oleh: zizi hashim
16 Nov
16Nov

Seperti gema jauh dari lorong masa, Penghukum: Nusantara Assassin membuka tirai dengan aura yang segera memerangkap perhatian. Malam gala di TGV KLCC pada tanggal 13 November 2025 menghimpunkan barisan pelakon, karyawan filem, pencinta seni dan rakan media dalam satu ruang yang bergetar dengan nadi harapan. Di sinilah, sebuah dunia gelap dibentangkan, dunia yang mempertemukan dendam, kehilangan dan warisan Nusantara dalam satu naskhah yang tidak mudah dilupakan.

Naskhah ini dibina dengan keringat, keberanian dan kejujuran seniman muda bernama Azlan Norani. Bayangkan, inilah anak sulung beliau, karya pertama yang dibesarkan tanpa tongkat, tanpa dana FINAS, hanya dengan tekad yang tidak pernah goyah. Selama bertahun-tahun beliau mencari dana, meyakinkan funder, menggarap skrip, dan menghidupkan dunia ini sedikit demi sedikit. Ada hari-hari penggambaran yang hanya disempurnakan oleh 3 orang crew, namun hasilnya berdiri seperti karya yang lahir dari studio besar. Dari tekad inilah, lahir sebuah dunia gelap yang sarat falsafah dan emosi.

Pusat graviti naratif terletak pada Salahuddin, dilakonkan oleh legenda industri Razib Salimin, atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Syam. Ramai yang mungkin tidak mengenal namanya secara arus perdana, tetapi sejarahnya menyala sejak 1979 sebagai jurulatih untuk polis dalam latihan senjata, letupan, seni tempur; pelagak ngeri bagi ratusan produksi; koreografer aksi; malah pernah muncul dalam filem Hollywood Anna and The King. Kini, pada usia 64, beliau kembali duduk di kerusi pelakon utama, memikul watak paling berat dan paling berjiwa dalam kariernya.

Seorang lelaki tua yang hidup dengan cucunya, Yasmin (Yusra Akma), menjalani hari-hari penuh keheningan selepas kehilangan anak dan menantunya. Dua jiwa ini hidup saling bergantung rapat, rentan, dan hanya mengharap pada bahagia yang sederhana. Namun sebuah kelengahan kecil, satu saat yang terlambat, meruntuhkan seluruh dunianya: Yasmin hilang tanpa jejak. Melaporkan kepada pihak polis tidak cukup memuaskan kehausan hati yang sedang retak. Naluri seorang datuk menolak untuk pasrah.

Pencarian yang dilakukan sendiri membawa Salahuddin ke sebuah kebenaran yang lebih kejam daripada mimpi ngeri. Yasmin menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan menemui ajalnya ketika cuba melarikan diri. Tangisan tidak mampu membalas kehilangan itu; hanya dendam dan kasih sayang yang mampu memaksa lelaki tua itu kembali menyarung topeng wajah yang telah sekian lama ditanggalkannya.

Nama 'Salahuddin' yang selama ini pudar kini bersinar semula dengan makna yang jauh lebih gelap. Penonton dibawa menyelami dunia Bookmaker, kumpulan pembunuh upahan profesional di bawah entiti rahsia Pustakalayah, organisasi berkonsepkan perpustakaan Melayu lama: tempat ilmu, sejarah dan kekuatan bertemu. Watak-watak seperti Zahin (Syazwan Zulkifly), Inspektor Qhaliq (Arwan Umar), Balaam (Sahronizam Noor), Bookkeeper (Azhan Rani), dan Kasyaf (Bell Ngasri) mengisi naratif ini dengan lapisan dinamika yang keras, gelap dan mempesonakan.

Setiap perjalanan dendam tidak pernah sunyi dari kontroversi. Salah satu dialog terkenal dalam filem ini, monolog yang merangkumi kata “Ayah B*bi” mencetuskan perbualan hangat. Ada yang terkejut, ada yang tersinggung. Namun sutradara Azlan Norani tampil tenang, menjelaskan bahawa dialog itu terikat konteks emosional watak, bukan provokasi semata. “Kalau benar mahu jujur dengan dunia gelap ini, kita harus berani menampar realiti,” katanya.

Filem ini bergerak dengan energi aneh dan indah, gabungan brutal, humor (terutama menerusi lakonan Bell Ngasri sebagai Kasyaf), dan ketegangan psikologi. Aksi-aksinya terasa organik, digarap dengan kemahiran silat, kerambit dan senjata taktikal yang memberi tarikan kepada generasi baharu pencinta aksi. Setiap tumbukan, setiap balingan, bagaikan dilatih bertahun-tahun dan ya, Razib memang pernah melatih pasukan polis, jadi ia masuk akal.

