Cerita tentang alam dewasa sering bermula dengan soalan kecil yang perlahan-lahan membesar menjadi renungan panjang. FYP Macam VIP memilih untuk merakam fasa itu tanpa drama berlebihan, sebaliknya meminjam bahasa perbualan harian yang dekat dengan realiti anak muda masa kini. Siri TikTok ini lahir sebagai kolaborasi strategik antara McDonald’s Malaysia dan Media Prima, diterbitkan oleh Layar Lucida sebagai naskhah digital yang menangkap pengalaman ‘adulting’ secara jujur, bersahaja dan penuh pemerhatian.
Mengandungi enam episod berdurasi dua hingga tiga minit setiap satu, FYP Macam VIP akan ditayangkan secara eksklusif menerusi platform TikTok Drama Sangat, iaitu @dramasangat, bermula 14 Januari 2026, jam 9.00 malam pada setiap hari Rabu dan Khamis. Pendekatan episod ringkas ini selari dengan corak konsumsi kandungan Generasi Z, sambil mengekalkan kekuatan naratif yang padat dan berlapik.


Siri ini diarahkan oleh Junaidah Mohd Nor dan Syahnur Asyikin Kee Charles, dengan barisan pelakon muda yang menyerlah menerusi Rykarl Iskandar, Zaki Yamani, Mia Sara Nasuha dan Serra Kamal. Empat watak utama iaitu Alif, Faris, Alia dan Farah dihidupkan sebagai sahabat lama yang berkongsi cerita kehidupan seharian melalui sebuah podcast yang dirakam di rumah Faris.
Alif, lakonan Rykarl Iskandar, digambarkan sebagai pekerja McDonald’s yang mesra, ringan tulang dan sentiasa bersedia membantu. Faris (Zaki Yamani) pula seorang yang serius, gemar menunjuk kepintaran dan mengawal perjalanan podcast dengan penuh disiplin. Alia, dibawakan oleh Mia Sara Nasuha, hadir sebagai suara matang dan berpendidikan, manakala Farah (Serra Kamal) mencerminkan generasi yang kekok dalam pergaulan fizikal namun sangat terikat dengan alam digital. Gabungan personaliti ini mencipta dinamika perbualan yang bermula daripada hal remeh sebelum berkembang menjadi refleksi tentang nilai, empati dan pilihan hidup.


Menariknya, latar pekerjaan Alif di McDonald’s diserap secara natural ke dalam penceritaan tanpa mengganggu alur cerita. Ia memperlihatkan bahawa cabaran hidup tidak pernah terpisah sepenuhnya daripada komitmen kerja, malah pekerjaan tersebut menyediakan sokongan, kemudahan, fleksibiliti serta peluang perkembangan yang menjadi sebahagian penting dalam proses membina masa depan.
Menurut Pengurus Besar Kandungan TV3 & TV9, Puan Marlia Zul Amran, “FYP Macam VIP dihasilkan sebagai refleksi jujur tentang realiti anak muda hari ini yang hidup di persimpangan antara kehidupan sebenar dan platform dalam talian. Melalui kolaborasi bersama McDonald’s Malaysia, siri ini membuka ruang penceritaan yang lebih dekat dan relevan, bukan sahaja tentang alam pekerjaan, tetapi juga proses peralihan ke alam dewasa yang sering dipenuhi persoalan dan pembelajaran.”



Pandangan tersebut diperkukuhkan oleh Azman Mohammad, Pengarah Kanan Jenama McDonald’s Malaysia, yang menjelaskan bahawa majoriti tenaga kerja McDonald’s terdiri daripada Generasi Z. “Di Mekdi, kebanyakan daripada 16,000 tenaga kerja kami merupakan Generasi Z yang hidup dalam dunia digital di mana hiburan dan maklumat berada di hujung jari.
Menerusi kerjasama strategik bersama TV3 untuk siri FYP Macam VIP, kami mengetengahkan realiti bekerja di McDonald’s melalui jalan cerita yang menarik dan di platform yang relevan, sambil menunjukkan bahawa Mekdi ialah tempat untuk mengasah kemahiran, membina keyakinan dan mengembangkan kerjaya,” katanya.


Pelancaran rasmi siri ini diraikan menerusi satu sesi 'Media Appreciation Day' yang berlangsung di Pandu-Lalu McDonald’s Pantai Sentral Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Majlis tersebut menghimpunkan wakil media, rakan strategik, pasukan produksi serta barisan pelakon dalam suasana santai, selain menampilkan sesi perkongsian serta tayangan eksklusif episod pertama dan kedua FYP Macam VIP.
Sebagai sebuah naskhah digital, FYP Macam VIP berdiri sebagai rakaman pengalaman generasi, tentang kekeliruan, persahabatan, pekerjaan dan proses menjadi dewasa. Ia menolak idealisme kosong, sebaliknya merakam kehidupan seadanya, jujur dan dekat dengan realiti, selari dengan semangat anak muda yang membesar antara dunia sebenar dan ruang maya.
