu menerima pujian kerana bunyinya yang segar, autentik dan lebih berani, selain melahirkan lagu hit seperti In Plain Sight dan Nah, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kreatifnya. Apa yang menjadikan persembahan ini lebih istimewa ialah pengalaman imersif yang dijanjikan. Khalid terkenal dengan keupayaannya mewujudkan suasana intim walaupun beraksi di hadapan ribuan penonton. Setiap lagu disampaikan dengan penuh emosi, membolehkan penonton benar-benar menyelami kisah di sebalik setiap lirik yang didendangkan.

Bagi peminat Malaysia, konsert ini bukan sekadar peluang menyaksikan seorang bintang antarabangsa secara langsung.Ia adalah kesempatan untuk mengimbau perjalanan muzik yang telah menemani kehidupan ramai sejak zaman remaja, sebelum bersama-sama meraikan evolusi seorang artis yang terus berkembang tanpa kehilangan identitinya. Artist Presale akan berlangsung pada 13 Julai, diikuti Mastercard Presale dari 14 hingga 15 Julai, Live Nation Presale pada 15 Julai, manakala jualan umum dibuka mulai 16 Julai 2026.

Dengan sambutan luar biasa di Amerika Utara, peminat tempatan disaran mendapatkan tiket lebih awal agar tidak terlepas peluang menjadi sebahagian daripada malam yang dijangka penuh dengan nostalgia, emosi dan muzik yang akan terus bergema lama selepas tirai persembahan ditutup. 

Comments
* The email will not be published on the website.