Namun apa yang membuat filem ini menyerlah bukan hanya keberanian aksinya, tetapi kedalaman emosinya. Salahuddin digarap dengan lapisan yang kaya. Patah, menyesal, marah, namun masih mencintai. Dilema moralnya terasa hidup, seolah-olah penonton berdiri di antara bahunya, merasakan beban kehilangan yang tidak boleh ditanggung oleh manusia biasa.

PENGHUKUM bukan semata tentang balas dendam; ia adalah amaran sosial. Tentang manusia yang menggadai sumpah jawatan demi kuasa, tentang sistem yang gagal melindungi yang lemah, tentang bagaimana kita menutup mata terhadap kejahatan yang semakin pintar bersembunyi.

Sinematografinya bernafas dengan keindahan suram: visual muram yang menyayat hati, pencahayaan yang mengintai dari sisi, dan kamera yang menghembuskan nadi ketika pertarungan berlaku. Tempat penggambaran dipilih dengan teliti; lorong-lorong kelam, hutan-hutan Pahang, dan sisi-sisi bandar yang jarang ditonjolkan. Skor muziknya menyuntik adrenalin dari dentingan gelap, denyut percussive dan getaran mendalam yang menjadikan penonton bagaikan berada di tengah-tengah nadi Salahuddin.

Kalau menurut saya, filem ini punya kelebihan kukuh dari segi tema yang mendalam dan relevan tentang isu pemerdagangan manusia ditangani dengan jujur dan berani. Watak Salahuddin yang cool tetapi kompleks, saya akui nampak sangat bad ass untuk seseorang pada usia emas, gabungan emosi, sejarah hitam dan cinta seorang datuk. Apatah lagi kombinasi genre yang memikat dengan aksi brutal, thriller dan humor sinis.

Namun tiada karya sempurna. Filem ini juga membawa ruang minima untuk pertumbuhan dari segi plot twist, pergerakan kamera semasa pertarungan perlu lebih bertenaga, dialog maki balas boleh lebih digilap dan saya rasa unsur gore agak tinggi untuk penonton bawah 10 tahun. Saya sendiri menutup mata ketika adegan ngeri pada babak awal di bilik air itu.

Aksi yang dipamerkan tidak hanya mempamerkan kekuatan fizikal, tetapi seakan tarian maut yang menggabungkan disiplin seni bela diri Nusantara, trauma batin dan deru angin Pahang, tempat pelbagai adegan utama dirakam. Setiap pertempuran terasa bernafas, seolah-olah seluruh alam turut menyaksikan Salahuddin melawan musuh dan dirinya sendiri.

Kekuatan filem ini terletak juga pada sinergi produksi. Terang Films dan PMD Production mengukir naskhah yang mengangkat identiti rantau ini, manakala D’Ayu Pictures mengemudi edaran serta pemasaran dengan dorongan untuk membawa filem ini ke pasaran lebih luas di Asia Tenggara. Tayangan gala yang meriah bukan sekadar acara, ia menjadi simbol bahawa filem aksi Malaysia kini melangkah dengan keyakinan baharu.

Sutradara Azlan Norani menunjukkan kematangan cemerlang dalam menggabungkan drama emosi dan dunia aksi. Dia memilih untuk tidak mengolah Salahuddin sebagai wira klise, sebaliknya sebagai manusia yang patah tetapi enggan tumbang. Watak itu direnungi dengan kelembutan dan kemarahan, dua tenaga yang saling bersilang hingga menghasilkan karektor penuh jiwa.

Secara keseluruhan, meski dengan bajet ketat dan crew yang sangat terhad, Penghukum: Nusantara Assassin tetap berdiri sebagai karya yang wajar diberi peluang. Malah, wajar dirayakan sebagai kemenangan kecil industri filem aksi lokal. Filem ini bukan hanya hasil kerja; ia adalah testimoni bahawa seni boleh lahir dari kekurangan, dan keindahan boleh tumbuh dari ketekunan.

Penghukum: Nusantara Assassin bukan sekadar filem aksi. Ia naskhah yang menyulam budaya, trauma, pengampunan dan kekuatan jiwa dalam sorotan seni Nusantara yang megah. Setiap inci kisah mengingatkan: manusia boleh jatuh berkali-kali, namun kasih adalah kompas yang sentiasa menunjukkan arah pulang.

Bakal menghentak pawagam seluruh negara mulai 20 November 2025 dan melihat naskhah yang dilahirkan dengan penuh roh ini, tidak keterlaluan jika ia menjadi antara karya aksi paling mencorak landskap sinema Malaysia tahun ini.

Comments
* The email will not be published on the website.