Setiap cinta menyimpan rahsia yang tak terucap. Ada kasih yang tumbuh menjadi cahaya, dan ada pula yang perlahan membakar jiwanya sendiri. Toksik Cinta, karya asli Tonton Original Series, membuka tabir sisi gelap hubungan yang sering terselindung di sebalik senyuman dan janji manis.
Di bawah arahan Pali Yahya dengan naskhah tulisan Erma Fatima, drama ini menelusuri garis halus antara cinta dan obsesi, antara ingin memiliki dan takut kehilangan. Ia bukan kisah percintaan biasa, tetapi perjalanan batin yang menyingkap luka manusia ketika cinta berubah menjadi racun yang diam-diam membunuh perlahan.
Erma Fatima, nama yang sinonim dengan karya beremosi dan refleksi jiwa wanita, kembali dengan keberanian baharu menyelami ruang paling gelap dalam psikologi cinta. “Saya ingin menulis tentang cinta yang tidak sempurna,” kata Erma dalam nada renung. “Kerana di situ terletak kemanusiaan kita, pada kecacatan, pada keinginan untuk disayangi meski dalam luka.”


Toksik Cinta menampilkan Riena Diana sebagai Karmila, seorang pempengaruh dan pelakon muda yang terperangkap dalam pusaran cinta dengan Alfi (lakonan Aqasha), seorang pengarah filem ternama. Apa yang bermula sebagai kisah bahagia berubah menjadi pertempuran emosi dan maruah apabila Karmila memfailkan penceraian, mendakwa dirinya didera. Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (lakonan Keith Foo), Karmila membawa kisahnya ke mahkamah di mana kebenaran dan persepsi mula berbaur, dan kasih bertukar menjadi senjata.
Riena menghidupkan watak Karmila dengan kedalaman yang menggetarkan. “Saya cuba memahami dari mana datangnya luka Karmila,” ujarnya. “Dia bukan wanita yang lemah, tetapi jiwa yang retak kerana cinta yang salah arah.” Dalam watak itu, penonton akan melihat keberanian seorang wanita yang belajar mencintai dirinya semula setelah kehilangan segalanya.


Turut memperkukuh naskhah ini ialah Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel, dan Izzue Islam, membentuk lanskap emosi yang sarat dengan konflik dan rahsia tersembunyi. Setiap karektor membawa cerminan sisi manusia, kadang mangsa, kadang pemangsa dalam dunia yang dipenuhi manipulasi dan kepura-puraan.
Lebih daripada sekadar kisah cinta retak, Toksik Cinta ialah refleksi sosial tentang bagaimana ego dan keinginan untuk memiliki boleh menjerat seseorang ke dalam jurang kehancuran. Ia bertanya dengan halus: bila cinta mulai menyakitkan, adakah ia masih cinta?
Siri 30 episod ini membawa penonton menyelam ke dalam labirin perasaan, di mana keindahan dan kegelapan berdansa dalam harmoni yang berbahaya. Ia mengajak kita memahami bahawa cinta sejati bukanlah tentang memiliki, tetapi tentang melepaskan tanpa dendam.

Bagi yang ingin menyaksikan kejujuran dan tragedi cinta dalam bentuk paling raw, Toksik Cinta hadir eksklusif di Tonton mulai 27 Oktober 2025. Langgan TontonUp selama tiga bulan dan nikmati ganjaran istimewa melalui Tonton Rewards, termasuk baucar Pizza Hut RM20 dan Baskin-Robbins RM10, kerana kadang-kadang, yang manis perlu dinikmati setelah pahitnya sebuah kisah.