Tidak hadir secara tiba-tiba, ianya lahir dari rasa rindu yang tertanam lama dan dari getaran jiwa yang dikongsi ramai. Sejak 25 April lalu, ribuan peminat telah berlumba -lumba mendapatkan tempat mereka dan kini, hanya 15% tiket kategori VIP dan Diamond sahaja yang masih berbaki. Inilah gema kasih sayang yang sudah bertahun-tahun disemai. Satu petanda nyata betapa penonton sudah siap sedia menyambut malam penuh magis ini.
Maka, langit 18 Oktober 2025 kelak bakal menyulam kenangan. Mega Star Arena akan berubah menjadi medan percantuman suara, tempat di mana 4 jiwa seni pemilik nama Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel menghimpun cinta, menatang rindu dan menghidupkan kembali nostalgia dalam satu malam yang bakal terukir abadi. Malam itu bakal menjadi perayaan rasa, tempat jiwa-jiwa yang pernah dilukis oleh melodi bersatu semula. Konsert ini, yang digerakkan oleh Anuar Zain Network bersama Altus Prohouse, adalah sebuah perjalanan yang menyatukan seni, sejarah dan rasa.
Empat suara. Empat kisah hidup. Namun malam itu, semuanya akan melebur menjadi satu narasi kolektif. Seperti setiap hela nafas dihembus serentak, empat figura yang sudah mengakar dalam kalbu rakyat ini sedang giat merangkai energi, menenun debar, melatih tubuh dan mengasah semangat demi mencipta malam yang akan dikenang setiap generasi. Mereka bukan sekadar tampil; mereka kembali, membawa seluruh sejarah mereka untuk dibentangkan seperti puisi terbuka kepada khalayak yang mencintai.
Sze Wan, Pengarah Muzik yang dihormati, menyifatkan Empat Live sebagai montaj sonik pelbagai zaman, dari balada keunggulan era Ziana, ke kemilau 'Lelaki Ini' milik Anuar, dilatari olahan fusion dan kontemporari milik Ernie dan Syamel. “Apabila saya membayangkan diri memegang kendali muzik untuk empat suara emas ini… saya ibarat sedang menyusun kepingan puzzle emosi,” ujar Sze Wan. “Setiap satu mereka punya tenaga berbeza, dan tugas saya adalah untuk menyeimbangkan semuanya, dari susunan vokal ke permainan instrumen, semuanya harus bersatu dalam harmoni.”
Turut menjulang visi konsert ini adalah nama besar industri, Jennifer Thompson, yang diberi amanah selaku Pengarah Konsert. Katanya, “Kami telah merancang sejak 3 tahun lalu. Setiap daripada mereka, Ziana, Anuar, Ernie, Syamel, adalah permata. Tetapi apabila digabungkan dalam satu pentas, ia seperti langit gemerlapan yang dipenuhi bintang-bintang. Dan saya ibaratkan diri saya bagai kanak-kanak yang dilepaskan di dalam kedai yang penuh coklat dan gula-gula.” Jennifer menjanjikan detik-detik eksklusif, kolaborasi lintas generasi, lagu-lagu pop yang menjadi pelita empat dekad terakhir, dan ruang bagi peminat menyanyi bersama. “Istimewa? Sudah pasti. Wajib tonton? 100%. Hiburan untuk semua usia.”
Anuar Zain, sang penyanyi dengan aura mendamaikan, turut menyuarakan rasa syukur yang tak berpenghujung. Beliau menyeru peminat untuk hadir, bukan sekadar menyaksikan, tetapi menjadi sebahagian dari memori indah itu. “Gabungan empat beranak ini diharap mampu membekas di hati. Jeritan dan gelak tawa kita akan menyatu malam itu! Let’s bring the house down!” serunya penuh semangat.
Ziana pula, sang diva yang tidak pernah luntur auranya, menyifatkan konsert ini sebagai hadiah untuk peminat yang telah mendukung selama berdekad. “Saya tak sabar. Malam itu, semoga ia menjadi fenomena. Pertama kali kita berkonsert sebagai ‘keluarga’, ini akan jadi kenangan seumur hidup,” ungkapnya, sambil membocorkan bahawa akan ada lagu-lagu klasik yang sekian lama tidak didendangkan.
Ernie Zakri, suara muda yang makin matang, mengakui bahawa ini adalah pentas paling bermakna dalam hidupnya. “Saya membesar mengidolakan Ziana dan Anuar. Mak Long dan Pak Ngah saya! Kini berkongsi pentas dengan mereka… ini ibarat mimpi yang menjadi nyata. Dan saya tak sabar membalas kasih peminat yang telah beli tiket. Terima kasih, dari hati yang paling terdalam.”
Sementara itu, Syamel yang terkenal dengan karisma dan kejujuran vokalnya, menyifatkan konsert ini sebagai sebuah catatan cinta antara seniman dan penyokong seni. “Kami bukan sekadar penyanyi. Kami datang dengan cahaya, suara dan jiwa. Peminat adalah nadi malam itu. Mari kita cipta perjalanan muzik yang meruntun perasaan.”
Bagi mengangkat kemegahan acara ini, Westin Kuala Lumpur tampil sebagai hotel rasmi konsert. Daniel Burstein, Pengurus Besar The Westin berkata, “Adalah satu penghormatan untuk menyambut empat legenda tanahair ini dan para peminat mereka. Kami berkomitmen untuk memberikan layanan tak terlupakan, sepadan dengan magis konsert itu sendiri.”
Kini, hanya tinggal kategori RM888 (Diamond) dan RM1,088 (VIP) yang masih tersedia. Pembelian boleh dilakukan di www.ticket2u.com.my/empatkl. Kaedah “beli sekarang bayar kemudian” turut disediakan melalui Atome dan SPayLater. Untuk golongan OKU, boleh hubungi terus di +6011-1190 0518.
Langit Mega Star Arena menanti. Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel sudah bersedia dengan helaian suara yang membelai, menyentuh ruang hati paling terdalam dan menyatukan semua jiwa. Jangan biarkan peluang ini berlalu begitu saja. Hadirlah dan jadilah saksi kepada malam penuh magis, cinta dan sejarah. Jom rasakan 'kasih sayang' 4 beranak ini bersama-sama, kerana percayalah, lagu-lagu yang kita nyanyikan bersama nanti, akan kekal abadi dalam ingatan kita buat selama-lamanya...