oleh: zizi hashim
08 May
08May

Ledakan bingit gitar kadangkala lahir daripada luka yang tidak pernah sempat diucapkan dengan kata-kata. Ada manusia memilih untuk menyimpan emosinya dalam diam, namun ada juga yang menjadikannya gema paling bising di atas pentas. KEETH memilih jalan kedua. Dia menterjemahkan perjalanan hidup, keresahan dan impiannya ke dalam muzik rock yang liar tetapi penuh jiwa. Tahun 2026 menjadi titik penting buat figura rock Malaysia ini apabila beliau kembali dengan EP terbaharu berjudul Hollywood Diaries, sebuah karya yang lahir daripada pengalaman merentas budaya, benua dan dunia muzik antarabangsa.

Pelancaran rasmi EP tersebut berlangsung menerusi sidang media eksklusif pada 7 Mei 2026 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, anjuran Sony Music Malaysia dengan kerjasama SWYM Entertainment. Namun di sebalik pelancaran itu, yang lebih besar sebenarnya adalah bagaimana KEETH kini perlahan-lahan membina namanya sebagai antara pemuzik rock Malaysia yang semakin dipandang di peringkat global.

Momentum tersebut menjadi semakin kuat selepas kejayaannya meraih gelaran Naib Juara di Asia New Beat Grand Finals yang berlangsung di Bangkok pada 21 Mac 2026. Bersaing bersama bakat-bakat terbaik dari seluruh Asia, pencapaian itu bukan sahaja mengangkat nama KEETH, tetapi turut membawa muzik Malaysia ke pentas antarabangsa dengan penuh kebanggaan.

Apa yang membuat perjalanan KEETH terasa berbeza adalah identiti muziknya yang tidak pernah cuba menjadi klise. Sebagai penyanyi, penulis lagu dan multi-instrumentalis, beliau terkenal dengan vokal yang bertenaga, julat suara luas serta persembahan pentas yang penuh karisma. Rock yang dibawanya tidak terasa tua atau terperangkap dalam nostalgia, sebaliknya bergerak dengan semangat moden tetapi masih memiliki roh klasik yang kuat.

Perjalanannya juga bukan kecil. KEETH pernah membuka persembahan untuk Steven Adler daripada Guns N’ Roses di venue ikonik Whisky A Go Go, Los Angeles. Beliau turut mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan membawa pulang enam pingat emas serta gelaran Division Champion. Selain itu, KEETH juga pernah membuat persembahan di festival antarabangsa seperti Byron Bay Bluesfest di Australia dan Bali Blues Festival.

Bukan itu sahaja, beliau juga pernah menjadi vokalis utama kumpulan rock legenda MAY di hadapan puluhan ribu penonton. Satu pengalaman yang semakin mengukuhkan karisma pentasnya sebagai seorang rocker sejati. Melalui hubungan dan kolaborasi bersama pemuzik yang mempunyai kaitan dengan Aerosmith dan Guns N’ Roses, KEETH akhirnya membentuk identiti muzik yang terasa global, tetapi masih berpijak pada akar budayanya sendiri. 

EP Hollywood Diaries pula bukan sekadar himpunan lagu biasa. Ia adalah refleksi perjalanan hidup KEETH ketika menetap dan berkarya di Los Angeles. Ia tentang konflik identiti, ambisi besar dan usaha mempertahankan diri dalam dunia muzik yang keras dan kompetitif. Dirakam di Los Angeles, Indonesia dan Malaysia, EP ini menggabungkan distorted rock sound, balada emosional, tekstur blues dan gospel serta eksperimen bunyi rentas budaya yang menjadikan keseluruhan karya terasa lebih sinematik dan imersif.

Kolaborasi produksi bersama Soba dan Zac, KEETH memperlihatkan sisi muziknya yang jauh lebih matang dan berani berbanding karya-karya terdahulu. Antara lagu yang menjadi fokus utama adalah “Fallin’ (Oceans)”, sebuah karya yang sangat peribadi buat KEETH. Berbeza daripada nuansa rock berat dalam EP ini, lagu tersebut hadir dengan elemen bunyi berinspirasikan Indonesia, pengaruh gospel dan blues serta atmosfer emosional yang lebih mendalam.

Menurut KEETH, lagu itu lahir daripada minatnya terhadap puisi, surfing, boating dan pengembaraan mengenali budaya serta manusia baharu. “Setiap lagu mempunyai identitinya sendiri, tetapi semuanya dihubungkan melalui heavy riffing. Album ini banyak berkisar tentang kehidupan saya di Los Angeles dan interpretasi saya terhadap apa itu rock n roll,” katanya. Beliau turut menyifatkan “Fallin’ (Oceans)” sebagai interpretasi emosional terhadap cinta dan hubungan manusia.

“Lagu ini mewakili spektrum emosi dan idea saya tentang cinta, dicampurkan dengan bunyi Indonesia dan muzik rock. Ia diinspirasikan oleh surfing, boating, penemuan budaya, muzik, bunyi, dan manusia.” Dalam nada penuh keyakinan, KEETH juga percaya bahawa pemuzik Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan artis antarabangsa tanpa perlu mengorbankan identiti sendiri. “Apa yang saya mahu tunjukkan ialah pemuzik dari Malaysia mampu membawa muzik kita, terutamanya muzik rock, ke tahap antarabangsa dan berdiri sama tinggi dengan pemuzik dunia tanpa sebarang batasan.”

Di tengah dunia muzik yang semakin dipenuhi formula selamat dan trend sementara, KEETH hadir seperti ledakan yang memilih untuk jujur terhadap dirinya sendiri. Dan mungkin, itulah sebab mengapa rock yang dibawanya terasa lebih hidup.

Comments
* The email will not be published on the website.