oleh: zizi hashim
13 Mar
13Mar

Semarak Aidilfitri tahun ini menemukan wajah yang lebih berwarna apabila TV Sarawak (TVS) mempersembahkan rangkaian program istimewa menerusi kempen “Pesta Raya TVS”, sebuah himpunan kandungan khas yang dirangka untuk menemani penonton dari Ramadan hingga ke Syawal. Kemeriahan itu bukan hanya terletak pada hiburan semata-mata, tetapi juga pada kisah-kisah yang dekat dengan jiwa masyarakat: tentang keluarga, kebersamaan, kenangan pulang, dan rasa syukur yang selalu menemukan maknanya setiap kali lebaran tiba.

Kempen ini diumumkan melalui satu sidang media khas yang memperlihatkan kesungguhan TVS dalam menyajikan pelbagai bentuk kandungan, daripada rancangan hiburan berskala besar, lagu raya baharu, filem pendek bertemakan keluarga, program gaya hidup hinggalah kepada tayangan filem-filem pilihan yang sesuai ditonton bersama seisi rumah. Keseluruhan susunan ini menjadikan “Pesta Raya TVS” sebagai sebuah landskap perayaan yang lengkap, hidup dan penuh nuansa.

Salah satu program utama yang terus mengangkat roh kempen ini ialah Inspirasi Duniamu, sebuah rancangan majalah televisyen yang menelusuri kisah komuniti, inspirasi dan cerita masyarakat dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia serta luar negara. Program ini tampil sebagai jendela yang membuka ruang kepada penonton untuk mengenali kehidupan orang lain dengan lebih dekat, melalui gabungan temu bual eksklusif, laporan lapangan serta naratif visual yang mengangkat isu semasa, sukan, hiburan dan kisah inspirasi masyarakat. Episod khas pra-Raya akan disiarkan pada 18 Mac 2026 jam 10 malam, membawa pelbagai pengisian istimewa yang menyemarakkan suasana menjelang Aidilfitri.

Keghairahan Syawal pula diteruskan melalui program hiburan utama “Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching”, sebuah rancangan rumah terbuka Aidilfitri yang diracik dengan muzik, gelak tawa dan interaksi santai bersama barisan selebriti. Program ini dihoskan oleh Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira, dua figura yang cukup sinonim dengan aura ceria dan spontan. Barisan artis yang menjayakannya turut memberi warna yang besar, antaranya Aina Abdul, Mimifly, Bob Yusof, Marsha Milan, Liza Aziz, Khai Bahar, Sharifah Zarina, Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip. Turut memeriahkan suasana ialah kehadiran tokoh hiburan seperti Datuk Ramli M.S, Datuk Jalaluddin Hassan, Roy Azman, Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora. Program ini akan bersiaran pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua, jam 9 malam, menghubungkan kemeriahan Kuala Lumpur dan Kuching dalam satu garis rasa yang sama, jauh berbeza lokasi, namun tetap bertaut dalam semangat kebersamaan.

Sebagai tambahan kepada kemeriahan itu, TVS turut melancarkan lagu raya baharu berjudul “Raya Paling Epik”, sebuah karya pop ceria yang menampilkan Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip. Lagu ini hadir dengan irama yang rancak serta lirik yang dekat dengan jiwa generasi muda, sambil membawa mesej perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri. Video muziknya telah dilancarkan pada 27 Februari 2026 dan kini tersedia di seluruh platform media sosial rasmi TVS, menjadikannya salah satu nadi utama kempen musim raya tahun ini.

Rasa hangat perayaan itu kemudian diperkukuh lagi melalui filem pendek “Gambar Raya Paling Epik”, yang mengisahkan seorang remaja bernama Saiful yang berusaha merakam gambar raya terbaik untuk menyertai pertandingan fotografi. Namun di sebalik keghairahan mengejar pencapaian itu, dia akhirnya memahami bahawa kebahagiaan yang sesungguhnya lahir daripada momen-momen kecil yang dikongsi bersama keluarga. Filem pendek ini menampilkan Atiq Azman dan Datuk Fauziah Nawi, dua nama yang cukup berupaya menghidupkan kehalusan emosi dalam cerita kekeluargaan. Ia akan ditayangkan pada malam Hari Raya Aidilfitri jam 9 malam di TVS.

