Gema Aidilfitri terasa semakin hampir ketika Nabila Razali sekali lagi menyapa musim perayaan dengan single terbaharu berjudul TAK SABAR NAK RAYA!. Dua tahun selepas Raya Mana? mencipta fenomena dan menjadi trending, Bella memilih untuk kembali dengan pendekatan berbeza, kali ini sebagai prekuel yang melengkapkan naratif raya versinya sendiri.
Dilancarkan secara rasmi dalam majlis sidang media dan berbuka puasa di MATRADE, Kuala Lumpur pada 25 Februari 2026, acara tersebut mendapat sokongan Sidah Catering Services (M) Sdn Bhd dan S Creative Solutions Event Entertainment Sdn Bhd. Aura keterujaan jelas terasa; seolah-olah semua yang hadir turut membawa rasa “tak sabar” yang sama.


Lagu ini merupakan ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin dan Asyraf Nasir, dengan MFMF bertindak sebagai produser serta penyusun muzik. Menurut Brendan, karya ini memang dicipta khusus untuk Bella, sesuai dengan warna vokalnya yang cerah, manis dan mudah meresap ke pelbagai lapisan usia. Struktur lagunya sengaja dirangka sederhana dan repetitif, dengan frasa “TAK SABAR NAK RAYA” diulang sebagai cangkuk utama agar mudah melekat di ingatan.
Menariknya, TAK SABAR NAK RAYA! bukan kesinambungan langsung Raya Mana? tetapi saling terhubung. Jika lagu terdahulu menggambarkan dilema seorang isteri memilih kampung halaman selepas berkahwin, kali ini kisahnya kembali ke masa sebelum perkahwinan, saat Bella masih tinggal bersama keluarga dan merantau bekerja di kota. Di sinilah kononnya bermula pertemuan awal dengan Aizat Sahar, yang turut muncul dalam muzik video sebagai pelengkap kisah.


Bella sendiri mengakui idea tambahan seperti bahagian joget perlahan dengan sebutan “ea ea ea” lahir daripada intuisi peribadinya ketika mendengar demo separuh siap. Rakaman vokal diselesaikan dalam tempoh empat jam, dengan penampilan khas Haji Nabil Ahmad yang membawa sentuhan humor segar. Profesionalisme beliau di studio memudahkan proses kreatif, malah banyak idea spontan tercetus sehingga sukar memilih yang terbaik.
Penggambaran muzik video berlangsung selama 12 jam di sebuah lokasi rumah kampung tradisional di Hulu Langat. Cuaca yang tidak menentu menjadi cabaran, namun semangat produksi yang cekap memastikan semuanya berjalan lancar. Adegan tarian beramai-ramai di bahagian korus memerlukan keseragaman langkah, tetapi suasana kekeluargaan menjadikan proses itu menyeronokkan.


Turut memeriahkan MV ialah Aizat Sahar, MFMF serta pempengaruh media sosial seperti Aggy, King Oyen, Adik Yusuf dan Shaffiq Erwin. Penglibatan Adik Yusuf yang masih kecil memberi pengalaman unik kerana perlu dibimbing untuk menzahirkan dialog dengan ekspresi tepat. Bella menyifatkan momen tersebut sebagai memuaskan dan membanggakan.
Selain dilancarkan sebagai single raya, lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi mini siri 20 episod Di Sebalik Cahaya Raya yang bakal bersiaran di Viu bermula 26 Februari 2026. Siri tersebut mengisahkan penyanyi bernama Farah yang menerima kecaman netizen apabila singlenya turut dirakam penyanyi indie lain, menjadikan konflik seni dan persepsi sebagai teras cerita.


TAK SABAR NAK RAYA! diterbitkan oleh Nabila Razali Entertainment bersama Sony Music Entertainment Malaysia dan Malika Entertainment & Management. Lagu ini sudah boleh dinikmati di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music mulai 27 Februari 2026.
Harapan Bella sederhana tetapi tulus, agar lagu ini berkumandang di mana-mana sebagai simbol kegembiraan menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa. Aidilfitri sentiasa tentang keluarga, persiapan, dan impian kecil yang membuatkan hati terasa ringan. TAK SABAR NAK RAYA! menangkap detik sebelum Syawal itu, saat menunggu yang justeru paling manis.