Tahun baharu hadir sebagai titik mula yang sarat makna buat BluntSheep apabila kumpulan pop rock alternatif ini melancarkan single terbaharu berjudul “Pedih”, sebuah karya yang bukan sahaja menguji kematangan muzik mereka, tetapi turut mengikat emosi peribadi yang mendalam. Naskhah ini diterbitkan di bawah Sony Music Entertainment Malaysia, menandakan langkah signifikan dalam perjalanan seni kumpulan muda berkenaan.
“Pedih” merupakan karya ciptaan Hadi Rumnan dengan lirik oleh Iman Imran, yang kemudiannya diolah semula oleh BluntSheep melalui susunan muzik baharu yang lebih segar, berlapis dan matang. Interpretasi ini menampilkan identiti muzik BluntSheep yang berteraskan pop rock alternatif dengan sentuhan grunge, tanpa menghilangkan roh asal lagu tersebut.

BluntSheep dianggotai oleh Attana Qawiuddin Rumnan (Atta Rumnan, 18) selaku vokalis dan pemain gitar utama, Umar Naufal (18) sebagai gitaris elektrik dan vokal latar, Moses Dass (19) selaku pemain dram, serta Ariff Azmi sebagai pemain bass tambahan. Walaupun rata-rata masih berstatus pelajar dan bekerja sambilan, komitmen mereka terhadap muzik tidak pernah terlerai, malah semakin terarah.
Dikenali sebagai kumpulan yang berani mengadun bunyi dan emosi, BluntSheep menjadikan setiap karya sebagai ruang penceritaan jujur yang dekat dengan keresahan generasi muda. “Pedih” berdiri sebagai manifestasi keberanian itu, sebuah lagu yang menafsir luka dengan bahasa yang lebih kontemporari dan relevan dengan lanskap muzik semasa.
Pemilihan untuk merakam semula “Pedih” bukan keputusan rawak. Lagu ini memiliki hubungan peribadi yang istimewa buat Atta Rumnan kerana ia merupakan hasil ciptaan bapanya sendiri, Hadi Rumnan, seorang komposer yang tidak asing dalam industri rakaman tempatan dan pernah menggubah lagu untuk beberapa penyanyi terkenal.

“Bagi saya, sesebuah lagu tidak mempunyai batas usia atau tempoh tertentu. Karya lama boleh dihidupkan semula melalui interpretasi dan jiwa yang berbeza mengikut zaman,” ujar Atta dengan nada reflektif. Beliau turut menambah, “Artis-artis hebat antarabangsa seperti Elvis Presley, Nirvana dan Guns N’ Roses juga pernah merakam semula lagu lama. Pada waktu yang sama, saya dapat meneruskan legasi ayah saya yang selama ini aktif sebagai pencipta lagu.”
Atta turut berkongsi bahawa selain terus menghasilkan karya baharu bersama BLUNTSHEEP, beliau merancang untuk merakam semula beberapa lagu ciptaan bapanya yang pernah dinyanyikan oleh barisan artis lain seperti Encik Mimpi, Ezad Lazim, Santesh dan Syafiq Farhain. “Bersama BluntSheep, saya akan terus bereksperimen dalam muzik rock. Untuk projek solo pula, saya ingin berevolusi dan mencari identiti terbaik saya sehingga mencapai kejayaan yang diimpikan,” katanya lagi. Atta juga mendedahkan perbincangan sedang berlangsung untuk sebuah single solo baharu bersama penerbit dari Indonesia yang dikenali dengan fenomena hipdut.

Seiring pelancaran “Pedih”, BLUNTSHEEP turut diumumkan sebagai artis pembuka tirai Konsert Malam Simfoni Luka yang bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert ini bakal menyatukan nama-nama besar seperti Midnight Fusic, Insomniacks dan For Revenge, menjanjikan malam persembahan yang sarat emosi dan keintiman muzik.Mengulas peluang tersebut, Atta mengakui ia hadir dalam keadaan yang hampir sukar dipercayai.
“Bayangkan, kami masih dalam proses melancarkan single baharu ‘Pedih’, tiba-tiba menerima undangan sebagai band pembuka tirai untuk Konsert Malam Simfoni Luka. Semuanya berlaku terlalu pantas dan kami sendiri masih cuba menghadamnya,” jelasnya. Peluang ini hadir melalui sokongan rakan kepada bapanya yang juga pemilik Icon Entertainment, membuka laluan penting buat BLUNTSHEEP untuk berdiri di pentas yang lebih besar. “Walaupun hanya mempersembahkan tiga lagu, kami akan memberikan yang terbaik. Harapan kami cuma satu, meninggalkan kesan yang baik dan tidak mengecewakan semua pihak,” katanya penuh rendah hati.
Single “Pedih” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 23 Januari 2026, menandakan lembaran baharu buat BluntSheep dalam membina komuniti pendengar yang lebih luas, matang dan setia.