Seiring dengan tayangan filem pendek tersebut, TVS juga menganjurkan Peraduan Gambar Raya Paling Epik 2026 bagi mengajak penonton turut sama menjadi sebahagian daripada kempen ini. Orang ramai hanya perlu memuat naik gambar raya paling kreatif mereka di media sosial menggunakan lagu “Raya Paling Epik” sebagai latar muzik, serta menyertakan tanda pagar #GambarRayaPalingEpik, #RayaPalingEpik dan #TVS122. Peraduan ini berlangsung dari 15 hingga 29 Mac 2026, dengan hadiah wang tunai sehingga RM800 menanti pemenang utama. Inisiatif ini menjadikan sambutan Aidilfitri bukan hanya dinikmati melalui kaca televisyen, tetapi turut dirayakan secara interaktif oleh penonton sendiri.

Bagi penonton yang menggemari dunia fesyen dan kecantikan, TVS mempersembahkan “Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri”, sebuah program khas yang dihoskan oleh Siti Zawawi. Program ini mengajak penonton menyelami inspirasi gaya sempena Syawal melalui perkongsian tentang fesyen, kecantikan serta tradisi Hari Raya. Turut hadir sebagai selebriti jemputan ialah Mimifly, Liza Aziz dan Nabila Huda, yang berkongsi kenangan serta pengalaman peribadi mereka tentang sambutan Aidilfitri dalam suasana santai dan penuh inspirasi. Episod istimewa ini akan disiarkan pada 25 Mac 2026 jam 8.30 malam.

Sementara itu, program bual santai “3 Mak Dara” kembali untuk musim kedua dengan menampilkan Raja Azura, Sharifah Shahora dan Rita Rudaini sebagai hos utama. Musim baharu ini akan membicarakan pelbagai topik tentang kehidupan, keluarga dan pengalaman wanita dari pelbagai latar belakang, dengan gaya yang santai, jujur dan menghiburkan. Rancangan ini akan mula bersiaran pada 1 April 2026, setiap Rabu jam 8.30 malam.

Bagi melengkapkan suasana perayaan, TVS turut menyusun pelbagai tayangan filem istimewa sempena Hari Raya 2026. Antara filem yang bakal disiarkan ialah Senario The Movie Ops Pocot, Senario Asam Garam, Rompak Raya, Demi Raya, Perfect Raya, Raya Sebagai Isteri, Kurung Kerawang Untuk Adik, Takbir Semalam dan Musafir Ke?. Semua filem ini akan menemui penonton setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 8.30 malam, memberikan pilihan hiburan yang pelbagai untuk keluarga sepanjang musim perayaan.

Sebagai penutup kepada keseluruhan rangkaian program ini, TVS turut membawakan rancangan khas “Dialog TVS: Perayaan & Perpaduan – Tradisi Menyatukan Malaysia”, yang akan membincangkan bagaimana sambutan perayaan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Program ini dijadualkan bersiaran pada 26 Mac 2026 jam 10 malam, dan menjadi satu ruang renungan yang penting di tengah kemeriahan Syawal.

Keseluruhan susunan “Pesta Raya TVS” memperlihatkan sebuah usaha yang teliti untuk membawa perayaan lebih dekat ke hati penonton. TVS bukan hanya menyiarkan program, tetapi membentuk pengalaman musim raya yang penuh warna, rasa dan makna. Dari hiburan pentas hingga cerita keluarga, dari gaya hidup hingga perbualan tentang perpaduan, semuanya disulam dalam satu semangat yang sama, semangat menyatukan manusia melalui layar yang hidup dan cerita yang jujur.

Comments
* The email will not be published on the website.