oleh: zizi hashim
10 Jul
10Jul

Petikan waktu akan terhenti seketika pada malam 14 September 2025, tatkala Zepp Kuala Lumpur disulami cahaya, suara dan kenangan yang akhirnya diberi tubuh. Bukan mimpi, bukan bayang-bayang, tetapi kemunculan sebenar konsert perdana Midnight Fusic Forevermore 2025, momen yang ditunggu, dinanti-nanti, dan disulam cinta selama sedekad.

Perjalanan mereka tidak bermula semalam. Sejak 2013, empat anak muda yang terdiri dari Arif Kamarudin, Adrian Danial, Firdaus Azmi dan Muaz Rabbani telah menulis takdir mereka sendiri di atas pentas-pentas kecil dan besar. Dari titik debut, Midnight Fusic mencantumkan rock alternatif yang runcing dengan pop yang halus, menyusun lagu-lagu yang sarat emosi, vokal harmoni yang padu, dan instrumental yang menggoncang nurani.

Tahun 2024 menandakan musim paling bersemangat buat mereka, dari rangkaian Riuh ke sambutan ulang tahun Mobile Legends, dari YSL Beauty hingga Zus: Lokal Kasi Vocal, sehinggalah menjadi pembuka pentas untuk Last Dinosaurs: Live in KL. Mereka juga merentas sempadan apabila dijemput ke Korea melalui Incheon Record Platform dan Newtro Rhythm Global Music Tour, menambah halaman baharu kepada lembaran luar negara yang sebelum ini dibuka di Indonesia menerusi We The Fest dan Singapura dalam Bay Beats. Mereka juga pernah berdiri sebagai pembuka tirai kepada Boys Like Girls Comes to Asia dan LANY Live in Kuala Lumpur, menyemai benih keyakinan bahawa pentas-pentas besar bukanlah khayalan.

Momentum itu mekar pada 23 Mei 2025 dengan kemunculan EP Modus Operandi, karya yang menyambung naratif selepas album sulung berjudul 'Midnight Fusic' yang pernah dilancarkan pada Februari 2021. Lagu “Sandiwara” yang diperkenalkan pada tahun 2020 menandai babak baru, sebuah salam perkenalan dalam Bahasa Melayu yang begitu mengesankan. Kini, semua jejak itu menghala ke satu detik paling manis. Malam kemuncak pertama mereka yang diberi nama Forevermore, malam yang akan memahat ingatan seperti rasa karamel yang tak mudah larut.

Konsert Midnight Fusic Forevermore 2025 ini, dibawakan oleh OYOLLO ASIA, adalah lambang kepercayaan bahawa nama Midnight Fusic sudah waktunya diangkat ke barisan depan. Menurut Pengarah Urusannya, Encik Kenny Wong, konsert ini bukan semata-mata tentang persembahan. Ia adalah perayaan generasi baharu, suara yang membentuk naratif sendiri, dan ulang tahun ke-10 sebuah kumpulan muzik tempatan yang tidak pernah menyerah kalah. Buat beliau, Midnight Fusic adalah simbol anak muda Malaysia yang berani, berbakat tinggi dan bersuara global.

Buat Midnight Fusic sendiri, malam itu adalah saat untuk kembali kepada yang mendengar sejak mula—yang bersorak, yang menyanyi dalam bisu, atau yang hanya memerhati dari jauh tetapi tak pernah pergi. Arif menyatakan keterujaannya membawa setlist dan visual baharu yang segar, kerana malam itu bukan sekadar gig biasa, tetapi helaian awal untuk bab baharu. Muaz pula membayangkan saat lagu pertama diperdengarkan, di mana penonton, lagu dan energi akan melebur jadi satu. Sementara Adrian dan Firdaus menzahirkan pesanan ringkas namun penuh makna: “Raikan sepuluh tahun kita bersama. Midnight Fusic Forever and More.”

Durasi 90 minit konsert ini bukan sekadar diisi dengan muzik. Ia bakal disulam dengan konsep, warna dan atmosfera yang dipilih teliti. Setiap nota, setiap lampu dan bahkan aroma wangian ruang akan dicipta agar seluruh pancaindera terlibat. Ini bukan sekadar persembahan pentas, tapi pengalaman rasa yang menyeluruh. Itulah janji Midnight Fusic.

Tiket akan mula dijual pada 14 Julai 2025, tepat jam 3 petang, di laman rasmi www.ticket2u.com.my. Harga untuk setiap kategori ditentukan bukan sekadar mengikut tempat, tetapi pengalaman yang ditawarkan. Kategori Modus Operandi (Cat 4, free standing) dijual pada harga RM134, diikuti oleh W.L.W.A (Cat 3, free standing) pada RM174, Time Machine (Cat 2, tempat duduk bernombor) pada RM224, dan Sandiwara (Cat 1, free standing) juga pada harga RM224. Bagi mereka yang mahukan pengalaman premium, kategori Caramel Cream (VIP, free standing) ditawarkan pada RM294, manakala Cahayaku (VIP Box untuk 10 orang) berharga RM3844.

OYOLLO ASIA tidak bersendirian dalam menjayakan malam istimewa ini. Gabungan tenaga produksi YOU CAN ENTERTAINMENT dan KSD MEDIA memastikan pentas ini disusun penuh citarasa dan ketelitian. Sokongan penaja seperti Kenangan Coffee dan est COLA menyuntik semangat tempatan dalam nadi acara. Rakan medik rasmi, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, memastikan setiap detik berlangsung dalam jagaan selamat. HITZ FM pula menjadi suara rasmi di gelombang radio, manakala Astro Gempak akan menjadi penggerak digital yang menyebarkan gema momen ini ke segenap pelusuk.

Buat semua pencinta muzik yang telah tumbuh bersama Midnight Fusic, yang menjadikan setiap lirik mereka sebagai pelindung, pengiring, atau penawar, konsert ini bukan lagi hanya untuk ditonton, tetapi untuk dirasakan, dinikmati, dan dibawa pulang dalam hati. Malam 14 September bukan penghujung, tapi satu permulaan yang akan dikenang. Forevermore bukan hanya tajuk, tetapi satu sumpah bahawa muzik ini akan terus hidup, terus berkembang, dan terus membenarkan kita semua jatuh cinta, sekali lagi.

Comments
* The email will not be published on the website.