oleh: zizi hashim
08 Sep
08Sep

Langkah Sharul Kamal kini terasa semakin teguh, seakan menjejak batu permata yang bersinar di tengah pentas kerjaya seninya. Penyanyi, komposer dan pelakon ini baru sahaja mengikat janji kreatif dengan label berprestij, Rocketfuel Entertainment. Satu peralihan penting yang membentangkan horizon lebih luas buat dirinya. Dua buah karya menjadi saksi fasa baharu ini, single “Emas”, sebuah balada mellow yang mengalun lembut dalam nuansa rock penuh perasaan, serta “Bayangan”, sebuah runut bunyi rasmi untuk filem aksi penuh adrenalin Magik Rompak.

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga Rocketfuel. Sebagai artis, saya perlukan pasukan yang percaya pada visi saya. Saya yakin dengan sokongan mereka, saya mampu membawa muzik saya ke tahap lebih jauh, bukan sahaja di Malaysia tetapi ke peringkat serantau,” luah Sharul penuh syukur. Sejak dilancarkan pada 18 Ogos lalu bersama video muzik rasmi, “Emas” sudah pun menyentuh hati pendengar. Lagu ini bagi Sharul bukan hanya sebuah gubahan, melainkan simbolik titik mula yang sarat makna. “Saya percaya setiap penyanyi ada satu lagu yang menjadi tanda mula, dan untuk saya, inilah dia. Semoga ia dapat menghubungkan saya dengan pendengar yang mencari kejujuran,” tambahnya.

Tidak berhenti di situ, Sharul bakal menggoncang emosi dengan “Bayangan”, hasil ciptaannya sendiri bersama sahabat dan rakan seiring, Aepul Roza. Lagu ini lebih istimewa apabila dipilih sebagai OST rasmi Magik Rompak, filem besar yang membariskan nama-nama gah seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar. Filem itu akan menemui layar lebar pada 11 September 2025, dan “Bayangan” dijangka menjadi nadi emosi yang meresap di sebalik babak-babak penuh aksi.

“Menulis dan merakam ‘Bayangan’ adalah proses yang peribadi buat saya. Apabila ia dipilih sebagai OST, saya rasa bangga. Lagu ini membawa jiwa saya, dan saya percaya ia mampu menambah lapisan emosi untuk penonton,” ungkap Sharul dengan nada teruja. Aepul Roza sendiri mengakui keterujaannya, “Saya sudah lama kenal Sharul dan tahu betapa dalamnya jiwa muzik dia. Bila dia ajak saya terlibat dalam ‘Bayangan’, saya terus setuju. Lagu ini ada kekuatan melodi dan naratif, sangat tepat dijadikan OST.”

Dua single ini meletakkan Sharul Kamal pada takhta baharu, bukan sekadar vokalis berbakat, tetapi seorang penulis lagu yang mengalirkan ‘soul’ tulus dari hati. “Saya harap kedua-dua lagu ini dapat diterima, bukan hanya sebagai hiburan, tetapi sebagai karya yang meninggalkan kesan mendalam. Ini baru permulaan, dan saya berjanji akan terus berkarya dengan seikhlas hati demi peminat,” titip Sharul penuh rendah diri.

Dengan vokal bertenaga, jiwa yang ikhlas, serta sokongan penuh dari Rocketfuel Entertainment, jelas Sharul Kamal kini berdiri di ambang kejayaan lebih besar. Dia siap mewarnai industri muzik tanah air dengan karya yang segar, berlapis makna dan memikat rasa.

“Emas” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBox dan YouTube Music. Jangan lepaskan juga peluang menonton visual rasmi di YouTube @RocketfuelNetwork, sementara “Bayangan” bakal mula mengisi ruang halwa telinga peminat pada 5 September 2025, seiring kehangatan Magik Rompak.

Comments
* The email will not be published on the website.