09 Mar
09Mar

Aura Ramadan sering melahirkan kisah yang tidak dijangka. Begitulah juga perjalanan kreatif penyanyi dan komposer muda, Najmi Niery, yang selama tiga tahun meniti dunia muzik rakaman tanah air tidak pernah membayangkan dirinya akan menghasilkan sebuah lagu raya. Namun ilham kadangkala hadir tanpa dirancang, seperti bisikan lembut yang muncul ketika hati sedang tenang.

Daripada momen itulah lahir BEST PART OF RAYA, sebuah karya yang menggabungkan sentuhan melodi Najmi bersama dua pencipta dari MFMF, Brendan Lim Seng Meng dan Amanda Gnai Song Hui. Lagu ini diperkenalkan kepada umum menerusi majlis berbuka puasa serta sidang media yang berlangsung meriah di AEON Mall Shah Alam, sebuah acara yang turut menyantuni kira-kira 30 anak yatim daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pusat Jagaan Budi Bestari.

Senyuman anak-anak kecil yang menerima duit raya daripada Pengurus Kanan Perniagaan Digital dan Komersial Sony Music Malaysia, Aiman Nubailah, bersama S. Vettrivelu, Pengurus Kanan Operasi AEON Mall, serta Najmi Niery dan Adrianna Cinta, seolah menambah makna kepada pelancaran lagu ini. Sebuah karya yang sejak awal lahir daripada rasa kasih dan kerinduan.

Cerita di balik penghasilan lagu ini bermula sekitar Oktober 2025, ketika Najmi bertemu pasukan MFMF untuk sesi penulisan. Pada awalnya, arah lagu masih samar. Namun perbincangan yang panjang akhirnya membawa kepada sebuah idea yang sederhana tetapi penuh emosi. Sebuah lagu raya yang ditulis seperti sepucuk surat cinta. Hari Raya sering menjadi saat kemenangan selepas sebulan menahan lapar, dahaga dan segala ujian jiwa. Namun lebih daripada itu, Syawal juga membawa harapan untuk kembali bertemu insan tersayang. Dari sanalah lahir gambaran tentang dua hati yang saling merindui dan menunggu detik pertemuan pada pagi raya.

Proses kreatif lagu ini bermula dengan melodi terlebih dahulu. Najmi menjelaskan bahawa cara penulisannya sering dipandu oleh chord progression yang menjadi asas kepada lahirnya rangkaian melodi. Setelah kerangka muzik terbentuk, barulah lirik berkembang secara organik, seperti kata-kata yang mengalir tanpa paksaan.

Bagi Brendan Lim Seng Meng dari MFMF, kerjasama dengan Najmi terasa sangat natural. Pertemuan pertama mereka segera menghasilkan keserasian idea dan tenaga kreatif. Bahkan pengalaman pernah muncul bersama dalam episod MFMF Healing sebelum ini membuatkan Brendan sudah memahami warna vokal serta karakter muzik Najmi. Keakraban itu memudahkan proses kolaborasi. Ketika konsep lagu sebagai “surat antara dua insan” diusulkan, Najmi segera menangkap inti emosi yang ingin disampaikan, lalu menambahkan sentuhan peribadi yang membuatkan lagu ini terasa lebih jujur.

Keindahan BEST PART OF RAYA turut diperkaya dengan kehadiran penyanyi dan komposer berbakat Adrianna Cinta sebagai pasangan duet. Pada awalnya, Najmi sendiri tidak mengetahui siapa yang akan menyanyikan bahagian wanita dalam lagu tersebut. Namun sebaik nama Adrianna dicadangkan, persetujuan diberikan tanpa ragu. Najmi melihat Adrianna sebagai seorang penulis lagu yang memiliki sensibiliti muzik yang halus. Warna vokalnya yang lembut dan menenangkan terasa serasi dengan tona suara Najmi, menghasilkan harmoni yang seolah menyatu dengan konsep romantik lagu ini.

Bagi Adrianna pula, pertemuan dengan Najmi sebelum ini hanya sekadar persinggahan di beberapa acara nyanyian. Tak pernah terlintas bahawa mereka akan berkongsi karya bersama. Namun persamaan citarasa muzik terutamanya pengaruh Pop R&B Indonesia membuatkan kolaborasi ini terasa sangat natural. Rakaman lagu berlangsung dalam dua fasa. Najmi terlebih dahulu merakamkan bahagiannya sewaktu sesi penulisan pada Oktober 2025. Apabila Adrianna menyertai projek ini, sesi rakaman vokalnya dilakukan semula pada minggu pertama Ramadan.

Menariknya, pada masa yang sama mereka turut merakamkan visualizer lagu tersebut. Konsep yang dipilih cukup minimalis: penggambaran one take shot dengan latar retro raya yang klasik dan nostalgik. Proses penggambaran mengambil masa sekitar tiga jam sahaja, namun suasana di set terasa cukup meriah. Adrianna mengakui pengalaman tersebut menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Sesi rakaman suara pada bulan puasa disusuli penggambaran visualizer yang terpaksa berpindah lokasi pada saat akhir menjadikan semuanya terasa spontan. Malah, ada saat mereka hampir tidak sempat berbuka puasa dengan sempurna. Namun keletihan itu diganti dengan rasa seronok yang sukar digambarkan.

Bagi Najmi, kemunculan BEST PART OF RAYA membawa rasa teruja yang luar biasa. Lagu ini hadir dengan pendekatan yang sedikit berbeza daripada kebanyakan lagu raya tradisional. Sentuhan Pop R&B memberikan nuansa moden yang jarang diterokai dalam lagu raya tempatan. Reaksi awal daripada peminat di media sosial juga sangat positif. Klip teaser yang dikongsi sebelum pelancaran menerima maklum balas yang memberangsangkan, membuatkan Najmi semakin yakin karya ini mampu menemukan tempatnya sendiri dalam senarai lagu raya 2026.

Adrianna turut berkongsi harapan yang sama. Walaupun tahun ini menyaksikan ramai penyanyi melancarkan lagu raya, beliau percaya setiap karya memiliki ruangnya sendiri. Bagi dirinya dan Najmi, kegembiraan terbesar hanyalah apabila pendengar dapat merasai emosi yang mereka cuba sampaikan melalui lagu ini.

BEST PART OF RAYA, diterbitkan oleh Naj&Co, Sony Music Entertainment Malaysia, serta Malika Entertainment & Management, bakal tersedia di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 6 Mac 2026. Sebuah lagu raya yang lahir seperti sepucuk surat: ringkas, jujur dan sarat kerinduan.

Comments
* The email will not be published on the website.